Khamis, 12 September 2013

Restoran Tomyam Diarah Tutup Kerana Kotor

Bahan-bahan untuk masakan tomyam di letakkan di tempat terbuka. Foto: Sinar Harian

Pegawai penguatkuasa menampal notis penutupan restoran tomyam. Foto: Sinar Harian

Ahmad Yahya menunjukkan lipas yang menjadi punca utama sesebuah kedai ditutup. Foto: Sinar Harian

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sedang memeriksa peti sejuk di restoran tomyam. Foto: Sinar Harian


GEORGETOWN - Sebuah restoran masakan tomyam yang terkenal di sini diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semalam. 
Restoran berhampiran dengan sebuah pusat beli belah berdekatan pesisir pantai itu menjadi tumpuan kebanyakan pelanggan berikutan pemandangan yang cantik namun sayangnya ketika pemeriksaan kebersihan mendapati restoran tersebut kotor. 
Penguatkuasa JKNPP bersama dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut mendapati tikus dan lipas juga berkeliaran di sekitar restoran. 
Sebelum ini juga ada sumber memberitahu terjumpa telur lalat di dalam sup daging yang dihidangkan kepada pelanggan. 
Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, operasi yang dinamakan Ops Tomyam itu mula dijalankan semalam bermula jam 6 petang hingga 1 pagi. 
Menurutnya, penguat kuasa JKNPP terlebih dahulu membuat risikan sebelum menyerbu kesemua 40 premis kedai dan restoran masakan tomyam di negeri ini. 
“Kami dapati premis makanan ini tidak mematuhi elemen penting kebersihan termasuk dengan adanya makhluk perosak seperti tikus malah peralatan makanan juga tidak bersih. 
“Kebanyakan pengendali makanan atau pembantu kedai tidak mendapat suntikan kepialu dan tidak menghadiri latihan pengendali makanan,” katanya. 
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Ops Tomyam di Komtar. 
Dalam operasi berkenaan, 40 premis diperiksa termasuk 21 di Barat Daya dan Timur Laut, tujuh di Seberang Perai Selatan (SPS) dan masing-masing empat premis di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU). 
Kelapan-lapan premis di SPU dan SPT diarah tutup dan 10 premis di Timur Laut serta Barat Daya juga mengalami nasib yang sama. 
Kesemuanya ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, sekiranya bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 
Ku Nafishah berkata, kesemua pemilik premis makanan yang diarah tutup perlu melakukan kerja pembersihan dan premis berkenaan akan diperiksa semula sebelum dibenarkan untuk dibuka kembali. 
Namun JKNPP tidak akan teragak-agak untuk melanjutkan tempoh penutupan sekiranya pemilik premis masih gagal memastikan premis makanan mereka telah bersih. 
“Operasi pada sebelah malam ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang terutamanya di kedai-kedai makan yang beroperasi pada waktu malam,” katanya. 
Beliau turut menasihatkan pengguna memilih premis makanan yang bersih sebelum menikmati makanan. 
Ia bagi mengelakkan terkena keracunan makanan, dan pengguna juga boleh memilih pengendali makanan yang mengamalkan ciri kebersihan seperti memakai apron dan penutup kepala. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.