Sabtu, 1 Jun 2013

Dua Bulan Baiki Jalan Penampang-Tambunan?

Jalan Penampang-Tambunan KM21 ini runtuh pada pagi Jumaat. Foto: Bernama

KOTA KINABALU - Jalan Penampang-Tambunan dekat sini yang terjejas akibat tanah runtuh semalam dijangka siap dibaiki dalam tempoh satu atau dua bulan. 
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk John Anthony berkata reka bentuk yang sesuai akan dikaji bagi membina semula jalan yang rosak itu. 
JKR perlu memastikan asas jalan raya itu kukuh bagi kegunaan kenderaan, khususnya kenderaan berat, yang sering menggunakan jalan itu untuk ke Keningau, katanya ketika ditemui di tempat kejadian dekat sini hari ini. 
Hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak petang Khamis mengakibatkan kejadian tanah runtuh di kilometer 21 jalan itu semalam yang turut memusnahkan sebuah rumah. 
Anthony tidak menolak kemungkinan kegiatan mengorek tanah oleh individu tidak bertanggungjawab turut menyumbang kepada kejadian itu. 
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata beliau akan memastikan penyelesaian kepada masalah jalan raya yang sering rosak di Sabah, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi. - Bernama

Berita Semalam 31.5.2013 
Foto
Seorang penduduk nekad berjalan merentasi tebing jalan yang runtuh tanpa menghiraukan risiko. Foto: myMetro

KOTA KINABALU - Hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak petang semalam mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Kampung Babagon, di kilometer 21 Jalan Penampang-Tambunan dekat sini hari ini. 
Kejadian tanah runtuh di Kampung Babagon yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari bandaraya Kota Kinabalu itu mengakibatkan jalan itu ditutup sementara kepada lalu lintas. 
Ketua Polis Penampang DSP Ratan Kumar Singh berkata tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu. 
"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif seperti Jalan Kimanis-Keningau," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K.Ramin dalam satu kenyataan berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.04 pagi dan sepasukan anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba Penampang tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian. 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Datuk John Anthony berkata pihaknya telah menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas. 
"Kerja membaiki jalan Penampang-Tambunan sedang dijalankan dan jalan itu dijangka boleh dilalui semula kira-kira 7 malam ini," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas. 
Mengenai kejadian tanah runtuh membabitkan Jalan Merakau, Ranau, dekat sini malam semalam, John berkata jalan itu telah siap dibaiki dan kini boleh dilalui pengguna. 
Kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 8 dan 11 malam membabitkan bahagian jalan yang dalam pembinaan.- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.