Rabu, 4 September 2013

Nelayan Rentung Dalam Bot

Tubuh mangsa separuh rentung selepas api yang membakar bot kayu milik mangsa berjaya dipadamkan. Foto: Sinar Harian

Tubuh mangsa separuh rentung. Foto: Sinar Harian

Mayat mangsa yang dibungkus dengan kain pelikat dibawa keluar dari bot setelah tiba di jeti. Foto: Sinar Harian

Info grafik kejadian. Sumber: Sinar Harian

Baharu Abdullah, 68, isteri mangsa. Foto: Sinar Harian


KEMAMAN – Hasrat seorang nelayan turun ke laut untuk mencandat sotong bertukar tragis apabila dia ditemui dalam keadaan rentung setelah bot yang dinaikinya terbakar ketika berada di Sungai Kemaman kira-kira satu batu nautika dari jeti Kastam Lama, Chukai, di sini, malam kelmarin. 
Mayat Hussin Mohamad, 69, yang separuh rentung dengan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak ditemui bersandar pada bot yang terkandas di beting pasir Pulau Pak Mod setelah api berjaya dipadamkan dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu. 
Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang menuju ke jeti dan bot kayu milik mangsa terbakar 70 peratus dengan sebahagian sotong yang berada di dalam bot itu turut hangus. 
Mangsa yang juga bapa kepada enam anak yang tinggal di Kampung Dusun Nyior itu dipercayai terkena serangan jantung dan meninggal dunia, lalu bot hanyut sebelum terkandas pada beting pasir serta terbakar. 
Mayat mangsa berjaya dinaikkan di jeti Kastam Lama kira-kira jam 1.02 pagi semalam oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Chukai sebelum dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk bedah siasat. 
Isteri mangsa, Baharu Abdullah, 68, berkata, suaminya itu turun mencandat sotong keseorangan setelah setahun tidak turun ke laut. 
“Secara tiba-tiba kelmarin (Ahad), arwah beritahu mahu turun ke laut untuk candat sotong, makcik terkejut sebab dah setahun dia tak turun ke laut. 
“Sejak belakangan ini juga dia berperangai ganjil sebab nak makan makanan yang bukan-bukan. Tiga hari lepas makcik masakkan dia pulut tawar sebab dia kata nak makan sangat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman, awal pagi semalam. 
Malahan, katanya yang hanya tinggal berdua bersama suami di rumah, sehari sebelum turun ke laut, suaminya itu bersemangat pergi membeli air batu di kedai untuk diletakkan dalam tong sotong. 
“Semalam (kelmarin) makcik keluar bekerja jam 7 pagi dan makcik tidak tahu jam berapa arwah keluar mencandat sebab waktu makcik pulang kerja pada waktu petang arwah sudah tiada di rumah, dia juga ada pesan pada kalau beg duit dia tiada maknanya dia sudah turun ke laut. 
“Makcik ada hubunginya jam 4 petang tapi dia tidak jawab dan bila makcik telefon lagi jam 8 malam, masuk pesanan suara. Arwah sebenarnya tak sihat dan setiap hari makan ubat sebab dia lemah jantung” katanya sebak. 
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga pemandu bot, Mohd Shukri Jenun, 33, berkata, dia melihat mangsa bersandar pada birai bot ketika melintasi bot mangsa yang tersadai pada beting pasir kira-kira tiga minit sebelum bot itu terbakar. 
“Waktu itu saya baru balik daripada menghantar pekerja pelantar minyak ke tengah lautan. Saya sangkakan mangsa tahan pukat tetapi bila saya tiba di jeti Kastam Lama, dalam jarak kira-kira 300 meter saya nampak bot mangsa tiba-tiba terbakar dan api menjulang tinggi,” katanya. 
Orang awam, Saidi Ngah, 44, pula berkata, dia yang ketika itu berada di Pasar Besar Chukai menyedari kejadian itu apabila melihat pasukan bomba bergegas ke beting pasir itu dengan kira-kira lima orang nelayan yang berada di jeti turut meluru ke tempat bot mangsa untuk memadamkan kebakaran. 
“Kira-kira jam 9 pagi sebelum kejadian, Pak Hussin ada ajak ayah saya, Ngah Ismail, 65, keluar mencandat tapi ayah saya menolak sebab tidak sihat jadi Pak Hussin keluar mencandat keseorangan,” katanya. 
Dalam pada itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Che Zakri Che Long berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan kebakaran tersebut dan ketika tiba di lokasi kejadian, api yang membakar bot mangsa juga hampir padam. 
“Pihak kami menerima panggilan kira-kira jam 10.13 malam dan segera bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan seramai lima anggota dan sebuah bot,” katanya. 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Che Suza Che Hitam memberitahu, punca kebakaran itu disyaki dari enjin bot terbabit yang jenis ‘built in’, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengesahkan punca kebakaran. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.