Selasa, 8 Oktober 2013

Restoran Cekik Darah?

Anggota penguat kuasa PDNKK turut memantau kawasan penjualan lauk di restoran terbabit. Foto: Sinar Harian



KOTA BHARU - Gara-gara mengenakan bayaran RM6,000 kepada kumpulan VVIP untuk sarapan pagi kelmarin, sebuah restoran di Pengkalan Chepa, di sini, diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK). 
Rombongan 50 orang itu, termasuk mereka yang datang dari luar Kelantan untuk menghadiri satu majlis rasmi di bandar ini. 
Timbalan Pengarah PDNKK negeri, Ab Ghani Harun berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya menyerbu restoran yang terletak di Taman Uda Murni, pagi semalam. 
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita dapati peniaga kedai terbabit menutup papan tanda harga yang sedia ada dengan pita pelekat. 
“Kita mengesyaki peniaga berkenaan mempunyai niat untuk menipu dan mengenakan caj harga sesuka hati ke atas pelanggan. 
"Atas kesalahan itu, kita kenakan kompaun ke atas pihak terbabit,” katanya kepada pemberita, selepas serbuan ke atas restoran terbabit. 
Dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas lauk pauk dan makanan bernilai hampir RM6000. 
Ab Ghani berkata, jika sabit kesalahan pengusaha itu boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah 3 (1) Akta Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 dengan penalti RM250,000 dan kompaun maksimum RM175,000. 
“Ini bagi memberi pengajaran terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Diharap peniaga-peniaga lain turut berwaspada. Jika dikesan melakukan penipuan mereka juga akan dikenakan kompaun. 
“Saya menasihatkan semua peniaga di negeri ini supaya meletakkan tanda harga yang jelas untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pelanggan, terutama mereka yang datang dari luar Kelantan,” katanya. 
Sementara itu, bayaran makanan yang dicaj hingga mencecah RM6,000 oleh restoran itu menyebabkan ramai dalam kumpulan VVIP itu meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan sikap peniaga berkenaan. 
Seorang pelanggan yang enggan dikenali berkata, anggota-anggota rombongan VVIP terbabit berhenti makan pagi di restoran itu sebelum menghadiri satu majlis rasmi di bandar ini. 
“Kami mula memesan makanan mengikut kehendak masing-masing dan makanan itu disediakan dalam beberapa hidangan di setiap meja makan. 
“Antara yang dihidangkan ialah ayam goreng kampung dan gulai itik serati, di samping sayuran-sayuran dan beberapa lauk-pauk lagi,” katanya. 
Menurutnya, selepas semua selesai makan dan salah seorang daripada mereka bangun untuk membuat pembayaran, peniaga terbabit mengatakan jumlah keseluruhan sarapan itu adalah RM6,000. 
“Kami semua yang ada di situ terkejut. Ada yang menggeleng seperti tidak percaya dengan apa yang kami dengar daripada peniaga itu. Langsung tidak masuk akal. 
“Walaupun terkedu, bayaran tetap dibuat selepas ada sedikit tawar menawar dengan peniaga itu. 
"Kami tidak setuju dengan harga cekik darah itu, tetapi disebabkan kami terpaksa bergegas untuk menghadiri majlis rasmi tersebut, seorang daripada anggota kumpulan itu membayarnya," katanya. - Sinar Harian

Sumber dari blog DuniaCacaMarba:



Sumber FB Adli Muhammad AlHasan


P/s: Kalau berdasarkan laporan akhbar, rata-rata membidas restoran ini termasuklah TM yang terkejut dengan caj yang dikenakan bagi 50 orang. Namun berdasarkan penjelasan di atas, banyak perkara yang tidak dilaporkan oleh media.

Jika begitu kesnya, mengapa PDNKK tetap mengenakan saman terhadap kedai ini? Jumlah amat besar, iaitu RM175 ribu.

Sumber

Berita 10.10.2013:

Fauziah (kiri) menunjukkan laporan polis dan bil sebenar dicaj terhadap ahli rombongan VVIP itu. Foto: Sinar Harian

KOTA BHARU - Peniaga restoran yang didakwa mengenakan caj bayaran mahal berjumlah RM6,000 kepada ahli rombongan VVIP ketika singgah bersarapan di kedai itu Sabtu lalu, menafikan laporan media kelmarin. 
Sebaliknya, pemilik restoran Selera Daun Pisang, Fauziah Awang Noh, berkata jumlah rombongan berkenaan yang dilaporkan media, dalam kuantiti 50 orang sebenarnya melebihi 100 dan pihak VVIP itu telah membuat pesanan sebelum singgah di kedai makan berkenaan kira-kira jam 8 pagi. 
“Saya amat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan pihak berkenaan dalam laporan media cetak dan elektronik, dengan menuduh saya meletakkan harga yang mahal terhadap 100 rombongan VVIP dengan caj RM60 untuk seorang adalah tidak benar. 
“Harga sebenar ditetapkan RM17 untuk seorang, dengan hidangan nasi putih selain lauk pauk seperti gulai ayam, ayam kampung goreng, gulai itik serati, ikan kering goreng, sayur campur termasuk pelbagai jenis air untuk rombongan itu dan dipersetujui oleh wakil rombongan,” katanya kepada pemberita. 
Fauziah berkata demikian dalam sidang media khas di restorannya, di sini, semalam. 
“Melalui pemerhatian saya pada hari kejadian, jumlah rombongan bertambah memandangkan mereka datang dalam kumpulan yang berasingan dan mungkin dalam kapisiti 200 hingga 400 orang kerana ada yang turut membungkus makanan dan minuman untuk dibawa pulang. 
“Semasa tiga wakil rombongan itu datang ke kedai untuk menjelaskan bil makanan dan minuman kira-kira jam 9.30 pagi, mereka terkejut kerana caj bil kesemuanya berjumlah RM6,000. 
“Dalam perbincangan melalui telefon, mereka mempersetujui sebarang caj bayaran yang dikenakan mengikut kuantiti rombongan berkenaan namun setelah melakukan perbincangan saya caj mereka dengan RM5,500,” katanya. 
Fauziah berkata, akhirnya mereka bersetuju, namun tidak mengambil bil baru yang dicaj dengan RM 5,500 sebaliknya mengambil bil yang dicaj RM6,000. 
“Mungkin caj bil ini nampak mahal, tapi ia berdasarkan kuantiti makanan, minuman dan kapasiti pelanggan yang lebih 200 hingga 400 orang. 
“Apa yang saya harapkan dengan penjelasan yang saya lakukan ini dapat membersihkan nama saya dan perniagaan kedai makan ini dan tidak menjadi buah mulut orang selepas ini,” katanya. 
Fauziah turut menegaskan, tidak ada langsung niat dari pihaknya untuk mengambil kesempatan terhadap rombongan VVIP terbabit memandangkan sebelum ini terdapat juga rombongan seumpama itu pernah singgah di restorannya. 
Dalam pada itu, Fauziah turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di samping mendapatkan nasihat guaman dan tindakan terbabit dilakukan bagi membersihkan semula nama restoran berkenaan yang menurutnya difitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.