Rabu, 9 Oktober 2013

Dinding Pusat Beli Belah Di Jitra Runtuh

Dinding pusat membeli-belah di Kompleks Perindustrian Bandar Darul Aman di Jitra runtuh. Foto: mysumber

Kejadian berlaku pada pukul 8.40 pagi ketika belum dibuka. Tiada kecederaan dilaporkan. Foto: The Malaysian Times


JITRA - Dinding sebuah pusat membeli-belah di Kompleks Perindustrian Bandar Darul Aman di Jitra yang baru beroperasi Julai lepas, runtuh hari ini. 
Ketika kejadian pada pukul 8.40 pagi, pusat beli-belah Borong C-Mart itu belum dibuka. Tiada kecederaan dilapor. 
Abdul Rohim Talib, 33, yang juga pekerja penyelenggara pusat beli-belah itu berkata mereka masuk ke pusat beli-belah itu kira-kira pukul 8 pagi untuk membuka lampu dan pejabat. 
"Ketika menjalankan rutin harian kami itu, kami terdengar bunyi retakan sebelum nampak siling runtuh kira-kira lima meter dari tempat saya berada. 
"Saya dan rakan lari keluar menggunakan pintu berhampiran. Masa berada di luar saya lihat dinding dan bumbung runtuh. Syukur kami selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. 
Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) Zahari Ismail berkata bangunan itu tidak selamat untuk diduduki dan semua aktiviti perniagaan diarah tutup serta merta. 
Beliau berkata pemilik bangunan itu sebelum ini memperoleh kelulusan merancang untuk membina gudang dan menyalahguna kelulusan dengan mendirikan bangunan komersial untuk dijadikan pusat membeli-belah. 
Zahari berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik bangunan itu kerana melanggar syarat yang ditetapkan. 
"Gudang yang runtuh dan beberapa lot premis perniagaan dalam kawasan perindustrian ini kami arahkan tutup serta merta bagi membolehkan kami dan agensi berkaitan melakukan kajian taknikal," katanya. 
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jitra Mohamad Darus berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.55 pagi dan mengerahkan 10 anggota untuk ke tempat kejadian. 
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohd Yusuf pula berkata polis menggerakkan lebih 20 anggota untuk mengawal kawasan itu bagi mengelak berlaku kecurian. 
Kawasan itu juga ditutup kepada orang ramai untuk mengelak sebarang kejadian buruk, katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.