Rabu, 30 Oktober 2013

Masalah Polis Trafik Obesiti Di Bangkok

Seorang anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas di sebatang jalan di Bangkok. Foto: AFP

Kerajaan sedang usaha mengurangkan bilangan anggota polis yang berperut buncit di Bangkok. Foto: AFP

Sarjan Mejar Nitas Saisaard telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram (kg). Foto: AFP

Saisaard telah berjaya mengurangkan lebar lilit pinggang sehingga 7.2 sentimeter (sm). Foto: AFP

Anggota polis trafik sedang mengikuti kelas menurunkan berat badan selama dua bulan melalui program Fit & Firm. Foto: AFP


SAMBIL mengikut rentak lagu-lagu pop Thailand, sekumpulan anggota polis trafik yang berbadan besar dan gemuk bersemangat menjalani latihan senaman. 
Ia merupakan sebahagian daripada skim yang diperuntukkan kerajaan dalam usaha mengurangkan bilangan anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di Bangkok. 
Diet yang tidak teratur dan terikat dengan kerja yang tidak aktif di jalan-jalan kecil di bandar tersebut, menyebabkan ramai polis trafik Thailand terdedah kepada masalah obesiti. 
Kesihatan dan imej awam yang ditampilkan melalui pegawai-pegawai berperut buncit telah menimbulkan kebimbangan. Justeru, mereka telah disaran mengikuti kelas menurunkan berat badan selama dua bulan melalui program Fit & Firm. Seramai 60 anggota polis trafik menyertai program tersebut. 
Selepas dua minggu menghadiri kursus itu, Sarjan Kanan, Mejar Nitas Saisaard berkata, walaupun tubuhnya masih besar, dia telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram (kg) dan mengurangkan lebar lilit pinggang sehingga 7.2 sentimeter (sm). 
"Apabila saya bekerja, ia pasti sukar. Sewaktu bertugas memantau perjalanan lalu lintas di tengah-tengah jalan raya, di antara laluan kenderaan, kadang-kadang saya hampir dilanggar atau terkena cermin sisi kereta," ujar Saisaard, 48, sambil mengelap peluh di dahi selepas kelas kecergasan tersebut. 
Namun, sesi dua kali seminggu termasuk yoga dan aerobik yang dilakukan, Saisaard turut berjalan seiring dengan diet baharu yang terdiri daripada buah-buahan dan sup. Keadaan itu membuatkan Saisaard terpaksa melupakan sajian kegemarannya, makanan goreng di jalanan dan semangkuk nasi putih. 
"Saya gemuk kerana makan pada lewat malam kerana sebagai polis trafik, kami mempunyai jadual yang tidak menentu," kata Saisaard yang pernah menyertai skim yang hampir sama seperti program Fit & Firm, namun tidak berjaya menurunkan berat badannya. 
Biro Polis Metropolitan Bangkok mahu anggota polis yang mempunyai garis pinggang melebihi 91sm, mempertimbangkan tawaran mengikuti program berkenaan. Untuk menarik perhatian mereka, setiap anggota yang berjaya menurunkan berat badan melebihi 10kg akan memenangi hadiah istimewa. 
"Pegawai kanan polis melihat bahawa ramai kakitangan terlalu gemuk. Jadi, mereka membuat keputusan bahawa anggota yang berkenaan perlu menurunkan berat badan. 
"Apabila polis terlalu gemuk, mereka tidak boleh bergerak pantas. Mengurangkan berat badan menjadikan mereka lebih kuat, sihat dan pantas," kata Leftenan Kolonel Suji Suksamai yang turut menyertai program tersebut. 
Sebelum ini, bagi mengatasi masalah obesiti, ketua-ketua polis cuba menggalakkan anggotanya menjalani latihan kecergasan termasuk mengikuti kursus menghilangkan lemak sejak awal tahun 2013. 
Menurut pakar kesihatan, Kawita Kruenjit yang mengetuai beberapa siri senaman dan sesi kesihatan di sebuah hospital swasta Bangkok, masalah anggota polis yang gemuk juga melibatkan isu keyakinan awam terhadap kecekapan badan keselamatan tersebut. 
"Apabila rakyat melihat anggota polis gemuk, mereka mempersoalkan kemampuan mereka untuk menangkap orang jahat," tambahnya. 
Dalam pada itu, polis mengatakan, tekanan yang dihadapi selama 15 jam mengawal lalu lintas di salah satu daripada bandar paling sesak di dunia, menjadi faktor anggotanya menjalani gaya hidup yang tidak sihat dalam aspek pemakanan. 
Bagaimanapun, kecenderungan anggota polis trafik menikmati makanan di gerai jalanan di sekitar Bangkok menyumbang kepada faktor utama masalah obesiti tersebut. 
Perkara ini disahkan oleh Doungrut Wattanakitkraileart dari Universiti Mahidol, yang menyelidik kesihatan pegawai-pegawai polis di Bangkok. 
Hasil tinjauan yang dilakukan pada tahun 2011, lebih separuh daripada 265 anggota polis trafik di wilayah berkenaan menghidap masalah kolesterol tinggi. 
"Makanan yang dijual berhampiran balai polis tidak sihat. Ia berminyak dan banyak menggunakan santan," tambahnya. 
Program Fit & Firm bukan sahaja mengurangkan berat badan tetapi turut menukar amalan dan sikap anggota polis terhadap gaya hidup sihat. 
"Kali pertama selepas 45 minit melakukan senaman aerobik tanpa henti, seluruh badan kepenatan tetapi kini, saya boleh melakukannya," jelas Sarjan Mejar Wichien Noppan yang mempunyai berat badan 90kg. - AFP/Kosmo! Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.