Rabu, 15 Mei 2013

10 Ah Long Sekitar KL Diberkas Polis

Ah long semakin berani menawarkan pinjaman dengan mengiklankan nombor telefon mereka di tempat awam. Foto: klpost.com

Mohan Singh menunjukkan barangan yang dirampas dipercayai digunakan sindiket berkenaan. Foto: Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Polis menahan 10 lelaki ahli sindiket ah long dan merampas wang tunai RM29,000 dalam dua operasi berasingan di Puchong, Khamis lalu. 
Enam warga tempatan ditahan dalam Operasi Vulture oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bermula jam 1.30 tengah hari di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Puchong Jaya, Puchong. 
Seramai empat lagi warga tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Puchong kira-kira 10 jam kemudian. Kesemua yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 35 tahun. 
Sejumlah besar dokumen seperti 383 keping kad ATM, lima buku mengandungi butiran peminjam dan penyata kira-kira, tiga gambar (dipercayai milik peminjam), banner iklan dan peralatan yang digunakan dalam menjalankan kegiatan ah long, dirampas dalam operasi itu. 
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, serbuan itu adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang pengarah syarikat pelancongan. 
“Mangsa dipercayai mengalami masalah kewangan sebelum mengambil tindakan meminjam RM40,000 daripada sindiket berkenaan pada September tahun lalu. Difahamkan mangsa telah membayar sebanyak RM100,000 kepada sindiket terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, semalam. 
Menurutnya, mangsa perlu melunaskan pinjaman berkenaan dalam tempoh seminggu, sekiranya gagal, faedah 10 peratus daripada jumlah pinjaman dikenakan. 
“Wanita berusia 35 tahun itu juga dipaksa membuat pinjaman sebanyak RM632,000 daripada 13 individu yang dipercayai ahli sindiket ah long berkenaan kerana tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya. 
Mohan berkata, polis telah mengenal pasti dan memburu lima lagi suspek yang dipercayai ahli sindiket ah long terbabit. 
“Hasil siasatan juga mendapati syarikat pemberi pinjaman wang yang beroperasi di sekitar Cheras itu tidak mempunyai lesen,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.