Khamis, 11 April 2013

Tiga Pelajar Pukul Ketua Kelas Dibuang Sekolah

Imej: my.news.yahoo.com


BUTTERWORTH - Tiga pelajar Sekolah Menengah Seberang Jaya di sini dikenakan tindakan buang sekolah setelah didapati bersalah memukul seorang pelajar lain di sekolah berkenaan. 
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata tiga pelajar terbabit dikatakan berang dengan tindakan mangsa, yang juga ketua tingkatan, yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon bimbit ke sekolah. 
Katanya dalam kejadian pada 4 Mac lepas, tiga pelajar terbabit bertindak merancang bersama beberapa pelajar lain dan membelasah mangsa di sekolah. 
Kejadian itu dirakam dan tersebar luas dalam laman Youtube sejak beberapa hari lepas dan mendapat komen negatif daripada orang ramai. 
"Susulan kejadian itu pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah menjalankan siasatan serta membuat keputusan membuang tiga pelajar terbabit sejak 8 Mac lepas kerana melanggar peraturan sekolah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
Bagaimanapun, katanya, pelajar berkenaan masih diberi peluang merayu untuk meneruskan semula persekolahan dan mereka perlu melalui beberapa prosedur termasuk membuat aku janji sebelum diterima meneruskan semula persekolahan. 
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian terbabit. 
Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa pihaknya sudah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian itu menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh. - Bernama

Kemaskini 11.4.2013 
imej: cyanxkamo

BUTTERWORTH - Polis menahan tiga pelajar sekolah menengah di Seberang Jaya, dekat sini yang sebelum ini dikenakan tindakan buang sekolah berhubung kes pukul seorang pelajar di sekolah yang sama. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, tiga pelajar berusia 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di sekitar Seberang Jaya di sini pada 11 malam tadi. 
"Kita tahan mereka semalam untuk ambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Jika polis dapat melengkapkan keterangan hari ini kita akan bebaskan pelajar terbabit. 
"Sekiranya masih belum cukup (keterangan), polis akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka, semua itu bergantung kepada hasil siasatan kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 
Katanya setakat ini polis telah merakamkan percakapan lapan orang termasuk mangsa, pelajar yang merakamkan video pergaduhan itu dan guru di sekolah berkenaan. 
Mazlan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh. 
Semalam Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin dipetik sebagai berkata, jabatannya telah membuang tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya di sini setelah didapati bersalah memukul seorang pelajar dalam kejadian 4 Mac lepas. 
Kejadian itu dikatakan berpunca apabila tiga pelajar tingkatan tiga terbabit berang dengan tindakan ketua tingkatan yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon bimbit ke sekolah. 
Perbuatan mereka dirakam dan tersebar luas dalam laman YouTube sejak beberapa hari lepas dan mendapat komen negatif daripada orang ramai. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.