Isnin, 3 Jun 2013

Berubah Sikap Menjelang Ajal

Gambar percutian terakhir Nursafura bersama suaminya, Kamarul dan anak-anak mereka. Foto: Sinar Harian

Nursafura bersama dua anaknya ketika ditemui di rumah mereka, semalam. Foto: Sinar Harian

GEORGETOWN - 'Kebelakangan ini abang jadi pendiam dan dia dilihat semakin rapat dengan anak bongsu kami.' 
Itu perubahan yang dilihat Nursafura Ismail, 30, terhadap suaminya, Kamarul Azri Ishak, 30, yang ditemui lemas berhampiran jeti Batu Uban di sini petang kelmarin. 
Menurutnya, suaminya yang juga seorang pekerja am Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebelum ini seorang periang dan peramah namun sejak seminggu lalu dia menunjukkan perubahan sikap. 
Menceritakan semula kejadian yang menimpa Kamarul Azri itu, Nursafura berkata, suaminya mencari pendapatan tambahan dengan menyediakan perkhidmatan bot menghantar pemancing ke kawasan bawah jambatan Pulau Pinang. 
Nursafura berkata, pada hari kejadian suaminya keluar rumah seperti biasa kira-kira jam 4.30 petang untuk menjalankan tugas namun dia tidak menyangka pertemuannya dengan suaminya itu adalah kali terakhir baginya. 
Bagaimanapun, sebelum suaminya keluar dari rumah, dia sempat memeluk erat dan mengucup pipi anak bongsunya, Nur Inas Sumaiyah yang baru berusia enam bulan sebelum meninggalkan rumah. 
“Tidak sampai beberapa jam abang keluar tiba-tiba datang seorang rakannya ke rumah memaklumkan musibah yang menimpa abang. 
“Saya tak percaya pada mulanya apa yang dikatakan kawannya itu namun selepas adik ipar menghubungi dan memaklumkan perkara yang sama, saya rasa dunia saya gelap,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu Uban, semalam. 
Jenazah Kamarul telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Uban di sini pagi tadi. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut,Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan menerima laporan kematian mangsa. Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.