Ahad, 28 April 2013

Pemuda Maut Rempuh Lori Di Tepi Jalan

Keadaan mangsa yang maut di tempat kejadian. Foto: Sinar Harian


LUNAS - Hasrat seorang pemuda berusia 21 tahun yang melakukan kerja sukarela menggantung bendera parti politik disokongnya bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), berakhir dengan tragedi apabila mangsa terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 10.45 malam kelmarin. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Lunas menuju ke Batu 6 dan ketika kemalangan berlaku. 
Menurutnya, kali ini merupakan PRU pertama bagi mangsa untuk menunaikan kewajipannya sebagai pengundi. 
“Mangsa dipercayai ke Lunas untuk menghantar seorang rakan setelah selesai bermesyuarat tentang penugasan menggantung bendera parti politik disertai mereka. Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengelak lori muatan 10 tan yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh belakang sebelah kanan lori terlibat. 
"Akibat rempuhan kuat, mangsa terperosok di bawah lori sebelum terhumban ke tepi jalan. Mangsa cedera parah di kepala maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat,” katanya. 
Menurut Ghuzlan, lori terlibat ditahan sebelum dihantar ke Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) untuk menjalani pemeriksaan lanjut, selain kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kemalangan maut. 
Katanya jika sabit kesalahan, pemandu lori berkenaan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara. 
Katanya lagi, dari siasatan awal dijalankan, polis mendapati lori itu tidak diletakkan sebarang papan tanda kecemasan atau amaran selain menyalakan lampu kecemasan di belakang lori untuk memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka kerana kawasan itu gelap. 
“Sepanjang bulan April, sembilan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dilaporkan berlaku di Kulim. Saya menasihatkan kepada semua pemandu kenderaan berat supaya lebih bertanggungjawab ketika meletakkan kenderaan mereka. 
"Sekiranya berlaku kerosakan, pemandu seharusnya meletakkan papan tanda amaran atau memasang lampu kecemasan untuk memastikan kenderaan lain dapat melihatnya. Kecuaian pemandu berbuat demikian boleh mengakibatkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya. 
Sementara itu, pemandu lori terlibat ketika ditemui berkata, dia membawa muatan kain dari Kemunting ke Kulim, sebelum kira-kira jam 7 petang, lori yang dipandunya rosak dan diletakkan di tepi jalan berhampiran rumahnya. 
Kira-kira jam 10.30 malam dia menerima panggilan telefon daripada adiknya menyatakan mangsa telah merempuh bahagian belakang lori. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.