Isnin, 21 Oktober 2013

Nasib Jadi Malang Selepas Cuci Nasib

Ah Cai (tengah) menunjukkan bungkusan di dalam beg diberikan tiga individu terlibat dengan diiringi Shu Qi. Foto: Sinar Harian

Ah Soon menunjukkan rakaman kamera litar tertutup diperoleh daripada sebuah restoran ketika kejadian berlaku. Foto: Sinar Harian


KULAIJAYA - Seorang ibu tunggal berputih mata selepas wang simpanan hasil titik peluhnya bekerja selama 20 tahun sebagai tukang jahit dan pembuat pau sebanyak RM26,000 dan barang kemas lesap selepas menjalani upacara ‘mencuci nasib’. 
Menceritakan insiden menimpanya Khamis lalu, mangsa, Tay Ah Chai, 58, didatangi dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an menegurnya di hadapan sebuah restoran ketika dia sedang berjalan kaki menuju pasar kira-kira jam 7.30 pagi. 
Menurutnya, mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dan wanita itu bertindak memaut bahunya memaklumkan dia bakal ditimpa nasib malang. 
“Pada mulanya, saya enggan mempedulikan kata-kata mereka. Bagaimanapun, mereka bertindak memujuk saya untuk mendengar apa yang ingin dikatakan memandangkan ia perkara penting membabitkan nasib anak tunggal saya. 
“Mendengar penjelasan itu membuatkan saya terkejut dan bersetuju untuk menuruti arahan mereka,” katanya. 
Dia berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian berhampiran Jalan Siantan 1 Indahpura, semalam, ditemani anak tunggalnya, Koh Ah Soon, 33, dan turut menemui mangsa, Adun Senai, Wong Shu Qi. 
Ah Chai juga mengakui, dia dimaklumkan tiga individu tersebut bahawa dia telah terkena gangguan makhluk halus dan jika tidak diubati dalam masa tiga hari anaknya bakal ditimpa kemalangan sehingga meragut nyawa. 
“Mereka mengarahkan saya mengambil wang dan barang kemas di rumah dan berjumpa kembali di tempat sama disebabkan wang yang saya ada ketika itu sebanyak RM500 tidak mencukupi. 
Saya hanya menuruti arahan mereka seolah-olah dipukau. 
“Disebabkan saya tidak mempunyai wang tunai di rumah, saya menyerahkan buku simpanan kepada mereka. Mereka kemudian, menghantar saya menaiki kereta untuk mengeluarkan semua wang simpanan di sebuah bank di pekan Kulai,” katanya. 
Menurut Ah Cai, dia dan ketiga-tiga individu terbabit menjalankan upacara mencuci nasib berhampiran taman permainan kira-kira satu kilometer daripada kediamannya. 
Tambahnya, dua lelaki dan wanita berkenaan turut mengarahkannya menyerahkan semua wang tunai dan barang kemas sebelum dimasukkan ke dalam sebuah beg bewarna hitam. 
“Ketika menjalani upacara menghalau makhluk halus itu, mereka mencuci tangan saya dan menyerahkan semula beg hitam tersebut. 
Mereka berpesan, supaya berdoa terlebih dahulu sebelum membuka bungkusan di dalam beg itu apabila sampai dirumah. 
“Sebelum meninggalkan saya, mereka menyuruh saya berjalan menuju ke sebuah kedai, dan ketika berjalan itulah tiba-tiba saya tersedar telah ditipu dua lelaki dan wanita berkenaan,” katanya. 
Ah Chai terus membuka bungkusan di dalam beg hitam berkenaan dan dia terkejut apabila wang tunai yang dikeluarkan sebanyak RM26,000 dan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 telah bertukar menjadi sebungkus garam dan dua botol berisi air. 
Mangsa kemudian menghubungi anak tunggalnya yang ketika itu keluar bekerja sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya pada hari sama. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan, Zulkefly Yahya mengesahkan laporan dibuat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.