Ahad, 22 September 2013

Berbagai Kisah Rumah Urut

Hari ini: Penguatkuasa tunjukkan produk khas yang digunakan tukang urut untuk merangsang nafsu pelanggan. Foto: Sinar Harian

Wanita warga Vietnam yang ditahan oleh penguatkuasa ini dipercayai terlibat menyediakan khidmat seks. Foto: Sinar Harian

I
 
Sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di sekitar Dataran Mentari diserbu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana beroperasi tanpa lesen sejak lima bulan lalu. 
Pengarah Penguatkuasaan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, hasil pemantauan yang dijalankan sebelum ini pihaknya mendapati premis berkenaan turut menyediakan pakej seks kepada pelanggan. 
Menurut Fauzi, premis berkenaan pernah diserbu beberapa kali dan tindakan sita juga dikenakan namun pemiliknya masih tidak serik. 
"Operasi kali ini yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan lapan wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan. 
"Kesemua wanita berkenaan didapati menyalahgunakan pas lawatan pelajar. Mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya bagi membolehkan siasatan lanjut,” katanya. 
Menjelaskan lebih lanjut mengenai premis berkenaan, Fauzi berkata, tukang urut di situ juga didapati menggunakan produk khas untuk merangsang nafsu pelanggan yang hadir bagi mendapatkan khidmat seks.


Berita 15 September 2013: Rumah urut memberi perkhidmatan urut badan walaupun lesen untuk urut kaki sahaja. Foto: Sinar Harian
II
 
Premis urut di Jalan Bukit Bintang yang menggunakan wanita sebagai peraih pelanggan di kesan turut menawarkan khidmat urutan badan meskipun lesen yang dikeluarkan hanya membenarkan khidmat urutan kaki. 
Malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menerima aduan berhubung kegiatan khidmat tambahan membabitkan seks. 
Penolong pengarah jabatan perlesenan dan pengurusan penjaja DBKL, Irwan Shafari Wahab berkata, kehadiran wanita-wanita dengan imej menjolok mata ditambah dengan cara mereka meraih pelanggan, menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung. 
“Biasanya peraih-peraih urut ini akan menarik pelanggan khususnya pelanggan lelaki meskipun ketika itu individu berkenaan berjalan bersama pasangan mahupun keluarga, tidak kira warga asing mahupun tempatan,” katanya selepas mengetuai Ops Peraih Urut di Jalan Bukit Bintang, malam kelmarin. 
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati empat premis menjalankan perkhidmatan yang melanggar syarat lesen apabila menyediakan khidmat urutan badan. 
“Premis-premis ini hanya dibenarkan menjalankan khidmat urut kaki. Tetapi tempat urut yang disediakan menggambarkan khidmat urut badan juga ditawarkan di samping terdapat pelanggan yang sedang melakukan urutan badan ketika pemeriksaan. 
“Ada premis yang kita kompaun kerana beroperasi tanpa lesen. Untuk makluman, lesen urut kaki dan urut badan telah dibekukan sejak 2009 jadi kita tidak benarkan sebarang lesen baru bagi aktiviti urut badan,” katanya. 
Irwan berkata, mana-mana premis yang didapati terlibat dengan pelanggaran syarat pihaknya akan mengeluarkan surat tunjuk kepada pengusaha dan akan dibawa kepada jawatankuasa pembatalan lesen. 
“Ia merupakan amalan kepada pengusaha yang terus berdegil setelah beberapa peringatan dan pelbagai usaha dibuat tapi tiada perubahan, kita akan batalkan lesen,” katanya. 
Jelasnya, turut dikenakan tindakan dalam operasi bermula jam 10 malam itu, ada terhadap premis urut yang beroperasi lebih masa iaitu melebihi jam 12 malam. 
“Tindakan diambil selaras dengan Undang-undang Kecil 24 Establishment Kecantikan dan Kesihatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2003, jika sabit salah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya.


Berita 5 Julai 2013: Anggota Imigresen Selangor menahan warga asing di sebuah rumah di Sungai Buloh. Foto: Sinar Harian

III
 
Sebuah rumah urut yang menyediakan perkhidmatan urutan badan ke badan dan khidmat seks di Kajang, diserbu Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, awal pagi semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan rumah urut ini menerusi aduan orang awam dan tinjauan pihak imigresen selama 10 hari. 
"Selain mengurut, pekerja di sebuah pusat urut ini juga memberi layanan istimewa kepada lelaki hidung belang. 
"Pelanggan juga boleh memilih sama ada untuk mendapatkan khidmat urutan badan ke badan atau khidmat seks," katanya. 
Menurutnya, pihaknya berjaya menahan enam warganegara China berumur antara 22 dan 34 tahun. 
"Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa di negara ini," katanya. 
Selain itu Othman berkata, pihaknya juga menahan penjaga rumah urut berumur 49 tahun. 
"Semua yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.