Selasa, 19 November 2013

Pembunuh Pegawai AmBank Didakwa

Pengawal keselamatan Laode Ardina Rasila, 35, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini

Anggota polis mengiringi Laode ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret. Foto: Berita Harian


PETALING JAYA - Bekas pengawal keselamatan, Laode Ardina Laude Rasila, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan membunuh pegawai AmBank, Norazita Abu Talib, di Subang Jaya, 23 Oktober lalu. 
Tertuduh yang berasal dari Sulawesi didakwa membunuh mangsa di dalam bangunan AmBank cawangan USJ Subang Jaya pada jam di antara 6 dan 6.30 petang. 
Laode Ardina didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. 
Tertuduh juga menghadapi tuduhan kedua iaitu melepaskan tembakan menggunakan senjata 'pump gun' dengan niat menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. 
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret KB Elena Hong Tze Lan dalam prosiding sebentar tadi. 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun dan Muhamad Asyraf Md Kamal manakala tertuduh yang memakai t-shirt hitam, tidak diwakili peguam. 
Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam serta merta. - Berita Harian

Rakan suspek utama kes bunuh pegawai AmBank, Lapolo Lariala, 28, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen


PETALING JAYA: Rakan suspek utama kes bunuh pegawai AmBank, Lapolo Lariala, 28, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyimpan harta rompakan bernilai RM21,800 milik AmBank Berhad. 
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Cosway Malaysia Sdn Bhd , Wisma Kok Lot 766, Jln Subang 4, Off Persiaran Subang, Subang Jaya pada jam 4.30 petang, 24 Oktober lalu. 
Dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 
Dalam kejadian pada 23 Oktober, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh bekas pengawal keselamatan yang juga suspek utama, La Ode Ardi Rasila, ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal AmBank cawangan USJ Subang Jaya, sebelum tertuduh melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000. - Berita Harian

Isteri suspek utama kes bunuh pegawai Ambank dipenjara enam bulan. Foto: Berita Harian

PETALING JAYA - Isteri suspek utama kes bunuh pegawai Ambank, Helpia, 35, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh. 
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.