Isnin, 30 September 2013

Keracunan Makanan Ketika Makan Kenduri


Zulkifli (kanan) menceritakan keadaan bapanya selepas mengalami muntah-muntah. Foto: Sinar Harian

Isteri Ibrahim, Kamariah Abu Bakar, 56, (kanan) menunggu jenazah suaminya di HSAH semalam. Foto: Sinar Harian


YAN - Gara-gara menjamu selera di satu majlis kenduri di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sabtu lalu, tiga maut manakala lebih 60 orang mengalami keracunan makanan. 
Hidangan jamuan berlauk ayam masak merah, gulai terung ikan talam dan kerabu pucuk paku dikatakan menjadi menu utama yang dihidangkan kepada hadirin di majlis kenduri berkenaan. 
Mangsa pertama, Nurshazana Mohd. Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengah hari selepas mengalami sakit perut yang melampau. 
Manakala mangsa kedua, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, dari Kampung Singkir Lauk, Yan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan seorang lagi mangsa, Ibrahim Mohamad, 62, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 petang di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, hari ini. 
Difahamkan kesemua mangsa menghadiri majlis kenduri yang sama dan mendapat simptom keracunan yang sama berpunca daripada makanan yang dimakan. 
Seorang tetamu hadir ke kenduri berkenaan, Rozita Sharif, 38, berkata, selepas pulang daripada kenduri itu, dia berasa tidak sedap badan serta pening dan sakit perut. 
“Awalnya saya hanya anggap sakit perut biasa dan cirit-birit biasa sahaja, tetapi dikejutkan dengan berita kematian anak jiran saya yang dikatakan meninggal selepas mengalami sakit perut. 
“Sejurus itu saya terus datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, di sini, semalam. 
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, pihaknya mendapati kesemua mangsa mempunyai tanda-tanda mengalami keracunan dan meminta semua yang hadir ke kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan di hospital atau klinik berhampiran. 
“Pihak hospital sedang menyiasat punca kejadian dan setakat ini kita menerima laporan tiga orang yang telah meninggal dunia. 
“Mangsa mungkin mengalami dehidrasi yang teruk yang menyebabkan kehilangan air yang serius. Pihak hospital akan mengambil sampel najis mangsa untuk sahkan jenis kuman yang dijangkiti mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini. - Sinar Harian


Salah seorang mangsa keracunan, Rozita Sharif, sedang menerima rawatan di Hospital Yan.

Lagi dua mangsa keracunan makanan sedang menerima rawatan di Hospital Yan. Foto: Sinar Harian

SUNGAI PETANI – Mangsa terbaru keracunan makanan, Ibrahim Mohamad, 62, disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 6.30 petang tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani. 
Jenazah yang dituntut keluarga akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu sebaik sahaja selesai bedah siasat di HSAH. 
Anak mangsa, Zulkifli, 31, berkata, bapanya dikatakan mengalami cirit-birit sejak pagi Ahad lalu akibat dipercayai keracunan makanan selepas dikatakan menghadiri majlis perkahwinan berdekatan rumahnya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, jam 6 petang Sabtu lalu. 
“Pagi itu (Ahad), ayah dah mengalami cirit-birit serta beberapa kali masuk ke tandas, bagaimanapun keadaannya masih baik serta boleh bercakap seperti biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSAH hari ini. 
Menurut Zulkifli, keadaan Ibrahim dilihat semakin tidak bermaya beberapa jam selepas itu menyebabkan ahli keluarga membawanya ke Hospital Daerah Yan tengah hari semalam bagi mendapatkan rawatan. 
“Walaupun dibenarkan pulang selepas ditambah air dalam badan, keadaan ayah semakin lemah serta tidak mampu berjalan menyebabkan ayah terus ditahan wad. 
“Disebabkan makin kritikal, ayah kemudian dirujuk ke HSAH lebih kurang jam 2 petang tadi,” katanya. 
Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang. 
Sementara itu, penduduk, Puan Md Noor, 55, berkata, anaknya yang berusia 25 tahun juga menerima rawatan di HSAH akibat keracunan selepas menghadiri kenduri yang sama. 
“Anak kelima saya, Mohd Nazri Deraman, turut mengalami loya dan muntah serta cirit-birit dipercayai selepas makan kenduri. 
“Nazri terlebih dahulu menerima rawatan di sebuah klinik di Semeling pada jam 9 malam semalam. 
“Tetapi, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan keluarga membawanya ke HSAH pada jam 2 petang tadi,” katanya. 
Mohd Nazri dikatakan makan kenduri pada jam 3 petang Sabtu lalu dan mula mengadu sakit pada jam 7 pagi keesokan hari. 
“Tetapi Alhamdulillah selepas dimasukkan air dalam badan, dia dibenarkan pulang jam 7 malam tadi,” katanya. 
Puan berkata, dia juga menghadiri majlis kenduri yang sama tetapi makan masakan yang disediakan lebih awal pada tengah hari. 
“Saya juga ada cubit sikit ayam yang dimasak itu tetapi mujur tidak sakit,” katanya. 
Difahamkan, majlis kenduri yang diadakan Sabtu lalu disediakan secara bergotong-royong tetapi dikatakan hanya tetamu yang menghadiri jamuan sebelah petang mengalami keracunan. 
Sumber mengatakan, lebih ramai mangsa yang telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran serta hospital berdekatan, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan berikutan tiada pengesahan dari mana-mana pihak. 
Kejadian turut dipercayai meragut dua nyawa lain termasuk Mohd Noor Rahmat, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan dan Nor Syazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Merbok. - Sinar Harian
1.10.2013:
Foto
Kakitangan hospital mengusung jenazah seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia. Foto: myMetro

Foto
Foto: myMetro


SUNGAI PETANI - Kegembiraan kira-kira 2,000 tetamu menghadiri satu majlis kenduri kahwin bertukar tragedi apabila tiga daripadanya maut manakala lebih 60 lagi terpaksa dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan selepas disyaki menjamah juadah ayam masak merah. 
Kejadian di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu itu mengorbankan nelayan, Ibrahim Mohamad, 62, penuntut Universiti Islam Antarabangsa, Nurshazana Mohd. Rashid, 24, dan pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Singkir, Mohd. Nor Rahmat Yusof, 11. 
Ibrahim meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, Nurshazana maut di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong pada pukul 12.45 tengah hari manakala Mohd. Nor Rahmat pula di Hospital Yan di sini pada pukul 1 petang. 
Setakat malam tadi, 59 mangsa termasuk tiga kritikal dirawat di Hospital Yan dekat sini dan HSAH. - Kosmo! Online

 2.10.2013:
Mangsa keracunan makanan menerima rawatan di Hospital Yan


SUNGAI PETANI - Bakteria salmonela dikenal pasti terkandung dalam hidangan ayam goreng masak merah yang disediakan secara gotong-royong sehingga menyebabkan kematian. 
Dr Ismail Abu Taat 
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, sebahagian daripada 130 bekalan ayam yang dihantar untuk majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu juga didapati sudah busuk. 
Menurutnya, hasil laporan siasatan terperinci yang dilakukan mendapati ayam yang busuk diasingkan manakala sebahagian yang masih elok digunakan untuk memasak. 
“Ayam kemudian digoreng pada jam 9 pagi hingga 4 petang 27 September sebelum disimpan di suhu bilik,” katanya kepada media di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, semalam (1.10.2013). 
Ismail berkata, keadaan penyimpanan yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan bakteria merebak selain kaedah menyedia yang tidak cukup tempoh memasak juga boleh menjadi faktor penyakit berkenaan. 
“Setelah disiasat mendapati, ayam goreng yang dicampurkan kuah sambal pada 28 September untuk dihidangkan kepada pengunjung majlis perkahwinan mengandungi mikroorganisme yang dipanggil salmonella,” katanya. 
Ismail berkata, individu yang dikesan terkena jangkitan bakteria berkenaan akan mengalami simptom demam, cirit-birit, perut memulas dalam tempoh 12 jam selepas makan. 
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan banyak air dalam badan dan lebih serius boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat menerima rawatan,” katanya. 
Beliau berkata, setakat ini lebih kurang 270 mangsa menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini dan dua daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU). 
Menurutnya, di HSAH, seramai 127 pesakit mendapatkan rawatan di mana 38 dimasukkan ke wad manakala 89 sudah dibenarkan pulang. 
Daripada jumlah itu, katanya, seorang pesakit berusia 58 tahun berada di ICU manakala seorang lagi di ICU berusia 56 tahun baru sahaja dilaporkan meninggal dunia jam 7.15 malam semalam. 
Sementara itu, katanya, di Hospital Daerah Yan, seramai 138 kes dirawat di mana 62 ditahan wad manakala 68 sudah dibenarkan pulang. 
Katanya, seramai 18 kes dirujuk di lain-lain hospital. 
Ismail bagaimanapun meminta orang ramai yang mengunjungi majlis kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan segera bagi memastikan tahap kesihatan mereka. - Sinar Harian

Sebahagian mangsa keracunan makanan yang dirawat di Hospital Yan semalam.


SUNGAI PETANI - Kes keracunan makanan yang menimpa tetamu sebuah majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu terus meragut nyawa apabila seorang lagi disahkan maut menjadikan jumlah korban setakat ini meningkat kepada empat orang. 
Wan Razali Yaakob, 56, disahkan meninggal dunia pada pukul 7.15 malam tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. Mangsa dimasukkan ke situ sejak pagi kelmarin. - Kosmo! Online

Sebahagian daripada mangsa keracunan makanan yang dirawat di Hospital Yan


YAN - Tragedi keracunan makanan di majlis kenduri perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, yang meragut tiga nyawa kelmarin menjadi sejarah hitam buat pengantin baru berkenaan. 
Hasliyana Yusuf, 22, berkata, dia sedih dengan kejadian dan tidak menyangka majlis raja sehari bertukar menjadi tragedi hitam. 
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, trauma dan kesal dengan apa yang berlaku pastinya tidak dapat dilupakan. 
“Kami sekeluarga begitu gembira dengan majlis yang diadakan memandangkan saya anak pertama yang melangsungkan perkahwinan. 
“Namun, kejadian ini berubah menjadi nasib malang buat kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, semalam. 
Menurut bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu, keluarganya sendiri turut mengalami keracunan sama. 
“Mak, kakak dan adik saya turut mengalami keracunan dan ditahan di wad. Manakala keluarga sebelah suami saya tidak ada yang menerima kesan keracunan itu,” katanya. 
Bapa pengantin, Yusuf Ahmad, 55, berkata, masakan yang disediakan kepada tetamu jemputan sempena kenduri itu dimasak oleh kakaknya dengan bantuan saudara-mara lain. 
“Juadah yang kami sediakan ialah ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis. 
“Manakala ayam yang dijadikan juadah ditempah daripada dua pembekal dan satunya membekalkan ayam yang sudah berbau,” katanya. - Sinar Harian

Pengantin Baru Mati Lemas Ketika Berkelah

Anggota dari Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu mengusung mayat mangsa lemas. Foto: Sinar Harian

Bapa mangsa, Anuar Abd Wahab (kiri) menenangkan isterinya yang terkejut. Foto: Sinar Harian

Shakilah (dua, kanan) dipapah ahli keluarga selepas melihat mayat suaminya. Foto: Sinar Harian


TANGKAK - Seorang lelaki mati lemas selepas menyelamatkan adiknya yang tergelincir di kawasan air terjun Asahan, bersempadan dengan Melaka dan Johor, di sini semalam. 
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Mohd Khidil Ismeath Anuar, 25, menghabiskan cuti hujung minggu berkelah di kawasan berkenaan bersama isteri, Shakilah Zakaria, 26, dan adik bongsunya, Mohd Aliff Najmi Anuar, 13. 
Mangsa merupakan seorang kakitangan kerajaan dan baru bernikah dengan isterinya, hampir sebulan lalu. 
Mohd Aliff berkata, kemalangan berlaku apabila abangnya yang dipanggil abang lang, mahu menyelamatkan dirinya daripada lemas. 
Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Sri Pantai, di sini itu berkata, dia pada mulanya mandi di bahagian atas, namun ketika terpijak salah satu batu, dia tergelincir masuk ke pusaran air, sebelum menjerit meminta tolong. 
Menurutnya, dia dapat merasakan kawasan itu begitu dalam dan ketika itu jaraknya dengan Mohd Khidil, kira-kira 3 meter. 
“Saya tergelincir dan menjerit panggil abang lang, abang lang... sebelum abang lang datang menolak saya ke tepi. Kemudian saya tak nampak abang lang lagi. 
“Dalam keadaan tercungap-cungap saya mendengar kakak ipar saya (Shakilah) menjerit memanggil 'abang! abang!' Saya pandang semula ke tempat itu tapi tak nampak abang lang," katanya. 
Menurutnya, sebelum abangnya dibawa arus, Shakilah nampak mangsa terkapai-kapai di dalam air, lalu tenggelam dan hilang. 
Mayat mangsa bagaimanapun ditemui kira-kira dua jam selepas itu oleh pasukan Bomba dan Penyelamat. 
“Saya sedih sebab saya yang mula lemas tapi abang yang menyelamatkan saya pula lemas,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tangkak, dekat sini, semalam. 
Mohd Aliff berkata, mangsa, anak ketiga daripada lima beradik itu, tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini. 
"Tapi Allahyarham begitu beria-ia mengajak kami sekeluarga berkelah di situ. Cuma, saya dan isterinya saja yang ikut hari ini (semalam)," katanya. 
Menurutnya, mereka sekeluarga baru tiba dari Kuala Lumpur ke Kampung Bekoh, dekat sini, petang kelmarin dan ini pertama kali dia dan Allahyarham menjejak kaki ke kawasan tersebut. 
Sementara itu, abang kedua mangsa, Muhammad Hatta Anuar, 27, berkata, Allahyarham merupakan seorang penyayang. 
"Allahyarham dan isterinya baru pulang dari berbulan madu di Korea, dua minggu lalu," katanya. 
Menurutnya, sebelum ini mereka kerap bertemu di rumah keluarga di Kuarters Polis Pantai, bagaimanapun jarang berjumpa selepas adiknya berpindah ke rumah mertua di Sungai Buloh selepas mendirikan rumahtangga pada 1 September lalu. 
“Dah ajal dia, dia pergi hari ini dan kami sekeluarga reda. Namun, lebih menyedihkan ketika ini, ibu bapa mertua Allahyarham tidak dapat melihat jenazah buat kali terakhir kerana berada di Makkah mengerjakan haji," katanya. 
Sementara itu, Shakilah enggan ditemui pemberita kerana masih bersedih. 
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bekoh, Tangkak, selepas solat Asar, semalam. 
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Johari Masom berkata, seramai enam anggota membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba Jasin, Balai Bomba Jasin Bestari serta unit Skuba Jalan Kubu Baru dikejarkan ke tempat kejadian untuk usaha mencari dan menyelamat. 
"Operasi menyelamat sukar kerana kedalaman kawasan air terjun lebih lima meter menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan unit skuba,” katanya. 
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui dan dibawa naik kira-kira 12.20 tengah hari tidak jauh dari tempat mangsa menyelamatkan adiknya. 
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan tiada kesan luka pada badan mangsa. Anggota bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit membawa naik ke darat dan mayatnya dihantar ke Hospital Tangkak sebelum dituntut waris,” katanya. - Sinar Harian

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora

Imej satelit menunjukkan taufan Wutip bergerak ke arah Vietnam

Taufan Wutip dikesan kira-kira 515 kilometer ke Tenggara Hanoi, Vietnam pagi ini

Taufan Wutip kini berada kira-kira 1,444 kilometer ke Barat Laut Kudat, Sabah. Foto: Victor Lo


KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora berikutan Taufan Wutip dikesan kira-kira 515 kilometer ke Tenggara Hanoi, Vietnam pagi ini. 
Berikutan taufan itu yang dikesan pada 8 pagi, keadaan angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, dijangka berlaku di perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat) dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga esok (1 Oktober).  
Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, kata laman web jabatan itu. 
Taufan Wutip kini berada kira-kira 1,444 kilometer ke Barat Laut Kudat, Sabah. - Bernama

Mendaftar Perniagaan



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyarankan peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara supaya mendaftarkan perniagaan masing-masing kerana ia dapat memberi pelbagai manfaat kepada golongan terbabit. 
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Naim Daruwish. Foto: Kosmo! Online
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Naim Daruwish berkata, perkara itu perlu dilakukan memandangkan mereka mewakili sebahagian besar daripada syarikat yang didaftarkan di bawah kategori pemilikan tunggal dan perkongsian. 
“Bayaran bagi pendaftaran itu tidaklah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan faedah yang dinikmati golongan terbabit iaitu RM30 bagi milikan tunggal dan RM60 (perkongsian),” katanya pada Bisnes Metro, baru-baru ini. 
Sehingga kini, SSM berjaya mendaftarkan kira-kira 5.1 juta syarikat dengan 1.5 juta daripada jumlah terbabit masih aktif di pasaran. 
Perniagaan runcit
Beliau berkata, kesedaran pendaftaran dalam kalangan peniaga dan penjaja kecil berada pada tahap baik, namun ia memerlukan kepada peningkatan jumlah bagi memastikan golongan itu mendapat perhatian dan hak sama seperti syarikat yang sah berdaftar. 
“Ketika ini, kami berjaya mencatatkan purata pendaftaran perniagaan milik tunggal dan perkongsian kepada 25,000 sebulan dan berharap jumlah terbabit akan membantu meningkatkan bilangan keseluruhan menjelang hujung tahun ini,” katanya. 
Tahun lalu, SSM memperkenalkan Pakej Insentif Pendaftaran dan Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan sebagai langkah meningkatkan pendaftaran golongan itu dan dalam masa sama mengurangkan beban kos pendaftaran yang dihadapi peniaga dan penjaja kecil. 
Perniagaan menjaja. Foto: Sinar Harian
Naim berkata, masih terdapat segelintir daripada golongan itu memandang ringan kelebihan mendaftarkan perniagaan masing-masing. 
Menurutnya, pendaftaran dengan SSM akan membolehkan golongan itu mewujudkan satu entiti undang-undang yang mana mereka boleh menjalankan urus niaga sah dengan pihak lain, sekali gus membolehkan tindakan diambil berdasarkan perjanjian yang dilakukan. 
“Ia dilihat memberi manfaat yang amat besar kepada diri sendiri dan pihak yang berurusan dengan mereka,” katanya. 
Pendaftaran ini juga melayakkan peniaga dan penjaja kecil dilindungi insurans secara automatik dan pada masa sama membolehkan mereka menikmati kemudahan ditawarkan kerajaan seperti pinjaman mikro kredit. 
“Ia juga memudahkan urusan mereka dengan pihak berkuasa tempatan dalam mendapatkan lesen perniagaan dan membolehkan kami turut sama memberikan latihan khusus kepada golongan terbabit,” katanya. 
Apa yang penting, pendaftaran peniaga dan penjaja kecil ini akan membolehkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan mendapatkan maklumat tepat serta terkini mengenai butiran peniaga bagi memudahkan pelaksanaan perancangan dan program meningkatkan tingkat taraf perniagaan serta hidup golongan terbabit. - myMetro

Banduan Saudi Dijamu Ayam Panggang

Sebuah penjara di Arab Saudi

Banduan di dalam penjara Arab Saudi disajikan ayam panggang (gambar hiasan)

Namun para banduan masih memerlukan bekalan rokok

Pemandangan di bandar Hail, Arab Saudi


RIYADH - Pengawal sebuah penjara di Arab Saudi bingung memikirkan bagaimana banduan memperoleh bekalan rokok secukupnya walaupun kawalan ketat telah dilaksanakan. 
Kebingungan mereka bertukar menjadi kejutan apabila mendapati pihak yang bertanggungjawab ialah ayam panggang. 
Perkara itu terbongkar dengan tidak sengaja apabila seorang pengawal yang melakukan pemeriksaan rutin terhadap sajian ayam yang dibawa masuk ke penjara di bandar Hail, barat laut Saudi hairan dengan keadaan ayam itu. 
“Pengawal itu mendapati bungkusan rokok yang disumbatkan di dalam ayam panggang dan roti,” kata polis. 
Seorang pekerja sebuah restoran yang membekalkan makanan itu ditahan atas tuduhan menyeludup rokok ke penjara, menurut laporan sebuah akhbar tempatan. - Agensi/myMetro

Ahad, 29 September 2013

Dua Tayar Belakang Lori Tangki Tercabut

Dua tayar belakang lori tangki yang dipandu Manivannan tercabut. Foto: Sinar Harian

Hasbullah (tengah) dan Manivannan (kiri) menunjukkan tayar pertama yang tercabut dan merempuh gerai makan. Foto: Sinar Harian


KUALA PILAH – "Saya suruh pemandu itu berhenti, tapi dia terus memecut laju," kata seorang penduduk yang terpaksa mengejar sebuah lori tangki selepas tayarnya tercabut dan terpelanting lalu terkena deretan gerai makan di Taman Putra, dekat sini, kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira 5 petang, Hasbullah Abd Jalil, 45, berkata, dia berada di sebuah warung dan terkejut dengan dentuman kuat ketika sebuah lori tangki membawa muatan kimia melalui kawasan berkenaan. 
"Saya terus berlari ke gerai itu dan mendapati satu tayar lori sudah berada dalam gerai yang belum dibuka. Ketika itu, saya lihat peralatan dalam gerai seperti meja, kerusi dan tiang sudah rosak," katanya. 
Menurutnya, dia percaya pemandu lori berkenaan tidak menyedari kejadian itu.Dia kemudian bertindak mengejar dengan motosikalnya. 
“Ketika saya mengekori lori itu dalam jarak kira-kira lima kilometer, tiba-tiba saya ternampak satu lagi tayarnya tercabut dan terpelanting ke sebelah kanan jalan," katanya. 
Bagaimanapun, Hasbullah berkata, dia akhirnya berjaya memintas lori berkenaan dan meminta pemandu berhenti. 
Sementara itu, pemandu lori berkenaan, M Manivannan, 34, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke Nilai, sememangnya tidak sedar tayar kenderaan berkenaan tercabut. 
"Saya hanya sedar pemandu lain memberi lampu ke arah saya tetapi masih tidak dapat menangkap apa yang berlaku. 
"Saya hanya sedar selepas didatangi seorang lelaki (Hasbullah). Dia juga membawa saya ke gerai di Taman Putra,” katanya. - Sinar Harian

Sabtu, 28 September 2013

Beza Antara Dua Wanita

Seorang janda nekad terjun dari tingkat tiga rumah kedai di Desa Tasik, Sungai Besi, untuk mengelak daripada dirogol. Foto: myMetro
Mangsa yang berusia 31 tahun cedera parah apabila kedua-dua kakinya patah. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Demi maruah dan kehormatan diri, seorang janda anak satu nekad terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini, semalam untuk menyelamatkan diri daripada dirogol. 
Akibat kejadian yang berlaku jam 8.15 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun cedera parah apabila kedua-dua kakinya patah. Mangsa yang memakai kemeja-T tidak berlengan dan hanya berseluar dalam ditemui orang ramai terbaring di bahagian bawah bangunan berkenaan, berhampiran kedai mencuci kereta. 
Dia yang berusia 31 tahun itu kemudian dihantar ke hospital oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan lanjut. Seorang saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Arif berkata, sebelum itu dia mendengar suara jeritan wanita meminta tolong. - myMetro


Remaja (kanan) melacur sejak berusia 14 tahun dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM80. Foto: Sinar Harian

KULIM - Seorang remaja berusia 16 tahun, di sini, sudah melakukan kegiatan pelacuran sejak berusia 14 tahun setelah diperkosa beberapa kali oleh teman lelakinya. 
Remaja berkenaan yang ditahan polis dalam rondaan cegah jenayah mengakui, gemar melakukan aktiviti tidak bermoral itu dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM80. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, remaja bawah umur yang berpeleseran di pekan Kulim ditahan kira-kira jam 3.30 pagi semalam ketika sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5. 
"Remaja ini menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan bagaimanapun apabila ditahan, polis mendapati dia pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini kerana berpeleseran," katanya. 
Sinar Harian kemudiannya mendekati remaja terbabit dan bertanya sama ada masih bersekolah atau sebaliknya. 
Remaja ini kemudiannya menyatakan dia tidak ke sekolah kerana tidak berminat dalam pelajaran. 
Menurutnya, dia tinggal bersama beberapa rakan lain dan melakukan kegiatan pelacuran untuk menampung perbelanjaan. 
“Ada kalanya saya tinggal di rumah rakan lelaki sehingga beberapa hari. Sepanjang bersama mereka saya akan diberikan makanan dan tempat tidur. - Sinar Harian
"Sebelum ini saya pernah bekerja di Pulau Pinang bagaimanapun berhenti kerana jauh," katanya. 
Ditanya mengenai pelanggannya, remaja ini menjelaskan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mat motor.
"Mereka akan membawa saya balik ke rumah untuk melakukan hubungan seks. 
"Walaupun terpaksa melayani beberapa lelaki dalam satu masa, saya tetap melakukannya kerana suka dengan layanan ketika melakukan hubungan seks," katanya. 
Tambahnya, pelajar sekolah juga ada menggunakan khidmat seks daripadanya dan bayaran yang dikenakan lebih murah berbanding pelanggan yang sudah bekerja. 
Menurutnya, sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang pernah menahannya kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran kerana ia dilakukan secara senyap. 
Katanya, dia senang melakukan kegiatan itu kerana mudah mendapatkan wang. - Sinar Harian

Orang Minyak Masih Mengganggu

'Orang minyak' berkenaan melarikan diri dan terjun melalui tingkap bilik tidur Akmaliza sebelum menghilangkan diri. Foto: Sinar Harian

Sumber: Sinar Harian

Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Alimin. Foto: Sinar Harian

Mohd Alimin (kanan) dan Mohd Faizul mendakwa lelaki yang disiarkan Sinar Harian sebelum ini masih bebas. Foto: Sinar Harian


MARANG - Kelibat misteri seorang lelaki separuh bogel didakwa orang minyak muncul kembali di daerah ini walaupun ada yang menganggap gangguan itu sudah berakhir dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 42 tahun, Isnin lalu. 
Mangsa terbaru, Sh Nor Akmaliza Tuan Ibrahim, 33, mendakwa melihat manusia separuh bogel berada berdekatan katil dalam bilik tidurnya kira-kira jam 5 pagi, Rabu lalu iaitu dua hari selepas lelaki 42 tahun itu ditangkap pasukan rondaan Rakan Muda. 
Ibu tiga anak yang tinggal di Jalan Kampung Machang Lada itu berkata, kelibat manusia dipercayai seorang lelaki yang hanya memakai baju dan berseluar dalam tiba-tiba sahaja muncul dan berada berdekatan katil apabila dia tersedar daripada tidur. 
“Saya yang terkejut terus menjerit sekuat hati menyebabkan ‘orang’ itu lari menuju ke arah tingkap bilik tidurdan terjun keluar sebelum. menghilangkan diri,” katanya kepada Sinar Harian. 
Akmaliza berkata, walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun bersyukur kerana tiada barang dalam rumahnya hilang. 
Namun dia kini mengalami trauma dan takut untuk tidur dalam bilik seorang diri. 
“Saya bimbang perkara seperti ini berulang kerana suami sering pulang kerja lewat dan dia (suami) biasanya tidur di ruang tamu. 
"Kami syak orang yang menceroboh rumah kami masuk melalui tingkap ruang tamu. 
"Kami sudah pun buat laporan di Balai Polis Bukit Payung untuk tindakan lanjut dan turut mendapat perhatian Unit Kawalan Kampung (UKK) Padang Midin,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mangsa. 
Suami mangsa, Abdul Hadi Endut, 40, pula tidak menolak kemungkinan lelaki yang menceroboh rumahnya mempunyai 'ilmu' kerana dia berjaya melarikan diri tanpa meninggalkan sebarang jejak dalam tempoh singkat. 
Pada Isnin lalu, seorang lelaki berusia 42 tahun diberkas sekumpulan ahli Rakan Muda (Pasukan Kesedaran Jenayah) selepas didapati berkeliaran dalam keadaan separuh bogel di Kampung Machang Lada. 
Lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan mengalami masalah mental. 
Ketua UKK Padang Midin, Mohd Alimin Sharom, 30, berkata, pencerobohan terbaru itu menunjukkan lelaki yang diberkas sebelum ini tiada kaitan dengan kes orang minyak. 
“Ini bermakna suspek sebenar masih bebas. Kami akan menggandakan usaha rondaan dan berjaga pada waktu malam agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,”katanya. 
Turut mengulas perkara sama, Naib Ketua UKK Padang Midin, Mohd Faizul Abdul Rahman, 32, pula menyifatkan perkara itu agak mistik dan langkah berjaga-jaga sentiasa diambil walaupun belum ada penduduk yang dilaporkan cedera akibat kejadian itu. 
"Kami berjaga malam untuk memastikan keselamatan kawasan terjamin dan akan sentiasa merujuk kepada pihak polis sebelum ambil apa-apa tindakan jika berjaya mengesan kehadiran 'orang minyak’ itu,” katanya. 
Dalam pada itu, Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman turut turun padang menyampaikan sumbangan kepada anggota rondaan UKK diketuai Mohd Alimin. 
Beliau berharap, usaha unit rondaan itu dapat membantu pihak berkuasa mengesan suspek yang terlibat dengan segera. 
Selain UKK Padang Midin, turut menjalankan rondaan ialah Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin Kuala Terengganu dan Rakan Muda Terengganu. - Sinar Harian

Jumaat, 27 September 2013

Ibu Maut Semasa Ambil Anak Dari Sekolah

Seorang ibu maut digilis sebuah lori simen di hadapan Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1 & 2. Foto: Sinar Harian

Pengawal keselamatan sekolah menenangkan anak mangsa. Foto: Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Hasrat seorang wanita mengambil anaknya pulang dari sekolah tidak kesampaian apabila dia maut digilis sebuah lori simen di hadapan Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1 & 2, semalam. 
Dalam kejadian jam 2.15 petang, mangsa, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, isteri kepada anggota polis Balai Sentul, dikatakan gagal mengawal motosikalnya setelah bergesel dengan lori itu. 
Lebih memilukan kejadian disaksikan anak perempuan mangsa berusia sembilan tahun, lalu menghubungi ayahnya (suami mangsa). 
Kejadian makin kecoh apabila orang ramai membaling batu ke arah lori simen dan memukul pemandu lori warga Indonesia dengan kayu. 
Bagaimanapun, kehadiran anggota polis trafik menyuraikan keadaan dan menahan pemandu untuk siasatan. 
Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, motosikal gagal dikawal menyebabkan mangsa tercampak bawah lori. 
Katanya, mangsa kemudiannya digilis dan maut serta-merta di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian. - Sinar Harian

Foto
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas terlibat dalam kemalangan ngeri. Foto: myMetro

Foto
Suami mangsa sebak melihat mayat isteri di tempat kejadian. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Sukar digambarkan perasaan seorang suami apabila melihat mayat isterinya dalam keadaan mengerikan akibat digilis lori pembancuh simen di Jalan Tanah Lapang off Jalan Sentul, di sini, semalam. 
“Sebaik tiba di lokasi kejadian saya lihat isteri saya terbaring di bawah lori dan berlumuran darah,” kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 32, itu dengan nada sebak. 
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, isterinya, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, maut dengan badan hampir putus akibat digilis tayar belakang sebelah kiri lori. 
Sebelum itu, motosikal ditunggang mangsa yang ketika itu dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari sekolah, hilang kawalan selepas bergesel dengan lori berkenaan. 
Sham, 32, yang juga anggota polis di Balai Polis Sentul berkata, kira-kira 20 minit sebelum kejadian dia ada menghubungi isterinya mengingatkan arwah supaya mengambil anak kedua mereka di sekolah. - myMetro

Perompak Insaf Pulangkan Wang Rompakan

Kedai ini pernah dirompak lebih 12 tahun lalu

Bagaimanapun perompak itu telah insaf dan memulangkan kembali wang hasil rompakannya bersama nota ini

Pewaris kedai, Somboon Wu terharu dengan tindakan bekas perompak itu dan sudi memaafkannya

Pemandangan di dalam kedai Somboon Wu

SIKAP perompak yang insaf dan memulangkan kembali wang hasil rompakan sememangnya jarang terjadi dan harus dicontohi. 
Meskipun kejadian berlaku lebih 12 tahun lalu, namun dia nekad mengembalikan wang yang dirompak dalam usahanya untuk kembali membetulkan kesilapan yang telah dilakukan sekali gus membuka lembaran baru dalam hidupnya. 
Walaupun tidak berdepan secara bersemuka dengan pemilik wang, tindakan bekas perompak itu meninggalkan sampul surat berisi nota tulisan tangan meminta maaf dan wang AS$400 (RM1,300) harus dipuji. 
Dalam notanya, bekas perompak itu menjelaskan, dia tidak lagi mengambil dadah dan mahu membetulkan kesilapan terhadap mereka yang pernah disakitinya. 
Pewaris kedai runcit InterAsian Market & Deli di Nashville, Amerika Syarikat Somboon Wu berkata, walaupun tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia ingin masyarakat tahu lelaki itu perlu diberikan peluang kedua. 
“Kami berasa terharu dengan sikap bekas perompak ini. Dia perlu dipuji kerana telah insaf. Tindakannya itu memberi inspirasi kepada bekas perompak yang senasib dengannya. Kepada lelaki ini, kami ingin memberitahu, anda telah dimaafkan. Semoga anda mendapat ketenangan dan kemakmuran dalam hidup,” katanya pada laporan Daily Mail. 
Wu dan bapanya Keosavanh Xayarath memuat naik gambar nota itu di laman Twitter dan Instagram dengan keterangan: “Kami telah dirompak kira-kira 11 atau 12 tahun lalu. Hari ini kami terkejut menerima nota ini daripada perompak yang mengembalikan semula wang tunai". 
Wu menerima kedatangan seorang lelaki tidak dikenali awal bulan lalu yang berkeras menyuruhnya menerima sampul surat. Tanpa diketahui, lelaki itu adalah lelaki sama yang melakukan rompakan bersenjata dan melarikan wang lebih AS$300 (RM980) lebih sedekad lalu. - Sinar Harian

Lelaki Brazil Bela Tujuh Ekor Harimau Di Rumah

Ary Borges (kiri) memelihara tujuh ekor harimau di rumahnya

Ary Borges bermain dengan dua daripada tujuh ekor harimau

Keluarga Ary Borges makan bersama harimau di rumah mereka

Ary Borges berkata, dia telah menyelamatkan dua ekor harimau dewasa dan beberapa ekor anak harimau daripada sebuah sarkas

Cucu perempuan Ary Borges tidak takut kepada harimau ini

Hobi pelik Ary Borges merisaukan kalangan penduduk di sekitarnya dan memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepadanya


MARINGA - Sebuah keluarga di Brazil memelihara tujuh ekor harimau di rumah mereka sebagai haiwan peliharaan sejak lapan tahun lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin. 
Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada mereka. 
Pemilik haiwan itu, Ary Borges berkata, dia telah menyelamatkan dua ekor harimau dewasa bersama beberapa ekor anak harimau daripada sebuah sarkas. 
Borges, 43, kemudian membina sebuah kandang di belakang rumahnya untuk memelihara dan membiak mamalia tersebut. 
Ahli-ahli keluarga Borges makan dan berenang bersama harimau-harimau itu. Malah, dia turut membenarkan anak-anaknya menunggang binatang buas berkenaan. 
"Saya tidak pernah risau apabila anak-anak saya bermain dengan harimau-harimau itu," kata Borges. 
"Anda perlu tunjukkan rasa hormat dan kasih pada haiwan ini. Dengan cara itu, kita akan disayanginya," tambahnya. 
Borges dan tiga anak perempuannya Nayara, 20, Uyara, 23, dan Deusanira, 24, kerap membawa harimau-harimau tersebut bersiar-siar. 
Lelaki berkenaan juga memberi makan dengan menyuap daging ke mulut haiwan liar berkenaan. - Agensi/Kosmo! Online

Anjing Makan Mayat Tuannya

Seorang wanita dari Kentucky dipercayai dimakan puluhan anjing serigala belaannya selepas dia mati. Foto: medicaldaily.com

Bilangan anjing yang dibela oleh wanita itu kian bertambah sejak beberapa tahun lalu. Foto: Screengrab/whas11


FRANKFORT - Seorang wanita dari Kentucky yang pernah bertindak kejam terhadap haiwan peliharaannya dipercayai dimakan puluhan anjing serigalanya selepas dia mati. 
Mayat Patricia Ritz, 67, ditemui tinggal rangka
Mayat Patricia Ritz, 67, ditemui di kediamannya di Fordsville oleh polis selepas jiran tetangga membuat laporan yang mereka tidak melihat kelibatnya lebih daripada seminggu, lapor NBC News. 
Pihak berkuasa yang memeriksa kediamannya kemudian hanya menemui rangka manusia dan tulang rahang yang dipercayai milik Patricia, menurut laporan stesen televisyen WHAS 11. 
Polis percaya Patricia maut selepas jatuh sakit dan haiwan peliharaannya yang terbiar tanpa diberi makan selepas kematian wanita itu kemudian memakan mayatnya. 
Menurut laporan stesen WFIE, Patricia sebelum ini pernah disabitkan dengan kesalahan menzalimi haiwan pada 1986. 
Badan sukarelawan haiwan Adopt-A-Husky memberitahu stesen berkenaan, kesalahan pertama Patricia membabitkan 50 anjing walaupun tidak dijelaskan apa kesalahan yang dilakukannya. 
Pada tahun berikutnya ketika dia tinggal di Evansville, Indiana, Patricia didapati bersalah terhadap lima pertuduhan mendera haiwan dan dilarang daripada membawa masuk anjing ke negeri itu. 
Dia dituduh menzalimi haiwan sekurang-kurangnya lima kali lagi selepas 1986 hingga 2003. 
Dalam satu kejadian pada 1999, pihak berkuasa menemui 184 anjing di kawasan kediamannya tidak terurus dan terpaksa membunuh 159 daripadanya yang dijangkiti wabak penyakit. 
Mereka membenarkan Patricia memelihara baki anjing berkenaan dengan syarat dia mengkasi haiwan itu. Bagaimanapun, bilangan haiwan berkenaan kian bertambah sejak beberapa tahun lalu. - Agensi/myMetro