Rabu, 7 Ogos 2013

Mereka Yang Ditimpa Malang Menjelang Raya

Muhammad Aqif Baihaqi melihat komputer yang turut musnah terbakar. Foto: Sinar Harian

Azilah melihat rumahnya yang musnah terbakar menjelang raya. Foto: Sinar Harian


KUALA KRAI – Tahun sebelumnya, 1 Syawal begitu dinanti-nantikan Azilah Ismail, 30, dan anak-anak, dengan pelbagai persiapan terutama pakaian untuk dipakai pada hari raya. 
Keperluan lain seperti penyediaan aneka biskut dan kuih-muih untuk dihidangkan kepada tetamu pada pagi Syawal juga turut difikirkan. 
Bagaimanapun bencana menimpa mereka sekeluarga sehingga menyebabkan dia, suami, Hamdi Daud, 39, dan anak-anak hilang tempat tinggal sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan menyebabkan Azilah tidak bersemangat menyediakan persiapan Aidilfitri kali ini. 
Malah, fikirannya masih terganggu dan dia masih bersedih dengan kejadian yang menyebabkan mereka sekeluarga hilang segala-galanya dalam sekelip mata, seterusnya perlu berusaha untuk membina rumah baru dan membeli segala keperluan rumah yang baru. 
Pendapatan yang tidak seberapa membuatkan fikiran Azilah dan Hamdi menjadi bertambah buntu untuk memikirkan usaha menyediakan tempat tinggal baru untuk mereka berteduh. 
Apatah lagi rumah yang musnah terbakar juga dimiliki hasil pemberian keluarga Hamdi, sejak tiga tahun lalu kerana mereka tidak berkemampuan membinanya dengan hasil pendapatan Hamdi sebagai tukang rumah, sementara Aziah pembantu kedai tidak jauh dari rumah mereka. 
Lantaran itu, kejadian 9 Julai lalu terus membelenggu fikiran pasangan ini dan masih jelas di ingatan mereka rumah ditinggalkan dalam keadaan baik ketika keluar bekerja musnah menjadi abu sebaik pulang tengah hari kejadian. 
Katanya, kebiasaannya sebaik tiba bulan Ramadan, dia akan membuat persiapan membeli pakaian raya untuk anak-anaknya bagi mengelak sukar membeli-belah di saat akhir. 
Selalunya setiap anaknya akan mendapat empat pasang baju raya setiap tahun, tetapi kali ini mereka hanya mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai yang prihatin dengan bencana menimpa mereka itu. 
Lebaran kali ini, dia sudah tidak mampu untuk menyediakan pakaian seperti tahun sebelumnya dan bersyukur anak-anaknya seolah-olah memahami kejadian menimpa mereka sekeluarga. 
“Saya sempat membeli sepasang baju untuk anak-anak untuk dipakai pada hari raya nanti, anak yang sulung bertuah menerima baju disumbangkan pihak sekolah. 
“Saya masih belum membeli baju raya, baju yang siap ditempah untuk dipakai di pagi hari raya musnah terbakar,” katanya. 
Bencana ini menyebabkan ibu kepada Ainun Mardiah Hamdi, 9, Muhammad Aqif Baihaqi Hamdi, 5, dan Muhammad Abid Baihaqi, 1 tahun empat bulan ini seolah-olah hilang arah. 
Baginya Syawal akan dilalui seperti hari biasa dengan sumbangan daripada orang ramai. 
Di sebalik bencana menimpa dia sekeluarga, Azilah tetap bersyukur ramai yang simpati dan tampil menghulurkan bantuan kewangan, pakaian dan makanan sejak hari kejadian. 
“Walaupun kehilangan semua harta benda, tetapi saya pasrah dengan ujian ini,” katanya. 
Azilah berkata, tahun ini mereka sekeluarga beraya dan menumpang di rumah mertuanya.

Barang-barang yang dapat diselamatkan daripada api. Foto: Sinar Harian

Orang ramai menolong keluarga Farisha mengeluarkan barang-barang yang masih terselamat. Foto: Sinar Harian


KUALA TERENGGANU – Seorang guru bersama dua anak yang sedang membuat persiapan mengemas barang untuk pulang beraya di kampungnya di Besut, dikejutkan dengan jeritan memberitahu ada kebakaran. 
Mangsa yang juga penyewa rumah, Farisha Shamsuddin, 34, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, dia sedang melayan telatah dua anak perempuan berusia 4 dan 6 tahun mencuba pakaian raya sebelum berlari keluar menyelamatkan diri setelah mendapat tahu berlaku kebakaran di rumah teres tiga pintu itu. 
“Saya baru balik dari sekolah, dan mahu mengemas barang-barang kerana esok akan pulang ke kampung, tetapi tiba-tiba mendengar orang menjerit dari luar mengatakan rumah terbakar. 
“Saya terus membawa anak-anak keluar dari rumah dan melihat asap tebal. Api pula marak begitu cepat,” katanya kepada pemberita yang ditemui di Kampung Teluk Menara, Manir, di sini. 
Farisha yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, terkilan kerana kebanyakan pakaian raya mereka musnah dalam kejadian itu. 
“Bahagian dapur dan bilik banyak barang yang rosak, tetapi syukur masih ada lagi barang yang dapat diselamatkan jika dibandingkan dengan rumah tengah yang terbakar teruk,” katanya. 
Dalam kejadian itu, dua keluarga melibatkan 10 mangsa terpaksa akur dengan apa yang menimpa keluarga mereka. 
Sementara itu, pemilik rumah, Abu Bakar Embong yang tinggal berhampiran berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum dikejutkan menantu berusia 30, dan sempat melihat asap tebal datang dari dalam rumah tengah dan api terus merebak ke rumah sebelah. 
“Rumah tengah ini tidak ada yang tinggal ketika kejadian, tetapi saya difahamkan, kebakaran berpunca daripada wayar televisyen di dalam rumah. 
“Kerugian keseluruhan rumah tiga pintu ini hampir RM200,000, manakala semua kelengkapan di dalam rumah tengah tidak dapat diselamatkan," katanya. 
Dalam pada itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.59 tengah hari dan terus ke lokasi kejadian di Kampung Teluk Menara, Manir melibatkan 15 anggota dan dua buah jentera bomba. 
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dan pihak bomba mendapati 70 peratus kemusnahan berlaku kepada rumah berkenaan. 
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

Muhammad Syawal bersama ibunya melibat cebisan baju raya milik adiknya. Foto: Sinar Harian


JERTIH – Kisah sedih membabitkan satu keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kubang Depu kelmarin bukan sahaja menceritakan ketabahan seorang bapa mencari nafkah untuk membeli baju raya untuk anaknya. 
Sebaliknya turut mengisahkan keberanian dan kepintaran seorang anak kecil, Muhammad Syawal, 5, yang layak digelar hero kerana berjaya menyelamatkan adiknya, Muhammad Syakir, 4, daripada terperangkap dalam kebakaran rumahnya pada jam 11.30 pagi, kelmarin. 
Anak sulung kepada pasangan Mohd Shukri Mohd Noor, 36, dan Huslina Abd Rahman 26, itu bertindak bijak dengan menarik tangan adiknya keluar dari rumah setelah menyedari bahagian bilik rumah mereka terbakar. 
Ketika kejadian, mereka berdua baru selesai dimandikan oleh nenek mereka, Fatimah Sulaiman, 55 yang tinggal di rumah berdekatan. 
Waktu itu hanya mereka berdua di dalam rumah kerana ibu dan adik bongsu mereka, Muhammad Syahril, 3, keluar mengikut bapa mendapatkan pekerjaan di Gong Kepas dekat Kampung Raja demi membeli baju raya Muhammad Syawal yang masih belum dibeli. 
Menurut Fatimah, cucunya itu menjerit sambil memegang tangan adiknya keluar dari rumah kemudian menyerahkan Muhammad Syakir kepadanya. 
“Dia berlari keluar sambil menarik adiknya yang kelihatan enggan keluar dengan menjerit berkata ‘tok ma, tok ma api dalam rumah',” katanya mengenai cucunya yang memanggilnya dengan panggilan tok ma. 
Katanya, selepas meletakkan adiknya di tempat selamat, anak kecil itu berlari semula ke arah pintu utama rumah yang sedang marak terbakar itu demi menyelamatkan pula sepasang selipar raya adiknya (Muhammad Syakir) dan ibunya yang terletak di dalam rumah berhampiran pintu utama. 
Kata Fatimah, Syawal memberitahu bapanya, dia hanya sempat menyelamatkan selipar adik dan ibunya sahaja manakala selipar lama ayahnya tidak dapat diselamatkan. 
Tidak cukup dengan itu, dia yang bersekolah tadika berlari pula meminta bantuan penduduk kampung untuk memberitahu kejadian itu, di samping mencari bapanya yang disangka bekerja membina rumah di kampung sama kira-kira satu kilometer dari situ. 
Kepantasan dan kebijaksanaan Muhammad Syawal melegakan ibu dan ayahnya yang sangat bimbangkan nasib mereka berdua yang berada di dalam rumah itu memandangkan dalam tempoh beberapa minit sahaja rumah tersebut musnah sepenuhnya. 
Fatimah pula, mengumpul kudrat yang tidak seberapa mendukung ibunya (nenek Mohd Shukri), Che Mah Che Noh, 80, yang lumpuh keluar dari rumahnya kerana bimbang api dari rumah anaknya merebak ke rumahnya, di samping membawa bersama Muhammad Syakir. 
Sementara itu, Mohd Shukri melahirkan rasa terkilan dan kecewa apabila ada suara sumbang mengatakan dia sengaja membakar rumah itu demi mendapat sumbangan wang daripada orang ramai. 
“Saya amat kecewa dengan tuduhan liar sedemikian kerana mana mungkin saya sanggup lakukan perkara seperti itu,” katanya. 
Kelmarin Sinar Harian menyiarkan kisah sedih sekeluarga ini apabila kegembiraan Mohd Shukri yang berjaya memperoleh pekerjaan sebagai tukang rumah demi membeli baju raya anaknya, tidak kekal lama kerana sebaik pulang, dia dapati rumahnya hangus terbakar. 
Dia pergi memohon kerja itu dengan membawa bersama isteri, Huslina Abd Rahman, 26, dan anak bongsu mereka Muhammad Syahril, 3, dengan harapan majikan yakin dengan kesungguhannya untuk mendapatkan kerja. 
“Saya merayu diberi kerja walaupun untuk tempoh dua hari demi membeli pakaian raya anak sulung saya, Muhammad Syawal, 5, yang masih belum mempunyai baju raya," katanya. 
Hasil pendedahan kisahnya semalam turut mendapat simpati pembaca Sinar Harian yang bertalu-talu menghubunginya untuk menyalurkan bantuan. 
Semalam juga wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut dan Adun Hulu Besut telah melawat mangsa.

Rumah Saroji musnah dalam kebakaran di Kampung Raja Musa. Foto: Sinar Harian


TANJONG KARANG - “Saya sedang menonton televisyen selepas berbuka sebelum terkejut mendengar jeritan adik yang panik melihat api marak dari sebuah bilik sebelum kami bergegas keluar dari rumah,” kata mangsa kebakaran, Mohd Farhan Saroji di Kampung Raja Musa, malam semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa bersama anak saudara sedang leka menonton televisyen sebelum terdengar jeritan adik bongsunya yang berada di tingkat atas yang terkejut melihat api marak di bahagian siling rumah. 
Mohd Farhan berkata, jeritan adiknya mendorongnya untuk naik ke tingkat atas melihat keadaan yang berlaku sebelum menyuruh anak saudara dan kakak yang pulang untuk berbuka puasa menyelamatkan diri dan segera keluar dari rumah itu. 
“Sebelum kejadian, adik Mohd Faid Hilman terhidu bau asap sebelum memeriksa bilik yang ada tingkat atas, meskipun panik namun kami semua berjaya keluar dari rumah itu sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. 
Berita kebakaran itu turut mengejutkan bapanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Raja Musa, Saroji Tijan yang ketika kejadian menghadiri program penyampaian zakat di sebuah masjid berhampiran. 
Saroji berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan berita buruk itu sebelum bergegas pulang ke rumah memandangkan bimbang keselamatan ahli keluarganya kira-kira 10 orang termasuk anak dan cucu yang berkumpul di rumahnya itu untuk berbuka puasa. 
“Sebaik sahaja tiba, saya bersyukur semuanya selamat namun sebak melihat rumah yang musnah terbakar di saat umat Islam akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya sebak. 
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang menerima berita itu terus bergegas ke tempat kejadian sebelum menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.