Jumaat, 11 Oktober 2013

Medan Selera Abai Kebersihan Diserbu

Premis makanan yang tidak mempunyai permit dan mengabaikan kebersihan ditutup. Foto: Sinar Harian

Keadaan stor simpanan barang yang berada dalam keadaan tidak terurus. Foto: Sinar Harian


GOMBAK - Walaupun telah beberapa kali dikenakan peringatan dan kompaun berkenaan penjagaan kebersihan dalam penyediaan makanan tetapi pemilik masih gagal mematuhi syarat yang ditetapkan. 
Dalam operasi semalam, medan selera terletak di Taman Ehsan, Kepong diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana berada dalam keadaan kotor, lantai dapur berlecak dan penemuan najis tikus di beberapa kawasan. 
Malahan peniaga tidak menguruskan sisa pembuangan dengan baik selepas tidak mempunyai perangkap minyak dan sisa dibuang terus ke longkang berhampiran. 
Premis tersebut diarah tutup berkuat kuasa semalam untuk kerja pembersihan sehingga mencapai tahap standard yang ditetapkan Jabatan Kesihatan MPS. 
Pengarah Jabatan Kesihatan MPS, Dr Razif Zainol Abidin berkata, kegagalan peniaga mematuhi syarat kebersihan ditetapkan dibimbangi memudaratkan orang awam selain terdedah kepada keracunan makanan. 
“Kita bukan hanya menemui najis tikus, sebaliknya terlihat tikus berkeliaran dalam medan selera yang mengandungi sembilan gerai itu. 
“Bahan mentah pula diletakkan di atas lantai salah sebuah dapur utama sementara longkang berhampiran tersumbat boleh menyumbang kepada risiko dan bahaya kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 
Katanya, tindakan arahan tutup adalah di bawah Undang-undang Kecil Establismen Makanan (MPS) 2007. 
“Sebagai mengelakkan premis melanggar arahan beberapa sitaan telah dilakukan termasuk 16 tong gas dan pemanas air. 
“Sekiranya pemilik premis berpuas hati dengan kebersihan yang dilakukan mereka boleh memaklumkan kepada pihak MPS untuk pemeriksaan sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya. 
Katanya, beliau berharap tindakan tersebut dapat memberi pengajaran kepada pemiliknya untuk mengutamakan aspek kebersihan dalam pengendalian makanan. 
Dr Razif berkata, dalam operasi sama, sebuah gerai MPS yang menjadi lokasi tumpuan orang awam menjamu selera makan tengah hari di Sri Gombak turut diperiksa sebelum dikeluarkan dua tindakan kompaun. 
“Tindakan adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 171 Seksyen 76 (2) Pest Control Lalat Lipas dan Tikus dan Undang-undang Kecil 18 Establismen Makanan (2007) letak bahan atas lantai. 
“Beberapa ikat tebu turut disita selepas pemilik premis bertindak meletaknya di lantai tanpa sebarang alas,” katanya. 
Sebuah premis makanan yang beroperasi tanpa permit turut diarah tutup selepas tindakan pekerjanya mengumpul barangan kitar semula dalam premis selain keadaan premis yang gelap dibimbangi membawa kepada pembiakan haiwan perosak. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.