Isnin, 8 April 2013

Pasar Malam Tampin Dilanda Ribut

Khemah peniaga di Pasar Malam Tampin yang rosak akibat angin kencang, petang kelmarin. Foto: Sinar Harian

TAMPIN – Angin kencang yang melanda Pasar Malam Tampin, petang kelmarin, menyaksikan beberapa pengunjung turut sama bantu memegang khemah peniaga agar tidak roboh. 
Dalam kejadian bermula 6.30 petang itu, kira-kira 100 peniaga pasar malam dikejutkan dengan ribut sehingga 20 khemah peniaga roboh, selain beberapa peniaga terpaksa menghentikan aktiviti niaga mereka lebih awal. 
Mangsa, Lee Boo Pang, 61, berkata, ketika kejadian, pelanggan di gerainya ramai. 
"Mereka semua menolong saya memegang khemah yang hampir terbang,” katanya. 
Peniaga runcit itu berkata, pertolongan orang ramai bagaimanapun tidak berjaya menyelamatkan empat khemahnya yang patah menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM600. 
"Mujur ketika kejadian, tiada pelanggan cedera. Ini merupakan kejadian paling buruk pernah saya alami sejak kita dipindahkan ke bahagian paling belakang, sementara di bahagian hadapan khemah terdapat kawasan lapang,” katanya. 
Bagi peniaga kasut, Tan Tau Nin, 37, kejadian angin kencang itu benar-benar mengejutkan peniaga dan pengunjung. 
Menurutnya, disebabkan itu, dia terpaksa berniaga tanpa khemah sehingga kira-kira 10.30 malam. 
"Mujur cuma angin kencang dan tidak hujan," katanya. 
Tau Nin berkata, sememangnya lokasi pasar malam itu sering dilanda angin kencang, namun sebelum ini tidak seburuk sebegini. 
Peniaga buah-buahan, Bakri Mohamad Dalal, 58, pula berkata, dia berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengubah kembali kedudukan asal lokasi berniaga seperti sebelum ini. 
“Melalui rombakan baru ini, beberapa peniaga dipindahkan ke bahagian paling belakang. Bagaimanapun, terdapat kawasan lapang di bahagian hadapan kami dan ini meningkatkan risiko khemah diterbangkan angin," katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.