Rabu, 7 Ogos 2013

Dua Budak Mati Dibelit Ular Sawa

Noah dan adiknya Connor disyaki mati dibelit ular

Noah dan Connor mati dibelit ular ketika sedang tidur nyenyak

Connor (kanan) dan Noah bersama ibu mereka, Mandy Trecartin

Kejadian berlaku di atas kedai menjual haiwan peliharaan ini

Ular sawa dipercayai terlepas dari kurungannya pada waktu malam dan memasuki apartmen melalui sistem pengudaraan

Pemilik kedai haiwan peliharaan terbabit, Jean-Claude Savoie


CAMPBELLTON - Seekor ular sawa yang terlepas daripada tempat kurungannya di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di Kanada memasuki sistem pengudaraan sebelum masuk ke sebuah apartmen dan membelit hingga mati dua budak lelaki yang sedang tidur. 
Adik beradik berusia lima dan tujuh tahun, Connor dan Noah Barthe melawat rakan mereka di apartmen di atas sebuah kedai peliharaan haiwan eksotik, Reptile Ocean Inc. di Campbellton, New Brunswick, kata Konstabel Julie Rogers-Marsh. 
Anggota polis tiba di apartmen berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan dan menemui dua beradik itu sudah mati. 
Rakan dua beradik terbabit selamat kerana tidur di bilik berasingan, kata Rogers-Marsh. 
Katanya, pemilik kedai haiwan peliharaan terbabit, Jean-Claude Savoie. juga tinggal di apartmen itu. 
Savoie mengakui anaknya adalah rakan rapat dua mangsa berkenaan. 
Rogers-Marsh berkata, ular berkenaan terlepas kurungannya pada waktu malam dan dipercayai memasuki apartmen melalui sistem pengudaraan. 
“Kedua-dua mangsa dipercayai dibelit ular berkenaan,” katanya. 
Savoie berkata, ular yang dibelinya pada tahun 2000, jatuh dari atas siling sistem pengudaraan ke dalam bilik tamu. 
Ular itu sudah ditangkap dan diletak dalam tahanan polis, kata Rogers-Marsh. Panggilan ke kedai haiwan peliharaan terbabit tidak dijawab. 
Bedah siasat dijalankan terhadap kedua-dua mangsa, semalam. 
“Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan amat tragik serta menyedihkan kepada semua yang terbabit,” kata Rogers-Marsh. 
Timbalan Datuk Bandar, Ian Comeau, berkata Reptile Ocean mempunyai lesen untuk beroperasi dan semuanya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. 
Kematian kedua-dua budak berkenaan sesuatu yang mengejutkan dan sukar dipercayai, kata Comeau. - AP/AGENSI/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.