Khamis, 28 November 2013

Bunuh Diri Kerana Tekanan Perasaan

Seorang lelaki ditemui mati dekat bangunan Suntech Sunshine Square Bayan Baru. Foto: tengoktvonline

Lelaki ini terjun dari tingkat lapan bangunan Suntech. Foto: tengoktvonline

Mayat lelaki terbabit dibawa ke HPP untuk bedah siasat. Foto: myMetro


GEORGETOWN - Tekanan berikutan bebanan kerja dikatakan menjadi punca seorang jurutera muda di sebuah kilang terjun dari tingkat lapan bangunan Suntech, Pasaraya Sunshine Square, Bayan Baru, dekat sini, semalam. 
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, Lau Chuen Wei, 24, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki. 
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berseorangan memandu ke kawasan terbabit dan ketika itu dia berpakaian serba hitam dilihat seorang penjaga parkir berada dalam keadaan runsing di tingkat lapan bangunan itu. 
Beberapa minit selepas itu, mangsa dipercayai terjun sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum menghubungi polis. 
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal di Jalan Raja Uda, Butterworth dan berulang-alik ke tempat kerjanya setiap hari di Bayan Lepas. 
“Kita belum mengetahui motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 
“Setakat ini, kita sudah menghubungi ahli keluarga mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya. 
Menurutnya, hasil siasatan mendapati abang ipar Lau memberitahu mangsa mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini, tetapi tidak mengetahui puncanya. 
“Siasatan kita mendapati mangsa menaiki kereta Perodua Myvi dan masuk ke premis berkenaan kira-kira 15 minit sebelum itu dan dia ditemui mati terjatuh. 
“Selain itu, kita tidak menemui sebarang nota yang ditinggalkan mangsa. 
“Kita akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan individu terdekat yang mungkin mengetahui masalah dihadapi mangsa,” katanya. 
Beliau berkata, mangsa sebelum ini menuntut di sebuah kolej swasta dan sejurus tamat pengajian, dia bekerja sebagai jurutera dan mempunyai teman wanita yang bekerja sebagai pegawai bank. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.