Khamis, 23 Mei 2013

Pengawal Landasan Maut Selepas Sebulan Bertugas

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati di landasan kereta api. Gambar kecil, Azmil Talib. Foto: Sinar Harian
Foto
Anggota polis memeriksa keadaan mayat mangsa yang digilis kereta api. Foto: myMetro

ALOR GAJAH - Seorang lelaki Orang Asli yang baru sebulan bertugas mengawal landasan terbunuh selepas digilis kereta api penumpang laluan Tampin - Rembau, berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Payung, Simpang Ampat, dekat sini, semalam. 
Azmil Talib, 27, ditemui dengan sebahagian tubuhnya hancur dan mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dipercayai diseret kereta api sejauh kira-kira 200 meter dari tempat kejadian. 
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan memberitahu rakan setugasnya, Amiruddin Yahya, 27, dia mahu membuang air besar, kira-kira 1.30 pagi. 
Menurut Amiruddin, mangsa yang masih bujang bertugas dari 7 petang kelmarin hingga jam 7 pagi semalam di pos Saluran 504 - 512 landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). 
“Sebelum kejadian, mangsa ada mengadu sakit perut kepada saya sebelum meminta diri untuk membuang air di sekitar landasan kereta api pada awal pagi kejadian. 
"Dia sempat meminta saya menunggu di saluran 504 berhampiran sebuah ladang kelapa sawit sementara mangsa membuang air. Dia tinggalkan telefon bimbit dan beg duit kepada saya sebelum pergi buang air," katanya. 
Menurutnya, selepas beberapa jam menunggu, dia berasa tidak sedap hati lalu bertindak mencari mangsa di sekitar landasan kereta api, namun tidak kelihatan. 
“Kira-kira 5.15 pagi selepas usaha mencari seakan-akan menemui jalan buntu, tiba-tiba saya terpandang satu objek hitam seperti ketulan kayu hitam di tepi landasan. 
“Selepas mengamati objek berkenaan dari jarak 200 meter saya terus dekatinya dan perasan terdapat satu kilauan cahaya dari pantulan baju dari celah objek berkenaan," katanya. 
Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati objek itu adalah rakan setugasnya lalu menghubungi abang mangsa, Qaseh Talib, 33, yang kebetulan mengawal di sekitar landasan tidak jauh dari tempat mangsa bertugas. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.