Rabu, 15 Mei 2013

Benarkah Lampu LED Jejaskan Mata?


Satu kajian terhadap lampu LED mendapati ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada retina mata manusia

Lampu LED yang dikatakan mesra alam tetapi boleh menyebabkan kemudaratan kepada mata manusia

Philips melaporkan sekitar 38 peratus lampu yang berjaya dijual syarikat itu tahun lalu adalah lampu LED


Satu kajian terhadap lampu LED yang dikatakan mesra alam mendapati lampu tersebut boleh menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh disembuhkan kepada retina mata manusia. 
Lampu LED disebut-sebut sebagai alternatif yang efektif kepada mentol tradisional kerana ia menggunakan kurang 85 peratus tenaga elektrik. 
Pada bulan April, Philips, pengeluar lampu terbesar dunia melaporkan sekitar 38 peratus lampu yang berjaya dijual syarikat itu tahun lalu adalah lampu LED. 
Selain itu, lampu LED digunakan secara meluas dalam telefon bimbit, televesyen, skrin komputer dan boleh dipasang sebagai pengganti lampu tradisional di rumah. 
Harga lampu LED lebih mahal berbanding mentol tradisional namun pengeluar mendakwa pengguna boleh menjimatkan wang mereka kerana ia menggunakan tenaga elektrik yang rendah. 
Kerajaan Britain telah mengumumkan penggantian mentol tradisional secara berperingkat pada tahun 2007 selepas EU mengharamkan penggunaannya. 
Bagaimanapun pengharaman itu telah menyebabkan kemarahan di Britain kerana orang ramai terpaksa berbelanja lebih untuk membeli lampu tersebut. 
Dr Celia Sanchez-Ramos dari Universiti Complutense di Madrid yang mengetuai kajian menjelaskan, cahaya LED datang dari gelombang pendek, tenaga biru tinggi dan spektrum cahaya unggu yang boleh dilihat. 
Beliau berkata, pendedahan berterusan kepada cahaya ini mungkin tidak akan merosakkan retina seseorang. 
Namun retina terdiri daripada tisu yang sensitif terhadap cahaya yang berperanan mengesan cahaya dan membolehkan kita melihat. 
"Masalah akan menjadi buruk apabila manusia hidup lama dan kanak-kanak menggunakan alat-alat elektronik sejak usia muda," ujar Sanchez-Ramos kepada ThinkSpain.com. 
"Mata tidak diciptakan untuk melihat cahaya lampu secara langsung tetapi dicipta untuk melihat dengan cahaya," kata Sanchez-Ramos. 
Kajian mendapati sinaran LED telah menyebabkan kerosakan yang ketara pada sel-sel epitelium pada retina mata manusia. 
Sanchez-Ramos menambah, manusia moden telah membuka mata mereka selama kira-kira 6,000 jam setahun, selain terdedah kepada cahaya buatan dalam tempoh masa yang lama. 
Ini bukanlah kali pertama lampu LED dipersalahkan kerana kajian yang dijalankan oleh University of Antwerp awal tahun ini mendapati lampu LED telah menyebabkan pelunturan cat pada kerja-kerja Van Gogh dan Cézanne.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.