Khamis, 24 Oktober 2013

Awas Warga Myanmar Jual Sayur Kitar Semula

Sayur-sayuran rosak di tempat pembuangan sampah dikutip oleh warga Myanmar untuk dijual semula. Foto: Sinar Harian

Warga Myanmar menolak troli berisi sayur-sayuran di sekitar Pasar Borong Selayang. Foto: Sinar Harian

Longgokan sayur-sayuran berdekatan tempat pembuangan sampah. Foto: Sinar Harian


PERNAHKAH anda terfikir sayur yang dimakan mungkin datangnya dari tong sampah? 
Bunyinya mungkin tidak masuk akal, namun hakikatnya itu yang berlaku di Pasar Borong Selayang apabila warga Myanmar terus melakukan kegiatan mengutip sayur-sayuran yang dibuang oleh peniaga pasar borong sebelum mereka 'recycle' dan menjualnya semula. 
Permasalahan tersebut terus berulang meskipun isu tersebut pernah dilaporkan sebelum ini. 
Pelbagai langkah juga telah diambil untuk menghalang kegiatan kaut untung atas angin selain mencemar kualiti sayur yang telah digredkan sebelum dijual kepada umum. 
Tinjauan Sinar Harian baru-baru ini mendapati kegiatan itu masih berlaku meskipun tidak terlalu ketara. 
Salah seorang pekerja pembersihan, Munish, 21, berkata, sejak dia bekerja di situ lapan bulan lalu, kegiatan itu masih berlaku lebih-lebih lagi selepas pembersihan dilakukan. 
“Biasanya mereka akan kutip sekitar jam 7.30 pagi sebelum pembersihan dan tengah hari selepas pembersihan dibuat. 
“Mereka biasanya datang secara individu, ada kalanya ramai kadangkala hanya dua atau tiga orang,” katanya kepada Sinar Harian. 
Wartawan yang berada di lokasi sejak kira-kira jam 7 pagi bagaimanapun tidak melihat kelibat mencurigakan di tempat pembuangan sampah. 
Penantian sehingga kira-kira jam 11.30 pagi akhirnya membuahkan hasil apabila beberapa lelaki dipercayai warga Myanmar dilihat menolak troli berisi bakul yang dipenuhi sayur-sayuran dari arah pasar borong dengan lagak mencurigakan. 
Wartawan turut menemui bakul-bakul berisi sayur yang tidak berapa segar dilonggokkan di kawasan parkir. 
Tidak lama selepas itu, kelihatan kelibat lelaki mencurigakan dalam tong tempat pembuangan sampah di pasar borong sedang membongkokkan badan mengeluarkan sesuatu. 
Apabila didekati, kelihatan lelaki itu mengeluarkan sebiji buah tembikai namun situasi itu tidak sempat dirakamkan. 
Tidak puas hati dengan keadaan itu, wartawan mengambil keputusan untuk masuk ke ruang tempat pembuangan sampah itu untuk melihat dengan lebih dekat. 
Mengejutkan apabila terdapat seorang wanita dipercayai warga Myanmar bersama anaknya sedang mengasingkan sayur jenis kacang panjang di satu sudut tempat pembuangan itu. 
Kehadiran wartawan untuk beberapa ketika itu ternyata mendatangkan rasa kurang senang apabila dia kemudian segera bangun dan bergegas meninggalkan tempat tersebut. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.