Rabu, 5 Jun 2013

Jenayah Di Sana Sini

Dua Kedai Pengurup Wang Kena Samun

Gambar hiasan. Foto: hasani

GEORGETOWN - Dua kedai pengurup wang di Batu Feringghi menjadi sasaran penjenayah apabila disamun dalam dua kejadian berasingan menyebabkan kerugian kira-kira RM 50,000 di sini malam kelmarin. 
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu, tiga lelaki bersenjatakan pistol dan memakai topi keledar bertindak mengugut penjaga kedai berkenaan yang berusia 22 tahun sebelum mengarahkannya menyerahkan wang. 
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, salah seorang daripada suspek bersenjatakan sepucuk pistol jenis automatik meletakkan senjatanya di atas kaunter menyebabkan mangsa ketakutan. 
Ismail berkata, suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan wang namun apabila mangsa cuba melawan suspek bertindak menarik picu pistol dan mengugut mahu menembak mangsa. 
“Mangsa yang ketakutan kemudiannya menuruti apa kehendak penjenayah itu dan menyerahkan wang tunai termasuk mata wang asing bernilai kira-kira RM15,000 sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menunggang dua motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 
Menurutnya, selepas melarikan wang berkenaan, kumpulan penjenayah itu kemudian dikatakan pergi ke kedai kedua yang jaraknya kira-kira 100 meter dari lokasi pertama. 
Ismail berkata, siasatan awal mendapati dua suspek masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengacukan pistol melalui ruang kaunter berkaca dan salah seorang suspek pula masuk ke dalam kaunter melalui pintu yang tidak berkunci. 
“Suspek kemudian mengambil wang tunai bernilai RM30,000 dan RM5,000 wang wang asing, telefon bimbit di kedai kedua yang disamun mereka. 
“Namun sebelum mereka mahu melarikan diri dari kedai berkenaan suspek terlihat kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai mangsa,” katanya. 
Ismail berkata, penjenayah berkenaan mengarahkan seorang penjaga kedai itu menutup CCTV berkenaan namun dia yang tidak menuruti arahan itu menerima padah apabila dipukul oleh salah orang suspek menggunakan pistol. 
Bimbang perbuatan mereka itu disedari orang ramai, kumpulan penjenayah itu melarikan diri. 
Ismail berkata, pihaknya kini giat memburu ketiga-tiga suspek berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan bersenjata. 
Menurutnya, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan. 
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPDTL di talian 04-2181822. - Sinar Harian

Mat Despatch Kena Samun

Mat despatch (gambar hiasan). Foto: mStar

KUANTAN - Seorang penghantar surat kerugian wang tunai RM500 apabila disamun dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan sebilah pedang samurai di sini. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintenden Aziz Ahmad berkata dalam kejadian 4.50 petang tadi, Mohd Shahril Mohd Sehu, 24, disamun suspek di Jalan Pintas Kuantan selepas diarah menghentikan motosikal, dan seorang daripada mereka mengacu sepucuk pistol manakala rakannya meletakkan pedang samurai di leher mangsa. 
"Selepas menyamun mangsa, seorang daripada suspek bertindak membuang kunci motosikal mangsa ke atas jalan raya dan terus melarikan diri," katanya kepada Bernama hari ini. 
Beliau berkata polis kini memburu suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Inspektor Cedera Ditembak Perompak

Kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai, Alor Setar yang dirompak dua lelaki semalam.

ALOR SETAR - Ketua Balai Polis Senai, Johor cedera ditembak ketika cuba menghalang dua penjenayah melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai di sini semalam. 
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Inspektor Zuwairi Ramli, 30, cedera di tapak tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). 
Semasa kejadian, pegawai polis yang sedang bercuti bersama keluarganya itu dalam perjalanan pulang ke Johor selepas menghantar rombongan pengantin ke Pulau Langkawi. - Kosmo! Online

Warga Indonesia Maut Ditetak Guna Celorek

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang maut ditetak guna celorek. Foto: Sinar Harian

LEMBAH KLANG - Seorang warga Indonesia yang sedang dalam perjalanan pulang selepas membeli makanan maut setelah ditetak oleh dua individu dalam kejadian yang berlaku di Jalan Utama, di sini, semalam. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superitendan Othman Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 7.30 petang . 
Menurutnya, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian bagi membolehkan proses siasatan dijalankan berhubung kes itu selepas menerima panggilan tersebut. 
“Ketika sampai di lokasi, pihak kami mendapati seorang warga Indonesia maut setelah ditetak oleh dua orang suspek dengan menggunakan celorek,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam. 
Menurutnya, mangsa ketika kejadian dipercayai sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas membeli makan sebelum ditetak oleh salah seorang daripada suspek tersebut. 
Katanya, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian perut, dagu dan belakang kepala itu maut di tempat kejadian akibat tetakan berkenaan. 
“Mangsa berkenaan ditetak oleh salah seorang suspek dan mengakibatkan dia maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius,” katanya. 
Dalam pada itu, Othman berkata, pihaknya telah berjaya menahan dua individu warga asing bagi membantu menjalankan siasatan berhubung kes tersebut. 
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan dua suspek yang berjaya melarikan diri dan dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh itu. 
“Pihak forensik juga turut turun padang bagi membantu menjalankan siasatan berhubung kejadian bunuh tersebut. 
“Turut ditemui sarung celorek yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian bunuh berkenaan,” katanya. - Sinar harian

Dua Pemuda Cuba Curi Kereta

Eng Khim (tengah) dan dua ahli PPKM bersama kereta yang cuba dilarikan oleh suspek. Foto: Sinar Harian

KULIM - Hajat dua pemuda berusia 20-an untuk melarikan kereta jenis Nissan di garaj kereta di Jalan Air Merah tidak kesampaian apabila mereka ditahan oleh ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), kira-kira jam 8 pagi kelmarin. 
Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, dia mendapat maklumat orang awam terdapat dua lelaki menunggang motosikal jenis Kawasaki RR150 dalam keadaan mencurigakan berlegar di sekitar kawasan tempat kejadian. 
“Saya kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada semua ahli yang berada di Pekan Kulim melalui alat perhubungan untuk pergi ke tempat kejadian. Apabila tiba di sana, ahli PPKM nampak dua lelaki berada dalam sebuah kereta dan cuba menghidupkan enjin kereta itu tanpa menggunakan kunci. 
"Setelah dikepung, ahli PPKM minta kedua-dua suspek keluar dari kereta sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis untuk mendapatkan bantuan unit kereta peronda (MPV). Dari pemeriksaan dijalankan mendapati suspek memiliki lebih 20 pil dipercayai pil khayal,” katanya. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kedua-dua suspek berasal dari Sungai Kob ditahan untuk siasatan lanjut. 
Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek terlibat, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian kereta di Kulim. 
Katanya lagi, tindakan pantas orang ramai membendung perlakuan jenayah sangat dihargai. 
"Polis tidak dapat melakukan pencegahan jenayah tanpa bantuan orang ramai. Dengan adanya kerjasama baik ini, ia membantu polis menahan dan mendakwa penjenayah terlibat," katanya. - Sinar Harian

Penyamun Guna Parang Dan Pedang

Ariffin menunjukkan bagaimana dia jatuh selepas ditendang penyamun. Foto: Sinar Harian

Lubang tingkap tempat penyamun menceroboh masuk ke dalam rumah. Foto: Sinar Harian

Zainun menunjukkan lehernya yang diacu dengan parang. Foto: Sinar Harian

TANAH MERAH - Pasangan suami isteri di sini, kerugian RM30,000 bila rumah mereka dimasuki tiga penyamun bersenjatakan parang dan pedang melalui tingkap rumah yang diumpil. 
Mangsa, Mat Ariffin Mat Sulaiman, 64, berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.00 pagi semalam ketika dia bangun ke tandas. 
“Saya hairan mendapati pintu utama rumah terbuka dan tiba-tiba saya rasakan diri saya diterkam. Mulut saya ditutup kuat,” katanya yang juga peniaga pinang kering. 
Menurutnya, dia meronta namun ketika bergelut, belakangnya ditendang dan jatuh tersungkur di lantai. 
Katanya, dalam pergelutan hampir lima belas minit itu, dia tewas dan lehernya diacu parang, malah kesemua penyamun itu bertopeng. 
“Dompet saya yang berisi kad pengeluaran wang automatik (ATM) dirampas, cincin dan telefon bimbit serta kunci kereta turut diambil,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. 
Ceritanya, penyamun itu menekannya supaya memberikan nombor pin kad ATM tersebut dan dia mengikuti kehendak mereka kerana tidak mahu dicederakan. 
Sementara itu, isteri mangsa, Zainun Hassan, 58, berkata dia juga diacu pedang dan diberi amaran supaya jangan menjerit, kalau mahu selamat. 
Katanya, dia mengikuti arahan tersebut kerana tidak mahu dirinya dan suami dicederakan. 
“Makcik tidak tahu buat apa lagi ketika itu, hanya mendiamkan diri, menyerah diri kepada ALLAH. Segala gelang dan rantai berada di badan diambil penyamun,” katanya bernada sedih. 
Ceritanya lagi, penyamun yang tidak berperikemanusiaan itu memaksanya memberitahu tempat simpan wang perniagaan hari itu. 
“Makcik mengikuti arahan penyamun itu dan wang perniagaan yang disimpan di atas rak kain pada hari itu, semunya diambil,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Ad Aziz Mahmud mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan tangkapan telah dilakukan. 
“Tiga suspek telah ditahan reman selama tujuh hari, sementara seorang lagi suspek terlibat sedang diburu,” katanya. 
Katanya, kejadian itu disiasat mengikut seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, samun berkumpulan menggunakan senjata tajam yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan. - Sinar Harian

Peniaga Kena Rompak

Rumah bersepah selepas kena samun. Foto: Sinar Harian

Kereta milik Kian Huat nyaris dilarikan pencuri. Foto: Sinar Harian

BANTING - Tindakan licik sekumpulan penjenayah memasang lampu dan televisyen ketika ketiadaan seorang peniaga yang menghadiri majlis selama dua hari nyata mengaburi jiran apabila rumah mereka dipecah masuk dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam. 
Peniaga, Soo Kian Huat, 51, berkata, dia terkejut apabila melihat pintu rumah diumpil manakala tingkap besi di bahagian hadapan turut dipotong sebelum menggeledah keseluruhan rumah terbabit. 
Menurutnya, kereta Toyota Lucida yang ditinggalkan di garaj rumahnya nyaris dilarikan apabila suspek mengambil kunci di rumah sebelum cuba menyelerakkan barang dalam kereta. 
“Bagaimanapun, suspek mungkin panik apabila mendengar penggera keselamatan kereta berbunyi meskipun sudah berjaya menggeledah rumah dan melarikan kunci kenderaan. 
“Saya hanya mengalami jumlah kerugian RM8,000 termasuk wang tunai RM300 dan beberapa jenis tilam kesihatan turut dibawa lari,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam. 
Kian Huat yang menjalankan perniagaan bahan membuat kuih berkata, dia percaya suspek mungkin sudah melihat rumahnya kosong dan menggunakan taktik menghidupkan semua lampu bagi mengelirukan jiran kerana perkara sama biasa dilakukan jika pulang ke rumah awal pagi selepas mengemas barang di kedai. 
“Kejadian pertama kali ini memberi kesan kepada penduduk apabila risau kejadian yang sama bakal berulang lagi. 
“Polis diharapkan dapat menjaga keselamatan lebih-lebih lagi apabila terdapat sekumpulan orang awam melepak di tepi padang hingga awal pagi,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa. - Sinar Harian

Pengawal Keselamatan Dibelasah 12 Lelaki

Pondok pengawal (gambar hiasan). Foto: malaycan.

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan sebuah apartmen di Taman Melawati bukan sahaja dibelasah 12 lelaki malah turut disamun menyebabkan kerugian dianggarkan RM4,000. 
Dalam kejadian jam 11.30 malam Ahad lalu, lelaki berusia 28 tahun itu yang berada dalam pos pengawal didatangi 12 lelaki bermotosikal berhenti di hadapan apartmen berkenaan. 
Menurut sumber, belum sempat mangsa berbuat apa-apa, kumpulan itu menyerang dan membelasahnya beberapa minit dengan kayu serta parang. 
“Seorang daripada mereka merampas rantai leher mangsa selain mengambil telefon bimbit dan wang miliknya sebelum mereka melarikan diri,” katanya. 
“Sebaik berjaya mengambil barangan milik mangsa, semua mereka melarikan diri,” katanya. 
Sumber berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang cedera di kepala, muka dan belakang badan akibat terkena libasan parang mendapatkan rawatan di klinik berhampiran. 
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju. untuk tindakan selanjutnya. - myMetro


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.