Rabu, 16 Oktober 2013

Bangkai Ikan Gergasi Ditemui

Lebih 15 orang diperlukan untuk mengheret bangkai makhluk gergasi laut ini ke pantai

Ikan gergasi ini mempunyai mata sebesar syiling lama lima puluh sen

Ilustrasi sekitar tahun 1850, menggambarkan tentang ikan gergasi oarfish

Pada tahun 1996, anggota Tentera Laut menemui oarfish sepanjang 23 kaki di Coronado, berhampiran San Diego, California


Jasmine Santana dari Catalina Island Marine Institute (CIMI) memerlukan lebih 15 pembantu untuk mengheret bangkai makhluk gergasi laut sepanjang 18 kaki yang mempunyai mata sebesar saiz wang syiling lama lima puluh sen ke pantai pada hari Ahad lalu. 
"Kami tidak pernah melihat ikan sebesar ini," kata Mark Waddington, kapten kanan Mour Tole, kapal latihan belayar CIMI. 
Santana pada mulanya terlihat sesuatu yang berkilauan di dalam air ketika menyelam semasa lawatan bersama rakan-rakannya ke Toyon Bay di Pulau Santa Catalina, kira-kira dua belas kilometer dari tanah besar. 
"Beliau sedang menyelam dan melihat ikan gergasi ini di dasar laut," kata Waddington kepada media KTLA. "Dia berenang ke bawah dan dapat memegang ekor dan berenang ke pantai." 
Waddington berkata Santana menyeret ikan berkenaan ke darat kerana "dia berkata, tiada siapa yang akan percayakan saya." 
Selepas dia menarik ekor ikan itu ke darat, barulah rakan-rakannya yang lain membantu beliau membawa ikan itu ke pantai. 
Ikan yang dikenali sebagai oarfish ini pada kebiasaannya menyelam di laut lebih daripada 3,000 kaki dalam, menjadikan ia haiwan yang jarang dilihat dan kurang diketahui. 
Ikan ini telah mati secara semula jadi. Sampel tisu dan rakaman video telah dihantar untuk dikaji oleh ahli biologi di Universiti California, Santa Barbara. 
Oarfish gergasi pertama kali ditemui pada tahun 1772 oleh ahli biologi Norway, Peter Ascanius. Nama saintifiknya ialah Regalecus glesne, tetapi dikenali juga dalam berbagai nama seperti raja herring, Pacific oarfish, ikan ular-ular dan ikan riben. 
Pada tahun 1996, sekumpulan anggota Tentera Laut menemui oarfish sepanjang 23 kaki di Coronado, berhampiran San Diego, California.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.