Jumaat, 18 Oktober 2013

Kenangan Bersama Penjual Kaset Agama

Kaset begitu popular pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an

Kaset yang dijual di pasar lambak biasanya kaset tiruan

Betapa sulitnya memilih kaset untuk dibeli pada ketika itu

I

Pada tahun 1980-an-1990-an, kaset digunakan sebagai alat rakaman secara meluas. Lagu-lagu dan muzik dirakamkan ke dalam kaset dan dijual di sana-sini. Ada yang dijual di kedai, ada juga yang dijual oleh penjaja di kaki lima atau di pasar lambak. 
Bagaimanapun, kaset-kaset yang dijual di kaki lima atau di pasar lambak ketika itu biasanya kaset tiruan. Lagi pun tidak menjadi kesalahan merakam dan menjual kaset tiruan pada ketika itu kerana undang-undang hak cipta belum berkuat-kuasa lagi. 
Selain rakaman lagu-lagu dan muzik, terdapat juga kaset yang mengandungi rakaman bacaan ayat Quran dijual ketika itu.

II 

Pada suatu pagi, di hari Ahad pada tahun 1980-an, saya telah pergi ke pasar lambak di suatu tempat. 
Apabila masuk ke kawasan pasar lambak tersebut, saya terdengar bacaan ayat-ayat Quran berkumandang di udara. 
Saya mencari arah bunyi tersebut. Akhirnya saya menemui lokasi dari mana datangnya bunyi itu. 
Bacaan ayat-ayat Quran itu datang dari radio kaset seorang lelaki berserban yang menjual kaset-kaset agama. 
Saya menghampiri penjual kaset berkenaan. Beranika kaset bacaan ayat-ayat Quran dipamerkan di atas meja untuk dijual. 
Saya membelek-belek kaset-kaset itu. Saya dapati kesemuanya kaset itu merupakan kaset tiruan. 
Saya mengambil satu kaset. Sambil memegang kaset tersebut saya bertanya harganya. Setelah lelaki berserban menyatakan harga kaset, saya bertanya lagi, apakah harganya boleh dikurangkan. 
Mendengar pertanyaan saya itu, muka lelaki berserban berubah dan dia terus merampas kaset itu dari tangan saya dengan pantas sambil merungut-rungut.

III

Memanglah kaset yang dijual oleh lelaki berserban itu mengandungi bacaan ayat-ayat Allah. Memanglah ayat-ayat Allah itu mulia. Saya tidak menafikannya.
Namun saya bukan menawar harga ayat-ayat Allah. Apa yang saya tawar ialah harga kaset berkenaan. Sebab, tawar-menawar adalah perkara biasa dalam urusan berjual beli.
Bagaimanapun, saya tidak berhajat untuk terus berjual-beli dengan lelaki berserban itu. 
Kalau perbuatan saya menawar harga kaset itu dianggap sebagai zalim oleh lelaki berserban itu, saya juga boleh menganggap lelaki itu sebagai zalim kerana tidak menjual kaset-kaset tulen! 
Sudah pasti wang hasil jualan kaset itu tidak akan sampai walau sesen pun kepada qari yang membaca ayat-ayat Quran itu dan pihak asal yang menjalankan kerja-kerja rakaman, suntingan, cetakan dalam lain-lain kerja pos produksi kerana kaset yang dijual oleh lelaki itu kaset tiruan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.