Sabtu, 23 November 2013

Dikurung Selama 30 Tahun Di London

Wanita Malaysia berusia 69 tahun yang dijadikan hamba dan dikurung kira-kira 30 tahun di sebuah rumah di selatan London

Wanita itu bersama tiga wanita dikurung di rumah biasa di Lambeth

Rumah tempat mangsa dikurung selama 30 tahun di kawal oleh polis

Detektif Kevin Hyland mendedahkan ketiga-tiga wanita terbabit diselamatkan selepas sekurang-kurangnya 30 tahun menjadi hamba

Pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem


LONDON - Wanita Malaysia berusia 69 tahun yang dijadikan hamba dan dikurung kira-kira 30 tahun di sebuah rumah di selatan London dikatakan mengalami strok tetapi dua suspek yang menahannya tidak membenarkan dia mendapat bantuan perubatan. 
Beliau yang ditahan bersama dua lagi wanita masing-masing dari Ireland berusia 57 tahun dan rakyat negara itu berusia 30 tahun, hanya dibenarkan keluar seketika untuk menjemur pakaian atau menemani suspek membeli barang. 
"Tiga wanita yang dijadikan hamba di Lambeth itu tidak dibenarkan ‘menjenguk’ dunia luar dan menjalani hidup di dalam keadaan amat menyedihkan,” kata badan kebajikan yang membantu membebaskan mereka semalam. 
Tempoh perhambaan mereka selama tiga dekad berakhir bulan lalu apabila seorang daripada mangsa membuat ‘panggilan memohon bantuan’ selepas seorang daripada rakannya tidak dibenar mendapatkan rawatan perubatan selepas diserang strok. 
Jurucakap rasmi David Cameron berkata, Perdana Menteri menyifatkan kes itu sebagai amat menyedihkan. 
Detektif Kevin Hyland, dari unit pemerdagangan manusia polis Metro, mendedahkan ketiga-tiga wanita terbabit diselamatkan selepas sekurang-kurangnya 30 tahun menjadi hamba dengan mangsa paling muda dikatakan tidak pernah melihat dunia luar. 
“Mereka dibebaskan Oktober lalu apabila seorang daripada mereka menghubungi Freedom Charity selepas menyaksikan satu dokumentari mengenai perkahwinan paksa di televisyen,” katanya yang dipetik akhbar Daily Mail. 
Wanita terbabit tidak memberikan nama dan alamat beliau tetapi polis kemudian menghubungi mereka apabila berjaya mengesan nombor telefon dan menemui mereka di sebuah rumah biasa di selatan London. 
Sementara itu, pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem berkata: “Sebaik mendapat mesej, ketiga-tiga mereka berjaya diselamatkan, seluruh pusat kebajikan itu bersorak dan sebahagian mereka menitiskan air mata. Kami amat gembira dan terharu apabila mengetahui kita sudah menyelamatkan ketiga-tiga wanita itu.” 
“Mereka berada dalam keadaan trauma tetapi amat lega apabila sudah bebas. 
“Apabila saya bertemu mereka, ia menjadi satu pengalaman paling hebat buat saya. Mereka memeluk saya sambil menangis. Mereka berterima kasih kepada badan kebajikan ini kerana menyelamatkan nyawa mereka,” katanya. 
Kedua-dua suspek, berusia 67, bukan warga Britain ditahan polis di selatan London malam kelmarin tetapi dibebaskan dengan jaminan. - AGENSI/Berita Harian

Siti Aishah Abdul Wahab. Foto: The Telegraph

Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab yakin wanita itu adiknya, Siti Aishah Abdul Wahab

SHAH ALAM - Sebuah keluarga di Negeri Sembilan mengesahkan wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana. 
Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab dari Jelebu berkata, beliau yakin adiknya yang berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu. 
Kehilangan Aishah katanya menyebabkan keluarganya berasa cukup sedih. Malah ujar Kamar, ibunya telah meninggalkan wasiat supaya Aishah dijejaki. 
"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya. 
"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya dipetik The Daily Telegraph. 
Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwel untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London. 
Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist. 
Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London. - Sinar Harian 26.11.2013

Tempat ini pernah menjadi Pusat Peringatan Mao Zedung yang dikaitkan dengan pergerakan Maoist. Foto: Mail Online

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London ialah individu yang dikehendaki pada tahun 70-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. 
Mengesahkan identiti wanita itu, yang diselamatkan pada 25 Oktober lepas di London sebagai Siti Aishah Abdul Wahab, Khalid berkata wanita itu terlibat dalam aktiviti pelampau komunis berhaluan kiri. 
"Siti Aishah ketika itu ialah aktivis mahasiswa berhaluan kiri dan dipercayai ke London untuk melanjutkan pelajaran. Dia seorang daripada penuntut pelampau berhaluan kiri masa zaman 70-an dahulu dan kegiatan mereka berpusat di London. 
"Pada masa tu London bebas, bebas bersuara, bebas segala-galanya, so dia berpusat di sana. Jadi masa 70-an kita memang nak dia tapi dia dah pergi ke sana," katanya pada sidang media di sini hari ini selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 156 anggota polis yang terlibat dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah, Februari lepas. 
Khalid berkata setakat ini tiada keperluan untuk menangkap Siti Aishah sekiranya dia pulang ke negara ini. 
Bagaimanapun, katanya, polis akan sentiasa memantau sekiranya terdapat sebarang kegiatan komunis selepas ini. 
Sabtu lalu, akhbar melaporkan wanita 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan 25 Oktober lepas di London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain. 
Siti Aishah berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dikatakan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) di United Kingdom. 
Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya. 
Berikutan pendedahan itu, kakak Siti Aishah, Kamar Mahtum diterbangkan ke London malam tadi bagi membuat pengecaman dengan membawa barang milik adiknya. 
Ketika dalam kurungan, Siti Aishah dan dua wanita itu dilaporkan hanya dibenarkan keluar seketika untuk menjemur pakaian atau menemani suspek membeli barang. - Bernama 27.11.2013

Gambar Siti Aishah yang disiarkan TV Britain

Foto Aishah dalam simpanan keluarga (kiri) dan gambar rakaman ITV News pada 1997. Sumber: myMetro


JELEBU - “Kami sangat bersyukur apabila dimaklumkan wanita itu adalah ibu saudara saya yang hilang 30 tahun lalu. Malah berita baik ini disahkan ibu saudara di London,” kata Siti Zawiyah Othman, 55, anak saudara wanita Malaysia yang menjadi hamba selama 30 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab, 69, yang hilang selepas melanjutkan pelajaran di United Kingdom (UK) pada 1968. 
Siti Zawiyah berkata, keluarganya dimaklumkan kakak Siti Aishah iaitu Kamar Mahtum, 73, yang kini berada di London untuk proses pengecaman. 
“Keluarga menerima panggilan daripada Kamar pagi tadi (semalam) memaklumkan wanita itu adalah saudara kami yang hilang. 
“Selepas menerima berita itu, saya kemudian memaklumkan kepada ibu, Hasnah, 88, kakak sulung kepada dua beradik berkenaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Binjai, Kuala Klawang di sini semalam. 
Katanya, mereka bersyukur apabila dimaklumkan wanita itu ibu saudara yang sememangnya dicari dan dirindui. - myMetro 28.11.2013

Hasnah Abdul Wahab, 88, rindu hendak berjumpa semula dengan adiknya. Foto: Kosmo!

Foto Siti Aishah ketika remaja

Foto Aravindan Balakrishnan, kiri, dan isterinya Chanda, berkerusi roda pada tahun 1997



JELEBU - Rindu Hasnah Abdul Wahab, (gambar) 88, untuk berjumpa semula adiknya, Siti Aishah yang terpisah sejak 30 tahun hampir menjadi kenyataan apabila wanita itu ditemui semula di London pada 25 Oktober lalu. 
"Saya tahu ini adik (Aishah) saya, saya kenal dan masih ingat sangat dengan Aishah. Aishah sangat bijak dan bersekolah di Kolej Tunku Kurshiah di Seremban dahulu," kata warga emas itu sambil memegang sekeping gambar lama Aishah yang merupakan adik kesebelas daripada 12 adik-beradik. 
Hasnah yang ditemui di Kampung Binjai, Kuala Klawang, kini menaruh harapan untuk berjumpa semula Aishah, 69, sebelum dia meninggal dunia. 
"Saya berharap dapat bersatu semula dengan Aishah dan adik-beradik lain sebelum pejam mata," kata Hasnah. 
Kosmo! semalam melaporkan misteri seorang wanita yang menjadi hamba selama 30 tahun di London terungkai apabila seorang pesara guru dari Jelebu mengesahkan wanita itu merupakan adiknya yang hilang selama 30 tahun. - Kosmo! Online 28.11.2013


Kamar Mahtum semasa tiba di London diiringi bekas aktivis pelajar, Hishamuddin Rais

Potret Aishah dalam simpanan keluarga

Rumah tempat Aishah dikurung selama 30 tahun

Kisah pertemuan Aishah dengan Kamar Mahtum mendapat liputan Daily Mail, UK


Cerita daripada Blog Tukartiub Hishamuddin Rais 


LONDON - Perjalanan ribuan kilometer pesara guru, Kamar Mahtum Abdul Wahab dari Kuala Lumpur ke sini tidak sia-sia apabila dia dipertemukan dengan adiknya yang menjadi mangsa perhambaan, Siti Aishah, di satu lokasi rahsia di luar bandar raya ini, semalam. 
Pertemuan penuh emosi antara dua beradik yang terpisah sejak 40 tahun itu dilakukan dengan bantuan polis Britain selepas Kamar Mahtum, 73, tiba di London dua hari lalu. 
Kelmarin, Kamar Mahtum bertemu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Seri Zakaria Sulong bagi meminta bantuannya mengatur pertemuan dengan Siti Aishah. 
Wanita berusia 69 tahun itu diselamatkan polis bersama dua wanita lain selepas dikurung sebagai hamba di sebuah rumah di Selatan London selama 30 tahun. 
Zakaria berkata, pertemuan itu berlangsung selama 30 minit bermula jam 7.50 malam kelmarin di lokasi yang diatur polis Britain dengan Kamar Mahtum ditemani dua pegawai dari pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM). 
“Ketika bertemu Kamar Mahtum di STM semalam (kelmarin), beliau meminta kita membantunya bertemu Siti Aishah dan hasilnya, dia berjaya ditemukan dengan mangsa di lokasi rahsia malam tadi (semalam). 
“Kamar Mahtum dibawa ke lokasi rahsia itu menaiki kereta polis tanpa kehadiran media, malah saya sendiri tidak berada di situ,” katanya. 
Difahamkan, dua pegawai STM serta polis Britain berada di luar bilik ketika Kamar Mahtum dan Siti Aishah dipertemukan bagi memberi mereka ruang lebih selesa untuk berbicara. 
Dalam pertemuan itu Kamar Mahtum dikatakan memberi kepada adiknya sepasang telekung, sejadah dan sehelai kain batik. 
Zakaria berkata, selepas terpisah lama, pelbagai perkara ingin diceritakan Kamar Mahtum kepada adiknya itu termasuk pesanan yang ditinggalkan arwah ibu mereka. 
“Selepas terpisah lama, tentu banyak yang mahu diluahkan pasangan adik beradik itu. 
Perasaan gembira, rindu, rasa sayang dan segala kenangan bersama ibu mereka pasti dikongsi bersama. 
“Saya difahamkan Kamar Mahtum turut meminta Siti Aishah menjaga dirinya serta menulis surat untuk ahli keluarga mereka di kampung,” katanya. - myMetro 30.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.