Jumaat, 11 Oktober 2013

Kaya Tetapi Mengelak Bayar Cukai

Jeane Napoles dikecam secara meluas ekoran gambarnya di media sosial yang menunjuk-nunjuk

Jeane Napoles memiliki kereta mewah Porsche

Gambar yang menimbulkan kemarahan ramai di Filipina

Ada yang membandingkan Jeane Napoles dengan Imelda Marcus, isteri mantan Presiden Filipina


MANILA - Seorang wanita muda Filipina mencetuskan kemarahan selepas dia memuat naik gambar di Internet memaparkan gaya hidup mewahnya, termasuk yang menunjukkan dia mandi bersama wang akan didakwa kerana mengelak daripada cukai. 
Jeane Napoles dikecam secara meluas ekoran gambarnya di media sosial yang menunjuk-nunjuk, memaparkan kereta dan kondominium mewah yang dimilikinya di AS. Ibunya kini disiasat ekoran satu daripada skandal rasuah terbesar di Filipina. 
“Kami membaca akhbar dan mengikuti perkembangannya di Internet. Di situlah kami dengar mengenai Jeane,” kata Ketua Biro Cukai Pendapatan Kim Henares. 
Siasatan kerajaan mendapati ibu Jeane, Janet yang juga seorang ahli perniagaan membantu ahli Parlimen Filipina menggelapkan wang 10 bilion peso (RM733 juta) milik dana kerajaan. 
Tiga senator pembangkang, di samping bekas presiden Gloria Arroyo yang kini dipenjarakan kerana tuduhan penipuan pilihan raya dan rasuah adalah antara mereka yang turut terbabit dalam siasatan dan berdepan tuduhan jenayah kerana menyalah guna dana kerajaan. 
Skandal rasuah itu menggesa beribu-ribu orang berarak di jalan raya dalam perhimpunan besar-besaran bagi menentang rasuah. 
Sebelum skandal itu, Jeane, 23, sering muncul di Tumblr, Instagram dan YouTube untuk memuat naik imej mengenai gaya kehidupannya yang mewah. 
Namun, selepas akhbar Filipina menyiarkan berita mengenai kaitan ibunya dengan skandal rasuah Jun lalu, gambarnya mencetuskan kemarahan di negara miskin itu apabila ramai percaya beberapa keluarga menjadi kaya secara tidak adil. 
Jeane tidak mengaktifkan akaun media sosialnya tetapi gambar dan videonya terus tersebar secara meluas. 
Henares berkata, aduan mengelak daripada cukai dikenakan ke atas Jeane tiada kaitan dengan tuduhan rasuah yang dihadapi ibunya. 
Biro itu memetik kondominium di Los Angeles yang menjadi tempat tinggal Jeane berharga 54.73 juta peso (RM4.05 juta) pada 2011 dan dia turut memiliki hartanah di Filipina yang dibelinya pada tahun lalu. 
Sebagai pelajar yang belajar bidang fesyen, Jeane tidak memfailkan pengisytiharan cukai pendapatan dan itu menjadi bukti dia mengelak daripada cukai, kata Henares. 
“Kami sentiasa berkata, tiada salahnya menjadi kaya selagi anda bayar cukai,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.