Isnin, 2 September 2013

AS Tangguh Serang Syria

Presiden Obama bermesyuarat dengan para penasihat kanan di pejabatnya Oval Room, White House pada malam Jumaat lalu

Presiden Obama sedang bercakap dengan Speaker Dewan Perwakilan Kongres AS di pejabatnya pada hari Sabtu

Presiden Obama sedang membincangkan strategi di Syria dengan anggota Majlis Keselamatan Negara di Situation Room, White House

Di luar White House berlangsung tunjuk perasaan membantah serangan terhadap Syria

Lokasi yang akan menjadi sasaran serangan AS di Damsyik, Syria 
 Perbandingan kekuatan tentera antara AS dan sekutunya Francis dengan Syria



WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama (gambar kecil), menangguhkan rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Syria, yang didakwa menggunakan senjata kimia, sebaliknya akan mendapatkan sokongan Kongres sebelum meneruskan niatnya. 
Keputusan Obama itu secara efektif menghentikan tindakan tentera hingga sekurang-kurangnya 9 September, apabila anggota Kongres kembali daripada cuti musim panas. 
Langkah Obama untuk mendapatkan sokongan Kongres bakal menjadi ujian terbesar terhadap kewibawaan beliau, berikutan tiada kepastian rancangannya akan disokong. 
Malah, pemerhati memberi amaran, Obama mungkin menerima nasib sama seperti Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang gagal dalam usulnya untuk melaksanakan tindakan ketenteraan ke atas Syria di parlimen Khamis lalu. 
Obama bagaimanapun bertegas bahawa beliau berhak melancarkan serangan walau apa pun keputusan Kongres, manakala pegawai Rumah Putih berkata penangguhan itu akan membolehkan beliau mendapatkan lebih banyak sokongan. 
“Pengerusi bersama ketua angkatan tentera, sudah memaklumkan kepada saya bahawa kita bersedia untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa. 
“Keupayaan kita melaksanakan serangan bukan bergantung kepada masa. Ia mungkin dilancarkan esok atau minggu depan, mungkin juga sebulan dari sekarang,” katanya. 
Sekurang-kurangnya lima armada perang Amerika Syarikat dilengkapi peluru berpandu Tomahawk sudah bergerak ke bahagian timur Mediterranean dan bersedia melancarkan serangan ke atas sasaran Syria. 
Pentadbiran Obama berkata, ia mempunyai maklumat perisikan bahawa rejim Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan kimia yang mengorbankan 1,429 orang. 
Sementara itu kerajaan Syria berkata ia sudah bersedia mempertahankan negara itu daripada sebarang ancaman Barat. 
“Tentera Syria sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi serangan dan apa juga cabaran,” kata Perdana Menteri, Wael al-Halqi. 
Ketua Pengawal Revolusi Iran, Mohammad Ali Jafari berkata, tindakan Barat akan mencetuskan reaksi balas melampaui sempadan negara sekutunya itu. 
“Jika Amerika fikir campur tangan itu hanya terhad di dalam kawasan Syria, ia adalah tidak benar kerana yang pasti kesannya akan merebak ke negara jiran,” katanya. - AFP/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.