Selasa, 21 Mei 2013

Padah Elak Langgar Kereta Terbabas

Kereta dinaiki pasangan suami isteri terbabit yang hangus terbakar. Foto: Sinar Harian

Kereta dipandu Fieq yang terbalik akibat kemalangan berkenaan. Foto: Sinar Harian

ALOR GAJAH - Gara-gara mengelak sebuah kereta yang terbabas di tengah jalan, seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas, lalu terbalik. 
Kejadian berlaku di Kilometer 217.1 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini semalam apabila Fieq Zhafri Hanafiah, 28, yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM terkejut apabila sebuah kereta jenis Toyota Camry di lorong kanan, secara tiba-tiba hilang kawalan. 
Dalam kejadian kira-kira 6.10 pagi itu, Fieq yang memandu sendirian dalam perjalanan dari Selayang, Selangor, manakala Toyota Camry berkenaan dinaiki Ng Seng Keia bersama isterinya, Soon Mui Wah, masing-masing berusia 60 tahun. 
Difahamkan, Fieq bertugas sebagai jurutera dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menghadiri mesyuarat. 
Menurut sumber, kemalangan berlaku apabila Toyota Camry terbabit tiba-tiba meluncur laju ke kiri jalan menyebabkan Fieq cuba mengelak, sebelum kedua-dua kenderaan itu bergesel. 
“Pergeselan itu mengakibatkan Proton Saga terbabas ke kiri dan merempuh kon plastik, lalu terseret ke lorong kanan. Kereta itu juga berpusing dan terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas," katanya. 
Menurutnya, pemandu Proton Saga yang cedera ringan berjaya keluar menerusi pintu kiri penumpang. 
Bagaimanapun, katanya, pasangan suami isteri yang menaiki Toyota Camry itu terperangkap dalam kereta yang sudah berasap. 
“Ketika itu, terdapat api kecil dan asap keluar dari bahagian enjin kereta pasangan itu. 
Kedua-duanya tidak dapat keluar kerana sukar membuka tali pinggang keledar. 
“Namun selepas beberapa minit, tali pinggang keledar berkenaan berjaya direntap dan mereka berdua sempat keluar menyelamatkan diri sementara api semakin marak di bahagian tengah kereta," katanya. 
Menurutnya, walaupun api semakin marak, pasangan terbabit sempat mengeluarkan beberapa barang dalam bonet kereta. 
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Md Zin Bujang berkata, seramai sembilan anggota membabitkan dua jentera bomba dan penyelamat dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran. 
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, kesemua mangsa sudah keluar dari kenderaan masing-masing. 
“Bomba mengambil masa tidak sampai lima minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran. 
Terdapat tumpahan minyak atas jalan raya dan pihak Plus membantu menabur tanah dan pasir bagi mengelak berlaku gelinciran pada kenderaan lain,” katanya. - Sinar Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.