Selasa, 6 Ogos 2013

Tragedi Pilu Menjelang Raya

Rumah milik pengasas produk kecantikan Vida Beauty Datuk Dr Hasmiza Othman terbakar. Foto: Sinar Harian

Info grafik tragedi kebakaran rumah Dr Hasmiza Othman. Sumber: Sinar Harian

Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin. Foto: Sinar Harian

Muhammad Edrie Zikrie. Foto: Sinar Harian

Dr Hasmiza sedang menyiram pusara kedua-dua puteranya di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya. Foto: Sinar Harian


IPOH - "Pukul 2 petang sebelum saya pergi ke Pulau Pinang pada hari kejadian, anak-anak saya dah pakai baju raya," kata pengasas produk kecantikan Vida Beauty Datuk Dr Hasmiza Othman. 
Mengenang kembali saat-saat akhir bersama dua anak lelakinya yang maut dalam kebakaran dua hari lepas, Dr Hasmiza berkata anak-anaknya masih memakai baju berkenaan ketika kebakaran itu. 
Dalam kejadian melibatkan rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya pada 9 malam, Sabtu lepas tiga maut termasuk dua anak Dr Hasmiza, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin, 10, serta pekerja syarikat itu Muhammad Norsyamil Zaidi, 26. 
Muhammad Eddie dan Muhammad Eddry adalah anak pertama dan kedua dari empat beradik. Dua lagi pekerja yang berada dalam rumah itu ketika kejadian, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, dan Rofie Ismail, 31, berjaya menyelamatkan diri.
Dr Hasmiza berkata ketika kejadian beliau berada di Pulau Pinang atas satu urusan dan menerima panggilan telefon pada 9.10 malam, yang memaklumkan rumahnya terbakar. 
"Saya tanya, rumah mana? Mereka jawab rumah pekerja. 
Meraka kata anak ada dalam rumah tu. Sesuatu yang mengejutkan kerana anak saya tidak pernah pergi ke situ. 
"Setiap malam mereka akan menunaikan solat Tarawih tapi malam tu tak pergi Tarawih, saya akur mungkin ajal sudah memanggil mereka sebab dah tiga kali nak lari keluar (dari rumah semasa kebakaran) tapi tidak keluar. 
"Sebagai contoh, mereka dengar api, mereka turun ke tingkat bawah, tetapi kemudian naik semula ke tingkat atas, pekerja saya Khairul dah dukung dan pegang anak-anak saya, tapi Syamil kata dia tak boleh bernafas dan masuk ke bilik air, anak-anak saya meronta-ronta nak ikut Syamil, padahal bukan rapat sangat dengan Syamil," kata beliau yang tidak dapat menahan sebak sepanjang sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini. 
Dr Hasmiza berkata beliau difahamkan ada pekerja yang mengajak anak-anaknya ke rumah berkenaan sementara menunggu kepulangannya dari Pulau Pinang sebelum mereka ke rumah anak yatim berhampiran untuk menyampaikan sumbangan. 
Rumah kediaman pekerja berkenaan hanya terletak beberapa meter dari rumah keluarga Dr Hasmiza dan pejabatnya. Menyifatkan Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie sebagai anak yang soleh, beliau berkata mereka tidak pernah meninggalkan solat serta gemar membaca Al-Quran. 
"Saya nak hantar mereka ke sekolah tahfiz tapi saya kata sebelum saya hantar, saya nak ajar puas-puas dulu supaya mereka dah pandai, dan cikgu perlu ajar sikit-sikit sahaja," katanya sambil menceritakan ketika pulang ke rumah pada malam kejadian, sejadah yang digunakan anaknya masih terbentang sedangkan kebiasaannya mereka akan lipat sejadah itu selepas solat. 
Meskipun Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie telah meninggalkannya pada usia muda, beliau berpuas hati kerana banyak meluangkan masa bersama serta memberi pendidikan dunia dan akhirat kepada mereka. 
"Saya juga tak rasa menyesal tidak tengok mayat anak-anak saya. Saya rasa cukuplah saya dah tengok mereka dalam keadaan memakai baju raya petang itu," katanya. 
Usahawan wanita itu juga berkata beliau sudah melihat sebahagian rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan akan menyerahkannya kepada pihak bomba selepas melihat keseluruhan rakaman itu. 
Pada sidang media itu, Dr Hasmiza turut menunjukkan dua jam tangan yang dipakai kedua-dua anaknya ketika kejadian, dan beliau percaya mereka meninggal dunia akibat sesak nafas berikutan asap tebal kerana jam tangan berkenaan masih dalam keadaaan baik. 
Beliau juga menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada mercun kerana ketika kejadian, anak-anaknya sedang bermain permainan video di tingkat atas rumah berkenaan. - Bernama

Berita Lain:

IPOH - Polis akan membuka kertas siasatan berhubung kebakaran rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya, Sabtu lepas. 
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata ia berikutan terdapat dakwaan kebakaran itu berpunca daripada mercun. 
"Kita berharap saksi akan tampil membantu siasatan," katanya. 
Kebakaran pada 9 malam itu mengorbankan tiga orang, termasuk dua anak pengasas produk berkenaan Datuk Dr Hasmiza Othman. 
Mereka ialah Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya, Muhammad Edrie Zikrie, 10, serta pekerja syarikat itu Muhammad Norsyamil Zaidi, 26. 
Muhammad Eddie dan Muhammad Edrie adalah anak pertama dan kedua daripada empat beradik. 
Dua lagi pekerja yang berada dalam rumah itu ketika kejadian, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, dan Rofie Ismail, 31, berjaya menyelamatkan diri. - Bernama

Berita Sebelumnya:

IPOH – Majlis pengebumian jenazah dua anak lelaki pengasas produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Dr Hasmiza Othman di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, di sini semalam (Ahad), diselubungi suasana pilu terutama adik bongsu mereka yang turut menitiskan air mata. 
Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin, 5, ditemani kakaknya, Nor Adeline, 8, terus setia menunggu di tepi liang lahad yang menempatkan kedua-dua abangnya itu sehingga majlis selesai. 
Jenazah kedua-dua mangsa, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya, Muhammad Edrie Zikrie, 10, dikuburkan dalam satu liang lahad pada kira-kira jam 10.15 pagi semalam. 
Kebakaran berlaku pada jam 9 malam, dan Muhammad Eddie Zuhdie bersama Muhammad Edrie Zikrie ditemui maut dalam sebuah rumah yang merupakan kediaman pekerja Vida Beauty Sdn Bhd di Laluan Taman Meru 24, Meru Hills, di sini, kelmarin. 
Kedua-dua mangsa ditemui bersama seorang lagi mangsa, Muhammad Norsyamil Mat Zaidi, 26, dalam bilik air di tingkat atas rumah berkenaan dan mengikut laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), ketiga-tiga mangsa meninggal akibat sesak nafas selepas terhidu bau asap berlebihan. 
Jenazah Muhammad Norsyamil dibawa pulang ke Kampung Teluk Kepayang, Bota, dekat sini untuk dikebumikan sebelum waktu Zohor manakala dua pekerja lain yang turut berada di tempat kejadian berjaya menyelamatkan diri selepas nekad terjun dari balkoni rumah itu. 
Sewaktu kejadian, Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida yang tinggal di belakang kediaman pekerjanya itu tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Pulau Pinang.
Menceritakan kejadian, salah seorang pekerja Vida Beauty yang terselamat, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, memaklumkan api marak terlalu cepat menyebabkan semua penghuni rumah panik. 
Dia juga memaklumkan mendengar beberapa letupan sebelum terhidu asap yang merebak pantas dan segera turun ke bahagian bawah rumah di mana dia melihat api mula merebak serta kotak suis meletup. 
"Keadaan itu menyebabkan seluruh rumah bergelap. Saya berlari kembali ke atas dan cuba selamatkan dua beradik itu, tetapi mereka meronta-ronta ingin pergi kepada Muhammad Norsyamil yang berada dalam bilik air. 
"Dalam sekelip mata, asap memenuhi ruang di tingkat atas rumah dan saya tak dapat lihat kelibat mereka lagi," katanya. 
Menurutnya, selepas cubaan menyelamatkan ketiga-tiga mangsa gagal, dia mengikuti rakannya, Rofi Ismail, 31, berlari menuju balkoni rumah dan nekad terjun menyelamatkan diri. 
Dia yang baru enam bulan bekerja sebagai pereka grafik di Vida Beauty mengakui bernasib baik kerana terjatuh di atas khemah kanopi berhampiran, manakala Rofi patah kedua-dua kaki. 
Pada hari kejadian, syarikat tersebut sedang bersiap-siap untuk menyampaikan bantuan baju raya dan menyerahkan makanan sahur kepada rumah anak yatim di Tanah Hitam, Chemor. 
Difahamkan, sebelum kejadian, Khairul Anuar mendengar beberapa bunyi letupan mercun tidak jauh dari kediaman itu. 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, bomba masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian termasuk mengumpul sampel kebakaran untuk dihantar ke makmal. 
"Keputusan sampel hanya boleh diketahui dalam tempoh 14 hari. Seramai lima anggota Forensik Bomba dan Penyelamat turut bantu siasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya. 
Beliau memaklumkan, api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian, namun kerja pemadaman terus dijalankan bagi mengurangkan tekanan haba tinggi dalam rumah berkenaan. 
Kebakaran dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan ringgit apabila turut mengakibatkan tiga motosikal serta dua kereta jenis Bentley dan Perodua Kancil musnah. 
Akibat kebakaran itu, dinding di rumah bersebelahan turut mengalami keretakan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.