Khamis, 14 November 2013

Mangsa Taufan Maut Berebut Beras

Mangsa taufan mengambil kampit beras di sebuah gudang di Tacloban. Foto: AP

Tentera Laut Filipina sedang memunggah botol air minuman untuk diagihkan. Foto: Getty Images

Bantuan dari Amerika Syarikat untuk mangsa taufan tiba: Foto: EPA

Tentera Israel berlepas ke Filipina untuk membantu. Foto: Reuters

Bantuan dari Britain. Foto: EPA

Bantuan dari Indonesia. Foto: EPA

Bantuan dari Jerman. Foto: Getty Images

Bantuan dari Malaysia. Foto: Reuters

Beg plastik mengandungi mayat mangsa yang belum dikebumikan. Foto: Getty Images

Penyelamat Filipina mengutip mayat bergelimpang di Tacloban. Foto: EPA


MANILA - Lapan maut semalam, apabila beratus-ratus mangsa taufan Haiyan menyerbu sebuah gudang beras berhampiran bandar Tacloban, ketika ramai mencari bekalan keperluan untuk meneruskan kehidupan. 

“Satu dinding gudang runtuh menyebabkan lapan orang dihempap dan terbunuh serta merta,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Makanan Kebangsaan, Rex Estoperez. 

Polis, askar dan pasukan keselamatan persendirian mengawal bilik stor di bandar Alangalang, 17 kilometer dari Tacloban. 

Bagaimanapun, mereka tidak dapat menyekat orang ramai membawa keluar lebih 100,000 kampit beras, kata Estoperez. 

“Terlalu ramai orang yang membawa keluar beras. 

“Kakitangan kami ada di sana tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana enggan mengambil risiko keselamatan,” katanya sambil menambah setiap kampit seberat 50 kilogram. 

Jurucakap terbabit berkata, sebanyak 129,000 kampit beras dibawa keluar dengan 33,000 daripadanya beras yang sudah diproses manakala 96,000 belum diproses. 

Estoperez berkata, agensinya percaya mereka yang mencuri beras terbabit mahu mendapatkan keuntungan dengan menjualnya semula. 

“Ada penduduk benar-benar lapar tetapi yang lain hanya sekadar mahu mengambil untung,” katanya sambil menambah pihak berkuasa makanan bekerjasama dengan jabatan pengangkutan dan tentera untuk memastikan kapal dan trak membawa padi dikawal rapi. 

Laporan lain menyatakan, ada mangsa taufan di Tacloban mengambil air dari paip air dalam tanah selepas menggali. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bimbang 10,000 penduduk maut di Tacloban kerana dilanda Haiyan, taufan paling kuat tahun ini membadai Filipina, Jumaat lalu. - AFP/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.