Isnin, 30 September 2013

Pengantin Baru Mati Lemas Ketika Berkelah

Anggota dari Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu mengusung mayat mangsa lemas. Foto: Sinar Harian

Bapa mangsa, Anuar Abd Wahab (kiri) menenangkan isterinya yang terkejut. Foto: Sinar Harian

Shakilah (dua, kanan) dipapah ahli keluarga selepas melihat mayat suaminya. Foto: Sinar Harian


TANGKAK - Seorang lelaki mati lemas selepas menyelamatkan adiknya yang tergelincir di kawasan air terjun Asahan, bersempadan dengan Melaka dan Johor, di sini semalam. 
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Mohd Khidil Ismeath Anuar, 25, menghabiskan cuti hujung minggu berkelah di kawasan berkenaan bersama isteri, Shakilah Zakaria, 26, dan adik bongsunya, Mohd Aliff Najmi Anuar, 13. 
Mangsa merupakan seorang kakitangan kerajaan dan baru bernikah dengan isterinya, hampir sebulan lalu. 
Mohd Aliff berkata, kemalangan berlaku apabila abangnya yang dipanggil abang lang, mahu menyelamatkan dirinya daripada lemas. 
Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Sri Pantai, di sini itu berkata, dia pada mulanya mandi di bahagian atas, namun ketika terpijak salah satu batu, dia tergelincir masuk ke pusaran air, sebelum menjerit meminta tolong. 
Menurutnya, dia dapat merasakan kawasan itu begitu dalam dan ketika itu jaraknya dengan Mohd Khidil, kira-kira 3 meter. 
“Saya tergelincir dan menjerit panggil abang lang, abang lang... sebelum abang lang datang menolak saya ke tepi. Kemudian saya tak nampak abang lang lagi. 
“Dalam keadaan tercungap-cungap saya mendengar kakak ipar saya (Shakilah) menjerit memanggil 'abang! abang!' Saya pandang semula ke tempat itu tapi tak nampak abang lang," katanya. 
Menurutnya, sebelum abangnya dibawa arus, Shakilah nampak mangsa terkapai-kapai di dalam air, lalu tenggelam dan hilang. 
Mayat mangsa bagaimanapun ditemui kira-kira dua jam selepas itu oleh pasukan Bomba dan Penyelamat. 
“Saya sedih sebab saya yang mula lemas tapi abang yang menyelamatkan saya pula lemas,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tangkak, dekat sini, semalam. 
Mohd Aliff berkata, mangsa, anak ketiga daripada lima beradik itu, tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini. 
"Tapi Allahyarham begitu beria-ia mengajak kami sekeluarga berkelah di situ. Cuma, saya dan isterinya saja yang ikut hari ini (semalam)," katanya. 
Menurutnya, mereka sekeluarga baru tiba dari Kuala Lumpur ke Kampung Bekoh, dekat sini, petang kelmarin dan ini pertama kali dia dan Allahyarham menjejak kaki ke kawasan tersebut. 
Sementara itu, abang kedua mangsa, Muhammad Hatta Anuar, 27, berkata, Allahyarham merupakan seorang penyayang. 
"Allahyarham dan isterinya baru pulang dari berbulan madu di Korea, dua minggu lalu," katanya. 
Menurutnya, sebelum ini mereka kerap bertemu di rumah keluarga di Kuarters Polis Pantai, bagaimanapun jarang berjumpa selepas adiknya berpindah ke rumah mertua di Sungai Buloh selepas mendirikan rumahtangga pada 1 September lalu. 
“Dah ajal dia, dia pergi hari ini dan kami sekeluarga reda. Namun, lebih menyedihkan ketika ini, ibu bapa mertua Allahyarham tidak dapat melihat jenazah buat kali terakhir kerana berada di Makkah mengerjakan haji," katanya. 
Sementara itu, Shakilah enggan ditemui pemberita kerana masih bersedih. 
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bekoh, Tangkak, selepas solat Asar, semalam. 
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Johari Masom berkata, seramai enam anggota membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba Jasin, Balai Bomba Jasin Bestari serta unit Skuba Jalan Kubu Baru dikejarkan ke tempat kejadian untuk usaha mencari dan menyelamat. 
"Operasi menyelamat sukar kerana kedalaman kawasan air terjun lebih lima meter menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan unit skuba,” katanya. 
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui dan dibawa naik kira-kira 12.20 tengah hari tidak jauh dari tempat mangsa menyelamatkan adiknya. 
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan tiada kesan luka pada badan mangsa. Anggota bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit membawa naik ke darat dan mayatnya dihantar ke Hospital Tangkak sebelum dituntut waris,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.