Rabu, 10 April 2013

Sate Tanpa Lemak Dibakar Dengan Api Gas



Mohd Afiq Zulkifli
afiq.zulkifli@kosmo.com.my

KALI pertama menikmati sate yang dibeli dari Kiosk Satay Grill, Muhamad Khafrizal Khalid, 17, mengakui dia dan keluarganya menyukai keenakan sate tersebut. 
Walaupun saiz sate itu sedikit kecil berbanding sate yang ada di pasaran, namun harganya berpatutan. 
Apatah lagi, sate itu hanya menggunakan paha ayam dan daging berkualiti yang menjadikan rasanya enak. 
"Sesekali saya membeli sate antara 40 hingga 50 cucuk untuk dibawa pulang makan bersama keluarga. Meskipun ia masih baharu, saya berharap pada masa hadapan, Kiosk Satay Grill mampu berkembang agar ia mudah didapati di tempat lain," kata Khafrizal yang tinggal di Beranang, Selangor. 
Anak kedua daripada empat beradik berpendapat, persembahan Kiosk Satay Grill yang menarik berjaya menarik perhatian pelanggan. 
Sementara itu, seorang usahawan Kiosk Satay Grill, Akmal Amsyar Azmi, 18, mula berniaga Satay Grill selepas diperkenalkan oleh bapa saudaranya awal Januari tahun ini. 
Meskipun baru tiga bulan menjalankan perniagaan, sambutan yang diterima sangat positif. Bahkan, dia juga mempunyai pelanggan tetap. 
"Sate ini enak kerana ia tiada kepingan lemak tetapi menggunakan paha atau daging berkualiti,'' katanya memberitahu satu cucuk sate ayam dijual pada harga 70 sen manakala daging pula 80 sen secucuk. 
Ketika ditemui baru-baru ini, Akmal Amsyar memberitahu, purata jualan satenya mencecah sehingga 500 cucuk untuk satu malam. 
Beliau juga mengakui adakalanya tidak menang tangan kerana permintaan yang tinggi sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu. 
Dibantu oleh rakan dan adiknya, dia membuka kios itu di pangsapuri Bandar Tasik Kesuma, Beranang. 
"Segelintir pembeli gemar makan di sini, sementara sebahagian yang lain membawa balik ke rumah," katanya yang membuka kiosnya dari pukul 6 petang hingga 11 malam.

Akmal menunjukkan sate yang dibungkus rapi sebelum diedarkan di seluruh negara.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu pada peringkat awal perniagaan mendapat bantuan modal daripada keluarganya. 
Akmal mengakui, perniagaan sate itu mudah dikendalikan. Dia percaya sesiapa sahaja boleh berniaga asalkan mempunyai tekad dan keazaman yang tinggi. 
Meskipun tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran, namun atas faktor minat dia mencubanya. 
"Perniagaan ini mendidik saya menjadi seorang yang sabar dan menghargai kepayahan hidup. Alhamdullilah, semangat dan sokongan keluarga menjadi kekuatan saya," ujarnya yang sedang menunggu tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi. 
Mohd. Admir Apit Apandi, 34, usahawan muda Kiosk Satay Grill bersependapat dengan Akmal. Menurutnya, aspek kebersihan, jumlah modal yang kecil dan gerai yang menarik menjadi faktor dia tertarik menjalankan perniagaan tersebut. 
"Saya berani jual kerana pernah menghadiri kursus yang disediakan dan melihat sendiri proses pembuatan sate dari peringkat awal hingga akhir. 
"Saya percaya ia akan menjadi satu fenomena baharu di Malaysia seperti burger bakar," ujarnya yang menjalankan perniagaan setiap hari dari pukul 5 petang hingga 11 malam di kawasan perumahan Taman Bukit Subang, Shah Alam. 
Admir yang mengusahakan kios tersebut bersama isterinya mengakui, sehingga kini dia tidak menerima rungutan daripada pelanggan. 
Menurutnya, permintaan membeli sate meningkat selepas waktu pulang bekerja iaitu sekitar pukul 6 petang. 
Teknik pembakaran baharu sate iaitu dengan menggunakan gril menjadikan sate masak sekata dan tidak mempunyai kesan arang. 
Menjalankan perniagaan itu sepenuh masa selepas berhenti sebagai pemandu lori, pelanggan Admir terdiri daripada kaum Melayu dan Cina. 
"Kuah kacang memainkan peranan yang penting kerana di situlah ia menjadikan sebab sate digemari oleh orang ramai," kata Admir bahawa resipi kuah itu dipelajari isterinya ketika bekerja di sebuah restoran suatu ketika dahulu. 
Jelas Admir, dia memilih untuk berniaga sate kerana ingin meningkatkan taraf hidup. 
Kiosk Satay Grill merupakan produk perniagaan terbaharu yang diperkenalkan oleh Ezfas Foods Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat milik bumiputera dan pembekal makanan sejuk beku. 
Pendekatan itu diambil atas kesedaran untuk menyemai semangat berniaga. Pada masa sama, syarikat itu menawarkan platform perniagaan tersedia dengan produk halal dan berkualiti terus dari kilang.
Keseluruhan proses pengilangan sate oleh Syarikat Ezfas Foods dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sate dijadikan perniagaan kerana ia merupakan salah satu makanan tradisi masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. 
Pegawai Penggerak Usahawan Kiosk Satay Grill menjelaskan, Zaiful Lizan, 42, idea itu tercetus hasil daripada pemerhatian konsep perniagaan burger yang berjaya di Malaysia pada masa kini. 
"Jika burger berjaya mendapat tempat, mengapa tidak sate sedangkan perniagaan sate amat popular sejak tahun 50-an. 
"Sehubungan itu, kami terpanggil untuk mempopularkan kembali zaman kegemilangan sate ke seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini. 
Kiosk Satay Grill telah memberikan alternatif baharu kepada peniaga yang mahu berjinak-jinak di dalam industri perniagaan. 
Menurut Zaiful, biasanya sate boleh dibeli di restoran-restoran yang menyediakan menu itu, namun fenomena tersebut mungkin berubah dengan adanya kios ini. 
Mereka yang menjalankan perniagaan sate bersama Kiosk Satay Grill berpeluang berniaga di tempat-tempat yang strategik dan berpotensi mendapat keuntungan lumayan dengan modal yang rendah. 
Tambah Zaiful, dengan tagline Citarasa asli Tip Top 1973, Kiosk Satay Grill mampu menarik perhatian orang ramai. "Ia merupakan satu projek perniagaan menggunakan konsep gerai pasang siap dan kaedah pembakaran sate dengan gas tanpa arang. 
"Kios pasang siap secara tidak langsung membantu memudahkan usahawan berniaga di dua atau tiga tempat sehari seterusnya mampu meningkatkan jualan harian mereka. 
"Peniaga Kiosk Satay Grill juga tidak perlu bersusah payah memproses sate. Mereka hanya perlu mengambil daripada stokis berhampiran atau terus dari kilang untuk menjualnya," katanya. 
Pada masa sama, sate yang dibakar menggunakan gas lebih enak dan baik untuk kesihatan kerana tidak mempunyai arang. - Kosmo!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.