Isnin, 11 November 2013

Perompak Dan Pembunuh Pegawai Bank Tertangkap

Ardi dibawa anggota polis Unit Tindakan Khas ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam untuk direman. Foto: Kosmo!

Jeti Kampung Belungkor dipercayai laluan untuk suspek meloloskan diri. Foto: myMetro


KOTA TINGGI - Suspek kes bunuh pegawai AmBank yang ditahan polis di Kampung Tanjung Belungkor, di sini, pagi semalam, dipercayai gagal mendapatkan khidmat tekong darat serta laut bagi membawanya pulang ke Indonesia. 
Lelaki berusia 37 tahun yang menggunakan nama Ardi Hamza di dalam MyKad palsunya dipercayai datang ke Kampung Tanjung Belungkor di sini, dalam usaha melarikan diri ke negara asalnya. 
Ketua Penyelaras Ops Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, kemungkinan itu diambil kira berdasarkan kes yang dikendalikan pihaknya sebelum ini. 
“Kebiasaannya warga asing yang pulang melalui lorong tikus tidak akan melanggar arahan tekong bagi mengelak pergerakan mereka dihidu pihak berkuasa. 
“Tetapi, dalam kes ini, suspek dipercayai gagal mendapatkan khidmat tekong dan kerana itu dia mungkin sanggup menggunakan apa juga cara, termasuk mencuri bot nelayan untuk melarikan diri,” katanya. 
“Kebiasaannya, warga asing akan mengikut apa juga arahan diberi tekong dan sentiasa berada di dalam rumah transit disediakan walaupun tidak selesa,” katanya, semalam. 
Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan Ardi oleh pasukan khas Ops Cantas Bukit Aman di kampung berkenaan pada jam 7 pagi semalam. 
Ardi menjadi buruan polis selepas membunuh pegawai AmBank Subang Jaya, Selangor, Norazita Abu Talib, 37, pada 23 Oktober lalu sebelum melarikan wang tunai RM450,000. 
Norazita yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala akibat ditembak dengan ‘pump gun’ suspek. 
Masri berkata, dia juga tidak menolak kemungkinan suspek menjadikan rumah atau premis tertentu di sekitar kawasan berkenaan sebagai rumah transit, sementara menunggu waktu sesuai untuk menyeludup keluar. 
“Suspek juga gagal meloloskan diri berikutan kawalan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya. 
Sementara itu, penangkapan suspek yang diburu sejak 20 hari lalu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah menerusi satu kenyataan media semalam. 
“Polis percaya dengan penahanan suspek ini, kes berkenaan berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan itu. 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter rasminya turut mengucapkan tahniah kepada pasukan khas Ops Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya menahan suspek terbabit. 
“Syabas, pasukan Ops Cantas Bukit Aman berjaya tangkap pembunuh/perompak kejam AmBank di Johor pagi ini. Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu PDRM,” katanya. 
Harian Metro difahamkan, suspek utama dipercayai menggunakan pengangkutan awam untuk ke Kampung Tanjung Belungkor dan bersembunyi dalam sebuah rumah kosong sebelum diserbu polis. 
Sumber berkata, bagi mengelakkan dicekup, suspek mahu melarikan diri ke negara asalnya dengan mengupah sindiket pemalsuan dokumen bagi membolehkannya menembusi sempadan. 
“Namun, usahanya belum pun berhasil apabila tempat persembunyiannya berjaya dikesan polis hasil risikan dan maklumat selain mendapat kerjasama daripada jabatan lain. 
“Polis turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan suspek melalui akaun Facebooknya,” katanya. 
Polis turut merampas sejumlah wang disyaki hasil rompakan daripada suspek, namun jumlahnya belum dipastikan. - myMetro


KOTA TINGGI - Suspek kes tembak mati pegawai bank di Subang Jaya pada 23 Oktober lalu, Ardi Hamza, dipercayai cuba mencuri sebuah bot milik nelayan di Kampung Tanjung Belungkor, di sini, sebelum ditahan pasukan khas polis, jam 5 pagi semalam. 
Ia berdasarkan anggapan, individu berkaitan hanya perlu mengambil tempoh kira-kira 45 minit untuk sampai ke Batam, Indonesia jika bertolak dari kampung berkenaan. 
Sebelum ini, nelayan di kampung berkenaan turut melaporkan ada cubaan untuk mencuri bot mereka. 
Penduduk, Wira Yahya, 46, berkata, ada kemungkinan penjenayah cuba mencuri bot nelayan untuk menyeludup keluar ke Indonesia. 
“Sejak tiga tahun lalu, ada tujuh percubaan untuk melarikan bot nelayan di kampung ini, tetapi berjaya dipatahkan. 
“Kami turut menahan tujuh individu membabitkan lima warga Indonesia dan dua warga tempatan. Bot cuba dicuri pula dibuat daripada gentian kaca,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam. 
Menurut Wira, bot nelayan berkenaan menggunakan enjin 40 kuasa kuda dan ia lebih daripada cukup untuk membawa penumpangnya ke Batam dalam tempoh kira-kira 45 minit. 
Wira berkata, penjenayah terbabit mungkin gagal mencuri bot selepas polis berjaya menjejak jejaknya. 
“Tidak sangka, kali ini, suspek yang menjadi buruan polis masuk ke kampung ini dan mungkin cuba mencuri bot. 
“Berdasarkan maklumat diperoleh, penjenayah terbabit ditahan polis berhampiran kawasan parkir kenderaan perumahan nelayan,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Serindit Johana Jaafar, 58, berkata, ada 28 rumah di Kampung Tanjung Belungkor. 
“Ini kejadian pertama penjenayah cuba menjadikan kawasan ini sebagai tempat persembunyian sebelum ditahan polis. 
“Penduduk juga gembira kes bunuh pegawai bank, Norazita Abu Talib yang berusia 37 tahun berjaya diselesaikan hasil penahanan suepek pada jam 5 pagi tadi (semalam),” katanya. - myMetro

Wajah ceria sebelum menjadi buruan polis. Foto: mynewshub

Wajah keruh semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Suspek kes bunuh dan rompak pegawai AmBank di Subang Jaya menjadikan bangunan serta rumah kosong sebagai lokasi persembunyian selama 19 hari ketika dalam buruan polis. 
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek bersembunyi di beberapa buah rumah serta bangunan kosong sekitar Lembah Klang dan Johor.  
“Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi untuk keluar dari Lembah Klang menuju ke Johor sejurus selepas kejadian pada 23 Okt lepas. 
“Ketika berada di sana (Johor), suspek juga cuba mendapatkan bantuan sindiket pemalsuan dokumen pasport bagi melarikan diri ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi, semalam. - BERNAMA


PETALING JAYA - Suspek utama yang didakwa menembak mati seorang pegawai AmBank Norazita Abu Talib dalam kejadian di USJ Sentral 2, Subang Jaya pada 23 Oktober lalu, ditahan reman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan. 
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Nazri Omran dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 
Suspek yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan berseluar jeans biru dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret di sini pada jam 3.17 petang. 
Dia dikawal ketat lebih 10 anggota polis bersenjata dibawa ke Mahkamah Majistret dengan tangan digari ke belakang. 
Suspek kemudian dibawa keluar pada jam 3.40 petang dengan kereta polis dan diiringi lima kereta polis lain. 
Ketika dibawa lelaki itu kelihatan tenang dan turut memandang ke arah wartawan apabila namanya dipanggil. 
Akhbar sebelum ini melaporkan Norazita, 37, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian muka akibat ditembak dari jarak dekat dengan senjata ‘pump gun’. 
Pada 7 November lalu, lapan individu berusia 22 dan 44 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama disambung reman 14 hari, bagi membantu siasatan. 
Menurut sumber, semua ditahan disambung reman mengikut Akta Imigresen kerana memiliki MyKad palsu. 
Antara ditahan adalah isteri, adik ipar, adik kandung dan beberapa rakan sekerja kepada suspek. 
Harian Metro pada 30 Oktober lalu melaporkan, 11 individu dipercayai ada kaitan dengan pengawal keselamatan menembak mati pegawai AmBank sebelum melarikan wang tunai RM450,00 ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini dan Johor. - myMetro


Suami dan anak mangsa masih merasa sedih semasa melihat gambar arwah. Foto: myMetro


IPOH - “Kami sekeluarga berdoa setiap hari agar pembunuh adik dapat diberkas, dan hari ini (semalam) doa kami termakbul kerana hari yang ditunggu seluruh keluarga kami tiba juga akhirnya,” kata Norashikin Abu Talib, 39, kakak pegawai AmBank, Norazita, yang maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang pengawal keselamatan di Subang Jaya, Selangor, pada 23 Oktober lalu. 
Norashikin berkata, tiada perkataan yang dapat digambarkan bagaimana perasaannya selepas mendapat berita berhubung penahanan pembunuh adiknya itu. 
Katanya, suami Norazita, Irwan Kamarudin, menelefonnya pagi semalam bagi memaklumkan mengenai tangkapan itu dan keluarga mereka tidak sabar menunggu untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku ketika kejadian dan kenapa suspek tergamak menembak mangsa tanpa sebarang provokasi. 
“Kami berharap agar pembunuh adik saya itu dihukum dengan hukuman setimpal dengan jenayah dilakukannya.
“Malah, jika diberi peluang kami sekeluarga ingin melihat sendiri dengan lebih dekat wajah pembunuh itu, selain berhasrat ingin mengikuti perbicaraan kes itu di mahkamah nanti. 
“Adik saya hanya kakitangan di bank berkenaan dan saya tidak fikir dia (mangsa) ada sesuatu yang tidak senang terhadap suspek. Keluarga kami juga ingin mengetahui sebab sebenarnya (kenapa mangsa ditembak),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 
Beliau mengulas kenyataan polis semalam yang menyebut suspek yang dikehendaki polis bagi kes rompak dan bunuh itu, berjaya diberkas di Kota Tinggi, Johor, awal pagi semalam. 
Dalam perkembangan sama, Norashikin yang juga guru di Subang Bestari, Selangor, berkata, dia sudah meminta kedua-dua ibu dan bapanya, Abu Talib Mohd Isa, 75, dan Norsham Abdul Kader, 63, menetap bersamanya kerana tahap kesihatan mereka terutama ibunya, agak membimbangkan selepas kematian Norazita. 
Polis semalam mengesahkan Pasukan Cantas Khas Bukit Aman berjaya menangkap seorang lelaki dipercayai pengawal keselamatan terbabit di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, pada jam 7 pagi semalam. - myMetro


Lokasi Kampung Tanjung Belungkur terpencil tetapi berhampiran sempadan Singapura

Pemandangan dari Kampung Belungkur. Foto: Low Yew Yi

KOTA TINGGI - Penahanan seorang lelaki di Kampung Tanjung Belungkor di sini hari ini, yang dipercayai suspek kes rompakan dan bunuh pegawai AmBank Subang Jaya pada 23 Okt lepas, mengejutkan penduduk kampung berkenaan. 
Pemilik kedai makan Sayda, Saari Ahmad, 47, berkata beliau tidak menyangka suspek akan ditahan di kampung itu lebih-lebih lagi kawasan berkenaan bukan 'laluan tikus' untuk mana-mana individu keluar atau masuk ke negara ini. 
"Saya hanya mengetahui kejayaan penahanan itu kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada rakan dan pemberita. Tentulah saya terkejut kerana saya tidak dengar sebarang cakap-cakap mengenai penahanan itu sehinggalah dimaklumkan pihak media," katanya. 
Saari, yang tinggal dan berniaga berhampiran jeti nelayan sejak 20 tahun lepas, berkata beliau tidak melihat pergerakan keluar masuk polis ke kampung itu hari ini mahupun pergerakan mana-mana individu yang mencurigakan sebelum ini. 
Katanya, terdapat kira-kira 20 rumah di situ dan kampung berkenaan juga mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi mengawasi keselamatan penduduk. 
Seorang lagi peniaga kedai makan, Norlela Mohd Shah, 40, berkata beliau juga tidak menyedari penahanan itu mungkin kerana disebabkan hari hujan. 
"Pagi tadi hujan lebat sejak pukul 6.30 pagi sebelum berhenti pada kira-kira pukul 8 pagi. Saya juga tidak menyedari kehadiran polis ataupun orang luar yang mencurigakan kerana ramai orang luar, terutama pemancing, kerap mengunjungi kampung ini," katanya. 
Seorang nelayan, Wira Yahya, 47, berkata ada kemungkinan suspek cuba meloloskan diri menggunakan jeti nelayan di kampung itu untuk ke negara jiran memandangkan kedudukan kampung yang berhampiran dengan Pulau Batam, Indonesia. 
"Setakat ini, tiada mana-mana orang atau pendatang asing dilihat menggunakan laluan di kampung ini untuk menyeludup keluar kerana kawasan kampung ini kerap dironda pihak berkuasa seperti polis marin dan kastam. 
"Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan untuk mereka menyelinap keluar dengan bot kecil kerana ada beberapa nelayan dan saya sendiri pernah kehilangan dua bot kecil beberapa tahun lepas, yang dipercayai dicuri mereka," katanya yang menetap di kampung itu sejak 30 tahun lepas. 
Polis hari ini mengumumkan kejayaan menahan suspek pada kira-kira 7 pagi tadi selepas bertindak atas maklumat Pasukan Cantas Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM). 
Dalam kejadian 23 Oktober lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan. 
Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek. 
Suspek melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000. - Bernama

Abu Talib Mohd Isa, ayah Allahyarham Norazita. Foto: Sinar Harian

SHAH ALAM - "Kami sekeluarga takkan maafkan perbuatan suspek yang menembak mati Allahyarham. Dia (suspek) berani buat, beranilah tanggung akibatnya!," kata Abu Talib Mohd Isa, 65, iaitu bapa kepada pekerja AmBank, Norazita yang maut selepas ditembak seorang pengawal keselamatan di USJ Sentral 2, 23 Oktober lalu. 
Abu Talib ketika ditemui di rumah anak sulungnya di Subang Bestari semalam berkata, dia dan keluarga marah dengan perbuatan suspek, namun sebagai manusia mereka tidak berdendam dan berharap hukuman dikenakan terhadap penjenayah itu dapat memberi keadilan buat anak keduanya itu. 
Katanya, selepas 19 hari pemergian anak keduanya itu, berita penahanan suspek utama pagi semalam, adalah berita terbaik yang sangat ditunggu-tunggu oleh mereka sekeluarga. 
Menurutnya, beliau serta seluruh ahli keluarga terutama menantu (suami Norazita) dan dua cucunya gembira dan bersyukur. 
"Tidak sia-sia doa dan solat hajat yang dilakukan kami sekeluarga bagi memohon ALLAH SWT mempermudah siasatan yang dijalankan polis bagi menangkap suspek terbabit. - Sinar Harian

Polis membawa suspek ke tempat pump gun dibuang. Foto: myMetro

Pump gun ditemui di dasar longkang kira-kira 500 meter dari bank. Foto: myMetro

Pump gun akan menjadi bahan bukti. Foto: myMetro


PETALING JAYA – Sehari selepas polis menahan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan pegawai operasi AmBank, Norazita Abu Talib, pihak berkuasa itu berjaya menemui selaras pump gun yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut. 
Senjata api tersebut ditemui di dasar sebuah longkang di depan premis barangan lusuh yang terletak kira-kira 500 meter dari bank tersebut. 
Operasi mencari yang mengambil masa selama tiga jam bermula pukul 9 pagi itu dilakukan berpandukan maklumat daripada lelaki berusia 35 tahun tersebut yang turut dibawa ke situ dalam keadaan bergari sambil dikawal ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat Selangor. - Kosmo! Online 12.11.2013

Joemar, rakan kepada Ardi sedang dicari polis. Foto: myMetro

KUALA LUMPUR - Susulan penahanan suspek utama, polis kini memburu seorang lagi pengawal keselamatan dikenali sebagai ‘Joemar’, yang dipercayai perancang kes tembak dan samun di AmBank cawangan Subang Jaya. 
Joemar yang dipercayai warga Indonesia juga dikatakan memiliki MyKad palsu dan menyimpan RM400,000 hasil rompakan insiden berkenaan. 
Sumber memberitahu BH, Joemar dan suspek utama yang menggunakan identiti palsu Ardi Hamza dipercayai sudah lima tahun menetap di negara ini sebelum merancang jenayah pada 23 Oktober lalu. - Berita Harian 12.11.2013

Wajah rakan jenayah Ardi 'Joemar' yang menyimpan hasil rompakan


KUALA LUMPUR - Senjata jenis pump gun digunakan dalam kejadian samun dan menembak mati pegawai AmBank, Norazita Abu Talib, 37, pada 23 Oktober lalu berjaya ditemui dalam longkang di Jalan Subang 2, Taman Perindustrian Subang, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, semalam. 
Senjata berkenaan ditemui sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas memulakan pencarian di kawasan berkenaan jam 9 pagi sejurus suspek utama kes itu yang ditahan di Kota Tinggi, Johor, kelmarin memaklumkan lokasi senjata itu dibuang selepas kejadian berkenaan. 
Operasi pencarian selama dua jam itu berhasil apabila polis menemui senjata berkenaan bersama tiga peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang sudah digunakan dalam senjata api itu yang tertimbus dengan pasir dalam longkang berhadapan sebuah bengkel alat ganti kereta, kira-kira jam 11 pagi. 
Penemuan itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. 
Menurutnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti nama sebenar suspek utama iaitu Laode Ardina Laode Rasila berasal dari Sulawesi, Indonesia, tetapi menggunakan kad pengenalan palsu dengan pendaftaran nama Ardi Hamza. 
“Hasil soal siasat, suspek mengaku membeli kad pengenalan palsu itu daripada seorang lelaki warga Indonesia di Malaysia dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung penjualan kad pengenalan palsu ini termasuk harga ditawarkan walaupun kad pengenalan palsu itu tidak boleh diakses oleh peranti biometrik. 
“Selain itu, polis sedang memburu rakan jenayah suspek dikenali sebagai Joemar, juga warganegara Indonesia yang disyaki menyimpan wang hasil rompakan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dari Perspektif Islam di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, semalam. 
Khalid berkata, Joemar bukan pengawal keselamatan dan diburu bagi mengesan semula wang rompakan itu. 
“Ketika suspek ditahan di Kampung Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor, kelmarin, polis tidak menemui wang rompakan itu bersamanya, sebaliknya hanya menemui wang hasil rompakan berjumlah RM20,000 yang ditemui bersama tiga ahli keluarga suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya. 
Beliau berkata, sehingga kini, seramai 12 individu termasuk suspek utama ditahan berhubung kes berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 
Harian Metro semalam melaporkan suspek kes bunuh pegawai AmBank yang ditahan polis di Kampung Tanjung Belungkor, kelmarin dipercayai gagal mendapatkan khidmat tekong darat atau laut bagi membawanya melarikan diri untuk pulang ke negara asalnya. - myMetro 12.11.2013

Shukri (kiri) menunjukkan wang dirampas dari suspek utama, pump gun dan gambar Joemar.




SHAH ALAM - Polis menolak dakwaan terdapat unsur pukau seperti dakwaan sebuah akhbar berhubung kes samun dan tembak yang menyebabkan kematian seorang pegawai AmBank Norazita Abu Talib, 37, pada 23 Oktober lalu. 
Ketua Polis Selangor Datuk Shukri Dahlan berkata, dalam siasatan terhadap sebarang kes jenayah, polis tidak mengambil kira sebarang unsur pukau seperti dilaporkan akhbar berkenaan yang mengatakan suspek yang masih bebas dikenali sebagai Joemar didakwa memukau suspek utama untuk menyerahkan wang hasil samun. 
“Sepanjang siasatan dijalankan, unsur ini (pukau) tidak akan kita guna pakai. Ia tidak relevan dalam siasatan kes jenayah. 
“Jadi kita minta semua pihak terutama media supaya tidak mengganggu siasatan dengan menggunakan sumber yang tidak mendapat pengesahan polis,” katanya. 
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. 
Semalam, sebuah akhbar melaporkan rakan suspek utama kes tembak dan samun AmBank cawangan Subang Jaya dikenali Joemar dikatakan menggunakan kaedah pukau untuk merancang dan mengarahkan pengawal keselamatan yang juga suspek utama untuk menyerahkan hasil rompakan. 
Akhbar berkenaan mendakwa sumber memberitahu kaedah itu teknik terapi fikiran yang dilakukan untuk memukau individu lain bagi mematuhi semua arahan tanpa sedar. 
Kaedah itu adalah modus operandi baru yang dikesan digunakan sindiket jenayah dari negara jiran. 
Ketika mengulas lanjut mengenai suspek yang masih bebas, Mohd Shukri berkata, Joemar Omar atau Osman Salleh yang didapati menggunakan kad pengenalan palsu. 
Menurutnya, Joemar sudah menetap di Klang lebih setahun dan lelaki terbabit dipercayai masih berada di negara ini. 
“Suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat lain, namun siasatan lanjut mendapati dia tidak mempunyai lesen senjata api. 
“Polis percaya Joemar bersubahat dalam kes ini dengan menyimpan baki wang hasil samun.

Gerakan memburunya giat dijalankan, namun kita anggap kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 19 hari dan ia kejayaan besar polis,” katanya. 
Beliau berkata, jumlah individu yang ditahan berhubung kes itu seramai 12 orang termasuk suspek utama serta ahli keluarga dan rakan suspek utama yang akan didakwa mengikut Akta Imigresen dan Seksyen 421 dan 201 Kanun Keseksaan selepas siasatan selesai sepenuhnya. 
Semalam, Harian Metro melaporkan senjata jenis pump gun digunakan dalam kejadian pada 23 Oktober lalu berjaya ditemui dalam longkang di Jalan Subang 2, Taman Perindustrian Subang, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, kelmarin. - myMetro 13.11.2013

Laode Ardina ketika dibawa ke mahkamah. Foto: Sinar Harian


PETALING JAYA - Suspek utama kes menembak mati pegawai AmBank Norazita Abu Talib muncul di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, semalam, dengan wajah selamba selain penampilan tidak bermaya. 
Dia yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke mahkamah untuk disambung reman sebelum Majistret Surya Wati Shawal mengeluarkan perintah sambung reman selama tujuh hari sehingga 23 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 
Ketika wajahnya mahu dirakam jurugambar media, suspek hanya melontar pandangan kosong dan sedikit pun tidak memberi reaksi menolak gambarnya dirakam seperti kelaziman dilakukan suspek kes jenayah lain. 
Lelaki menggunakan MyKad palsu dengan nama Ardi Hamza itu ditahan di jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor dipercayai untuk meloloskan diri ke Batam pada 10 November lalu, selepas 19 hari bersembunyi di rumah dan bangunan kosong sekitar negeri itu. 
Polis juga mengesahkan identiti sebenar suspek itu sebagai Laode Ardina Laode Rasila, 35, berasal dari Sulawesi, Indonesia. 
Suspek sebelum ini menggunakan nama dan MyKad palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di ibu negara dan mengaku membeli MyKad itu daripada seorang lelaki warga Indonesia yang berada di negara ini dengan harga tertentu. - myMetro 17.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.