Rabu, 29 Mei 2013

Tragedi Bot Karam Di Sungai Rajang

Gambar sebelum bot karam menunjukkan penumpang duduk di atas bumbung. Foto: Forum Carigold

Sebahagian besar kawasan di Sarawak masih bergantung kepada pengangkutan air. Foto: dinhs.wordpress.com

KUCHING - Seramai 23 orang hilang manakala 181 lagi selamat apabila bot ekspres yang mereka naiki karam di Sungai Rajang berhampiran Belaga di pedalaman Sarawak hari ini. 
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata kesemua 181 mangsa yang selamat itu kini ditempatkan di dua rumah panjang tidak jauh daripada kawasan kejadian, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot ekspres dari pekan Belaga. 
"Kami masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat mereka yang hilang," katanya ketika dihubungi dari sini. 
Beliau berkata kejadian dilapor antara pukul 8.30 dan 9 pagi apabila bot ekspres 'Bakun Mas' itu mengalami masalah enjin selepas melangar serpihan kayu di sungai itu. 
Ketika kejadian bot dengan kapasiti 67 penumpang itu sarat dengan penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Hari Gawai, kebanyakannya pekerja pembalakan dan ladang kelapa sawit di kawasan itu. 
Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kapit Betek Lahang ketika dihubungi berkata polis dan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah sebenar mangsa terlibat. 
Beliau berkata ketika kejadian bot ekpress yang penuh dengan penumpang itu dalam perjalanan ke Kapit dan Sibu selepas kira-kira 40 minit berlepas dari bandar Belaga. 
Polis dan pasukan perubatan kini berada di tempat kejadian dan sehingga petang ini usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan, katanya. 
Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah ketika dihubungi berkata beliau dan anggota Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong dan anggota Dewan Undangan Negeri Belaga Liwan Lagang dalam perjalanan ke tempat kejadian. - Bernama

Foto
Suasana di tempat kejadian bot ekspres yang karam di Belaga. Foto: myMetro
Foto
Mangsa yang selamat berenang ke tebing sungai. Foto: myMetro

Di antara mangsa yang terselamat. Foto: mysumber

KUCHING - Lokasi bot ekspres dipercayai membawa lebih 200 penumpang yang karam hari ini terkenal kerana mempunyai jeram yang dalam dan berbahaya, kata Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Belaga Liwan Lagang. 
Beliau berkata terdapat batu besar di dalam sungai itu di Giam Tukok, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan menghilir sungai dari bazar Belaga, dan sehingga malam ini kira-kira 21 penumpang masih hilang. 
Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di Belaga, beliau berkata berdasarkan cerita mangsa yang terselamat, satu daripada batu besar di dalam sungai itu mengakibatkan bot ekspres yang sarat muatan itu menjadi senget dan akhirnya karam. 
"Saya diberitahu oleh seorang daripada mangsa yang terselamat bahawa pemandu bot sebelum itu cuba mengelak daripada melanggar sebatang balak yang terapung di sungai dan ketika berbuat demikian, bahagian belakang bot itu terlanggar batu besar itu dan mengakibatkannya gagal dikawal serta menjadi senget," katanya. 
Liwan, yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak, berkata beliau secara kebetulan sedang menaiki helikopter melintasi kawasan itu dari Sungai Asap, Belaga, apabila ternampak bot ekspres itu mula karam. 
Beliau kemudian meminta juruterbang untuk mendaratkan helikopter itu di kawasan berdekatan tempat kejadian sebelum mengelolakan penduduk kampung dari dua rumah panjang di kawasan itu untuk menyelamatkan kira-kira 30 penumpang dan pada masa sama ada antara penumpang terbabit berjaya berenang menyelamatkan diri. 
Keseluruhannya, polis Belaga mengesahkan 181 penumpang terselamat dalam tragedi itu dan menurut Liwan, antara mereka adalah kanak-kanak. 
"Menurut kiraan saya terdapat lebih daripada 10 (kanak-kanak) yang menaiki bot itu memandangkan mereka mengikut keluarga masing-masing untuk cuti Gawai," katanya. 
Liwan, yang berada kira-kira tiga jam bersama mangsa yang terselamat, memberitahu Bernama beliau akan bermalam di Belaga dan terus membantu pihak berkuasa yang berkenaan dalam operasi mencari dan menyelamat. 
Setakat 8 malam ini, Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau, gagal dihubungi untuk mengesahkan sama ada operasi itu dihentikan malam ini. - Bernama

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. Foto: Sinar Harian


KUCHING - Berdasarkan siasatan awal, polis percaya bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga pagi ini terlebih muatan dengan dinaiki lebih 200 penumpang, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. 
Beliau berkata penumpang yang menaiki bot ekspres itu dengan muatan jauh melebihi jumlah yang dibenarkan iaitu 67 penumpang duduk dibuat berdasarkan cerita mangsa yang terselamat dalam insiden itu. 
"Identiti mereka yang hilang masih samar kerana belum ada jumlah rasmi penumpang memandangkan pengusaha bot ekspres itu dipercayai tidak menyimpan senarai penumpang," katanya kepada Bernama. 
Setakat ini laporan tidak rasmi menyebut 21 orang masih hilang manakala 181 orang lagi berjaya berenang menyelamatkan diri apabila bot ekspres itu terhempas ke batu kira-kira 40 minit selepas meninggalkan pekan Belaga. 
Beliau berkata anggota polis, yang terdiri daripada pasukan mencari dan menyelamat, masih berada di tempat kejadian dan sebarang maklumat tepat atau pengesahan berhubung jumlah sebenar mangsa hanya dapat diketahui dalam beberapa jam lagi. - Bernama

Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres karam akan disambung awal pagi Rabu. Foto: Sinar Harian


KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga hari ini akan disambung awal pagi Rabu, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. 
Beliau berkata sehingga 9.30 malam Selasa, polis mengesahkan 181 terselamat manakala 23 penumpang lagi dipercayai masih hilang dalam kemalangan itu selepas bot ekspres yang sarat muatan itu terhempas ke batu dan tenggelam di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan menghilir sungai dari Sibu. 
"Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota polis dan agensi lain yang berkaitan dihentikan pada 6 petang kerana keadaan gelap," katanya kepada Bernama di Kuching. 
Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata polis percaya bot itu terlebih muatan membawa lebih 200 penumpang untuk pulang menyambut Hari Gawai. 
Identiti mereka yang hilang masih samar kerana belum ada jumlah rasmi penumpang memandangkan pengusaha bot ekspres itu dipercayai tidak menyimpan senarai penumpang, katanya. - Bernama

Kemaskini 29.5.2013 (1.21 PM):

Bot ekspres merupakan alat pengakutan utama di Sungai Rajang. Foto: Jakim

BELAGA - Gerakan mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat sini, diteruskan pagi ini bagi mengesan 23 mangsa yang masih hilang. 
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sabau berkata operasi yang bermula pukul 7 pagi tadi itu dilakukan oleh polis dengan kerjasama pasukan bomba dan penyelamat. 
"Kita tumpukan di kawasan kemalangan iaitu di Jeram Tukok/Jeram Bungan. Pagi ini seramai 19 anggota polis dari Belaga, Kapit, Bintulu termasuk polis marin dan lima anggota bomba terlibat dalam operasi," katanya ketika dihubungi Bernama. 
Bakar berkata anggota tambahan dari Unit Latihan Polis Kuching dijangka tiba tengah hari ini bagi membantu operasi itu. 
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, bot ekspres yang dipercayai membawa penumpang berlebihan karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan ketika dalam perjalanan dari arah Bakun ke Terminal Bot Ekspres Sibu. 
Ketika operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 9.30 malam tadi, polis mengesahkan 181 penumpang terselamat dan 23 masih hilang. 
Menurut polis, bot tersebut hanya berkapasiti 67 penumpang. - Bernama

Pemandangan di tepi Sungai Rajang. Foto: Jakim

Bot ekspres sentiasa sesak terutama pada hari perayaan. Foto: The Borneo Post


KUCHING – Berdasarkan cerita mangsa yang terselamat dalam tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga semalam, 11 penumpang masih hilang manakala 179 orang lagi berjaya berenang ke tebing sungai setakat pagi ini. 
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan 100 anggota polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan, Pejabat Residen Kapit, 11 bot penyelamat dan 18 penyelam, di lokasi kejadian di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan ke hulu sungai dari Sibu. 
“Kami belum dapat mengesahkan sama ada penumpang yang masih hilang itu terperangkap di dalam bot ekspres yang tenggelam atau dihanyutkan arus deras ke hulu,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini. 
Beliau berkata, polis akan mengumpul maklumat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan bagi memastikan sama ada terdapat kecuaian di pihak pengusaha bot ekspres sehingga mengakibatkan kematian, dengan bantuan Lembaga Sungai-sungai Sarawak (SRB). 
Jumlah sebenar mangsa sukar ditentukan kerana pengusaha bot terbabit dipercayai tidak menyimpan senarai penumpang bot itu yang membawa penumpang jauh melebihi had dibenarkan dan karam selepas terlanggar batu di sungai itu. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Ba’ Kelalan Baru Bian menggesa SRB supaya melantik lebih ramai pegawai penguatkuasa dan membuka lebih banyak pejabat di kawasan melewati Kapit bagi memastikan pemeriksaan yang kerap dilakukan ke atas bot ekspres yang berulang-alik di Sungai Rajang. 
Pada masa ini pegawai penguatkuasa SRB terpaksa ditugaskan dengan menaiki bot laju untuk menjalankan pemeriksaan sungai seperti itu di kawasan hulu sungai seperti Bakun dan Belaga. 
Sambil mengucap takziah kepada keluarga mangsa kemalangan, beliau berkata penduduk yang bergantung semata-mata kepada pengangkutan sungai tidak boleh lagi berdepan tragedi seperti itu yang sebelum ini banyak kali berlaku. 
Beliau turut menggesa Jabatan Marin supaya menyemak semula prosedur dalam meluluskan lesen pengusaha dan pemandu bot ekspres selain aspek keselamatan bot berkenaan. 
Di BELAGA, seorang saksi kejadian, Harudis Busan, 42, yang kebetulan berada di pondok tepi Sungai Rajang berhampiran tempat kejadian berkata dia mengambil masa hampir sejam bersama dua rakan membantu menyelamatkan mangsa dengan membawa mereka ke tebing. 
“Ketika kejadian 9 pagi itu, dua kawan saya panggil saya beritahu yang bot ekspres sampai dan kelihatan sangat padat. Tiba-tiba saya lihat enjin bot terhenti dan bot mulai karam,” katanya kepada Bernama. 
Harudis yang berasal dari Long Dungan berkata sebaik bot ekspres mulai karam, dia melihat suasana kelam-kabut dengan penumpang mula terjatuh ke dalam sungai. 
“Saya ajak dua kawan tadi, kami bertiga guna dua perahu menuju ke arah bot ekspres dan membantu penumpang-penumpang yang mulai terjatuh ke dalam sungai itu. 
“Masa itu kami tumpu bantu penumpang yang bawa anak-anak dan bawa mereka ke tebing sungai menaiki perahu. Berkali-kali kami ulang-alik bantu mangsa-mangsa, hampir sejam kami bantu mereka,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.