Khamis, 25 Julai 2013

Manfaat Kepada Penjawat Awam

Abdul Khalid Ibrahim umum bonus sebulan gaji untuk penjawat awam di negeri Selangor


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini. 
Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu dan bonus akan diberi selewat-lewatnya hujung bulan ini. 
"Pemberian bonus ini akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak dan sambilan...namun sekiranya kerajaan pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi (bonus) setengah bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini," katanya pada sidang media di sini. 
Ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri untuk mengekang ajaran syiah di Selangor, Abdul Khalid berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
"Jais akan mengambil tindakan terhadap perkara ini. Sekiranya perlu diambil tindakan ke atas pihak yang mengamalkan ajaran itu, mereka (Jais) akan buat apa yang perlu," tambahnya. - Bernama


Selepas MB Selangor umum bonus, PM Najib juga umum bayaran Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam persekutuan

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54. 
Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka. 
Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini. 
Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 
Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya. 
"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya. 
Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif. 
Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun. 
"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya. 
Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.