Ahad, 27 Oktober 2013

Lemak Tepu Tak Bahaya?

Hasil kajian terbaru di London menyangkal lemak tepu sebagai punca serangan jantung. Foto: The Guardian

Kajian dijalankan oleh Dr. Aseem Malhotra, Pakar kardiologi Hospital Universiti Croydon London, Britain. Foto: BBC

Mentega mengandungi lemak tepu yang didakwa baik untuk kesihatan jantung. Foto: Telegraph

Malhotra mendapati bahawa setiap 450 mililiter (ml) susu berperisa mengandungi kira-kira 15 sudu teh gula


MAKANAN belum diproses yang mengandungi kandungan lemak tepu sebelum ini dipercayai menjadi antara penyumbang kepada serangan sakit jantung. 
Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh pakar kardiologi Hospital Universiti Croydon di London, Britain, Dr. Aseem Malhotra hasil kajiannya yang diterbitkan dalam British Medical Journal baru-baru ini. 
Menurutnya, makanan tersebut sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka, malah ia dipercayai dapat membantu melindungi tubuh daripada risiko penyakit kardiovaskular. 
“Kajian kohort prospektif tidak menyokong hubungan pengambilan lemak tepu dengan risiko penyakit kardiovaskular, malah menerusi kajian itu, kita dapati lemak tersebut mampu melindungi jantung daripada penyakit itu,” katanya. 
Namun, tanggapan bahawa lemak tepu tidak baik untuk kesihatan jantung membuatkan ramai orang menolak pengambilannya dalam diet masing-masing. 
Masyarakat lebih gemar mengambil produk rendah lemak kerana beranggapan ia lebih baik untuk kesihatan selain dapat membantu mereka menurunkan berat badan. 
Mereka mungkin silap kerana kebanyakan produk rendah lemak di pasaran sebenarnya mengandungi kandungan gula atau garam yang tinggi. 
“Minggu lalu, saya menyaksikan seorang pesakit wanita dalam lingkungan umur 40-an mati akibat serangan sakit jantung. 
“Enam bulan sebelum meninggal dunia, dia mengalami kenaikan berat badan sehingga 20 kilogram (kg) dan pertambahan itu dipercayai selepas dia mengambil minuman rendah lemak sebanyak lima kali sehari,” kata Malhotra menerusi portal berita The Guardian. 
Daripada pengiraan yang dibuat, Malhotra mendapati bahawa setiap 450 mililiter (ml) susu berperisa mengandungi kira-kira 15 sudu teh gula. 
“Ini bermakna pesakit itu berkemungkinan telah mengambil 75 sudu teh gula setiap hari,” ujarnya. 
Jelasnya, pengurangan kadar pengambilan gula dalam diet adalah lebih baik bagi mencegah penyakit berkaitan jantung. 
Justeru, Malhotra mengesyorkan pesakit jantung agar mengamalkan pengambilan lemak tepu daripada makanan belum proses seperti keju, mentega, telur, yogurt dan daging. 
“Produk tenusu misalnya kaya dengan vitamin A, D, kalsium dan fosforus yang diyakini dapat merendahkan tekanan darah. 
“Makanan diproses seperti makanan segera didapati mengandungi kandungan asid lemak trans tinggi yang berbahaya untuk kesihatan jantung,” katanya. 
Sementara itu, menurut Ketua Pusat Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ramzisham Abdul Rahman, lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik (LDL) dan menurunkan paras kolesterol baik (HDL). 
Lemak ini kebiasaannya dijumpai dalam makanan segera seperti kentang goreng, piza, patti burger, hotdog dan makanan diproses lain. 
Katanya, di Malaysia, penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan adalah disebabkan penyakit jantung dengan kemasukan kini melebihi 7,300 kes setahun. 
“Lemak trans yang berlebihan akan terkumpul dikeliling jantung dan seterusnya mengganggu saluran darah. 
“Pembuluh darah yang tersumbat akan menyukarkan oksigen sampai ke jantung lalu mengakibatkan penyakit jantung koronari, darah tinggi dan strok,” ujarnya. Kosmo! Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.