Sabtu, 9 November 2013

Keluar Dari Kubur

Lelaki ini dikatakan hidup semula selepas ditanam di tanah perkuburan

SAO PAOLO 8 Nov. - Seorang wanita Brazil yang menziarahi kubur keluarganya di sini pada minggu lalu, mengalami detik-detik menakutkan selepas ternampak mayat seorang lelaki 'hidup semula' dan cuba keluar daripada kuburnya. 
Dalam kejadian yang berlaku di tanah perkuburan di Ferraz de Vasconcelos, Sao Paulo, wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia pada mulanya terdengar suara halus daripada sebuah kubur di situ. 
Jelasnya, dia terperanjat apabila melihat tanah di kubur terbabit bergerak dan susuk tubuh lelaki keluar dari tanah sambil menggerakkan kedua-dua belah tangannya. 
"Saya berasa seram apabila melihat lelaki itu yang disangka telah mati, cuba keluar daripada kubur," katanya. 
Wanita itu pada mulanya melarikan diri, tetapi datang semula ke lokasi kejadian dan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan. 
"Pada mulanya saya menghubungi polis, namun mereka tidak percaya kerana berfikir saya sekadar berlawak dan cuba membuang masa mereka. 
"Saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak perkuburan bagi meyakinkan pihak polis bahawa laporan saya itu benar," jelasnya. 
Satu rakaman video yang disiarkan dalam laman perkongsian video, YouTube menunjukkan lelaki terbabit memakai pakaian kelabu dan separuh daripada badannya tertanam. 
Mangsa kelihatan sukar bernafas, namun dapat diselamatkan oleh petugas keselamatan yang dikerah ke lokasi kejadian. 
Siasatan polis mendapati, lelaki yang merupakan bekas pekerja majlis perbandaran itu, terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dia cedera teruk, namun disangka telah mati oleh penyerangnya. 
Penyerangnya kemudian menanam lelaki itu di tanah perkuburan terbabit untuk menyembunyikan kes 'pembunuhan' tersebut. 
Lelaki yang tidak dikenali itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan dan dilaporkan stabil serta akan menjalani ujian psikologi. - AGENSI/Utusan Online


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.