Khamis, 18 Julai 2013

Restoran Haji Shariff Cendol

Cendol di Restoran Haji Shariff Cendol. Foto: FriedChillies

Restoran Haji Shariff Cendol terletak di Jalan Yam Tuan, Seremban. Foto: FoodStreet

Restoran Haji Shariff Cendol dicat dengan warna hijau. Foto: tailim

Restoran ini selalu sesak dikunjungi pelanggan yang datang dari dekat dan jauh. Foto: FoodStreet

Restoran ini tidak menyajikan makanan dan minuman selain daripada yang tertera sebagaimana di atas. Foto: Kim Chow


Harga rojak mi. Foto: Blog Hamba

Bowl yang digunakan untuk menyajikan cendol. Foto: FriedChillies

Perniagaan Haji Shariff Cendol bermula sejak tahun 1930-an. Foto: Foodspotting

Selain cendol, restoran ini juga menyajikan rojak mi. Foto: FriedChillies

Pelayan restoran semuanya lelaki. Foto: FriedChillies

Restoran ini banyak menggunakan warna hijau sehingga meja pun berwarna hijau. Foto: Foodspotting

Pemandangan di sebelah dalam restoran. Tiada tv dan tayangan gusti. Foto: Kim Chow

Pemandangan di sebelah luar restoran. Foto: tailim

Cendol pulut. Foto: foodspotting

Cendol biasa. Foto: foodspotting

Cendol kacang. Foto: foodspotting

Rojak. Foto: foodspotting

Rojak mi. Foto: foodspotting


Sudah lama saya ingin menulis tentang Restoran Haji Shariff Cendol. Namun disebabkan sibuk, saya tidak mempunyai kesempatan. Bagaimanapun puasa Ramadan pada kali ini mendorong saya untuk menulis mungkin kerana memori saya teruja apabila dihidangkan cendol oleh isteri saya semasa berbuka puasa. 
Pertama kali saya berkunjung ke Restoran Haji Shariff Cendol ialah pada bulan Disember 2011. Itupun selepas terbaca beberapa artikel di berbagai blog di internet tentang restoran ini, ketika saya mencari pelbagai jenis resipi cendol untuk mendapatkan resipi yang terbaik.
Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berkunjung ke restoran ini kerana ingin merasai sendiri cendolnya yang dikatakan lazat. 
Mula-mula saya mencari lokasi restoran ini menggunakan peta google. Setelah menemui lokasi restoran, saya mengajak isteri dan anak-anak ke restoran ini. 
Pertama kali berkunjung ke restoran ini, kami hanya dapat duduk di meja di sebelah luar sahaja kerana semua meja di sebelah dalam telah penuh. Itupun setelah menunggu beberapa ketika. 
Hanya pada kunjungan kedua pada bulan Mac 2012, barulah kami berkesempatan makan di meja sebelah dalam. 
Pada saya, restoran ini agak berbeza daripada restoran mamak yang lain. Di sini tidak terdapat skrin tv dan tidak ada tayangan gusti. Selain itu, saya tidak melihat pelayan perempuan di sini. 
Namun saya dapati, restoran ini sentiasa dikunjungi oleh ramai orang yang datang dari dekat dan jauh. Di antara pengunjung yang datang ke sini, terdapat personaliti terkenal seperti ahli politik dan cendikiawan yang pernah muncul di kaca tv. 
Oleh kerana kami datang sekeluarga, maka kami memesan kesemua jenis cendol dan rojak. Melalui cendol dan rojak anak-anak, saya berpeluang merasai kesemua jenis cendol dan rojak berkenaan sedikit-sedikit. 
Bagaimanapun saya lebih menyukai cendol biasa dan rojak mi. Cendolnya lembut dan rasanya lemak manis selain bau daun pandannya yang menyerlah. 
Rojaknya juga lazat. Mungkin kuah rojaknya lebih banyak menggunakan ubi manis berbanding kacang tanah. Manakala rasa masam dan manis melebihi rasa masin. Namun kuahnya terasa agak pedas bagi saya yang tidak tahan makanan pedas. 
Memang benarlah maklumat yang mengatakan restoran ini menggunakan konsep hijau. Selain cat di sebelah luarnya berwarna hijau, warna jubin di sebelah dalam juga hijau. Meja makan juga berwarna hijau! Hanya kuah rojaknya berwarna kemerah-merahan.
Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, perniagaan Restoran Haji Shariff Cendol bermula pada tahun 1930-an dengan kereta sorong. Selepas itu perniagaannya meningkat kepada gerai. Kini, perniagaannya bertaraf restoran dan diwarisi oleh generasi ketiga. 
Mungkin sejarah perkembangan Restoran Haji Shariff Cendol ini boleh menjadi teladan kepada usahawan Melayu yang ingin menceburi bidang perniagaan makanan, tetapi kurang pengalaman dan tidak mempunyai modal yang besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.