Jumaat, 15 November 2013

Restoran Nasi Kandar Popular Diarah Tutup 2 Minggu

Restoran ini diarah tutup selama 14 hari oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta. Foto: Bernama

Restoran ini biasanya penuh dengan pelanggan. Foto: Blog 9w2ulakuala

Sajian yang menjadi kegemaran ramai. Foto: Blog Orang Kecil Orang Besar

IPOH - Sebuah restoran yang popular dengan makanan nasi kandar atau lebih dikenali sebagai 'nasi ganja' di Jalan Yang Kalsom di sini, diarah tutup selama dua minggu berikutan gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan. 
Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 28 Nov. 
Operasi bersepadu bermula 5 petang itu melibatkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri dan Jabatan Imigresen. 
Menurut Jurucakap Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, persekitaran penyediaan makanan yang tidak bersih boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang awam. 
Katanya notis itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, jika disabitkan kesalahan boleh didenda atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. 
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Nordiyanah Hassan ketika dihubungi mengesahkan arahan tutup premis itu dan operasi dijalankan atas arahan Kementerian Kesihatan. - Bernama

Foto: Blog Orang Kecil Orang Besar

IPOH – Sebuah restoran nasi kandar popular antara empat premis makanan di bandar raya ini yang diarah tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan setelah tempat penyediaan makanannya didapati kotor. 
Dalam operasi pada kira-kira jam 5 petang itu, tempat penyediaan makanan di restoran terbabit dikesan mempunyai najis tikus. 
Jurucakap Jabatan Kesihatan negeri berkata, disebabkan mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, kesemua premis makanan terbabit diarah tutup sehingga 28 November ini kerana boleh membahayakan kesihatan orang awam khususnya pelanggan. 
Menurutnya, notis perintah tutup premis makanan itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. 
“Sebanyak 12 premis di kawasan bandar raya ini diperiksa dalam Operasi Kebersihan Premis itu dan empat kompaun dikeluarkan. 
“Lima premis ditutup kerana didapati tidak bersih dan terdapat kehadiran tikus dalam premis terbabit dan najis haiwan itu dijumpai di tempat penyediaan makanan,” katanya. 
Ketika ditanya sama ada operasi berkenaan mempunyai kaitan dengan keraguan orang ramai seperti dihebahkan dalam laman sosial, beliau berkata, ia hanya kebetulan. 
Katanya, operasi bersepadu membabitkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dan Jabatan Imigresen negeri itu dirancang lebih awal. 
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nordiyanah Hassan mengesahkan operasi terbabit dijalankan. 
Sebelum ini, sebuah laman sosial mendedahkan terdapat sebuah premis tidak bersih apabila najis manusia dikatakan diletakkan di peti simpan makanan, dipercayai untuk dijadikan pelaris. - Sinar Harian 15.11.2013



IPOH - Pengurus Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom di sini hari ini menyangkal keras dakwaan restorannya ditutup susulan penemuan najis manusia di dalam peti simpanan makanan di premis itu. 
Mohd Nihmatullah Syed Mustaffah berkata perkara itu yang disebar menerusi laman sosial sejurus selepas notis penutupan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan petang semalam, merupakan fitnah yang bertujuan menjejaskan perniagaannya. 
"Adakah najis orang kita boleh masak? Kenapa cemburu selepas 55 tahun saya berniaga di sini?," katanya kepada pemberita di sini. 
Sambil menegaskan penutupan selama dua minggu sehingga 28 Nov itu atas faktor kebersihan, beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mendakwa najis terbabit untuk disalut di sekeliling periuk. 
"Kalau ada bukti (saya berbuat demikian) keluarkanlah...," katanya menambah perbuatan tersebut turut menjejaskan imej Perak yang sinonim dengan nasi kandar restorannya yang dikenali sebagai 'nasi ganja'. 
Banyak orang kenamaan termasuk menteri dari luar negara datang menjamu selera di sini, justeru bayangkan apa perasaan mereka jika terbaca dakwaan yang dibuat itu, katanya. 
Mohd Nihmatullah, 59, juga menegaskan hanya restorannya ditutup manakala Restoran Vanggey di Greentown yang turut menjual nasi kandar beroperasi seperti biasa. 
Restoran Vanggey juga milik keluarga saya, katanya. 
Beliau berkata, restorannya dijangka beroperasi semula Ahad atau Isnin ini selepas Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan susulan. 
Restoran terbabit diarah tutup selama dua minggu bermula semalam kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan. 
Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. - Bernama

Ze Aida (kiri) memberikan kenyataan permohonan maaf kepada Ahamed Azlan Shah (kanan). Foto: Kosmo!


IPOH - Kontroversi membabitkan penyebaran maklumat palsu di laman sosial Facebook kononnya sebuah restoran nasi kandar di Ipoh diserbu pihak polis ekoran penemuan najis manusia di tempat memasak berakhir dengan kemunculan seorang gadis membuat permohonan maaf malam kelmarin. 
Menggunakan nama Ze Aida, gadis berusia 23 tahun itu memberitahu, dia tidak berniat untuk menghina dan memburuk-burukkan Restoran Nasi Vanggey Greentown sehingga menjejaskan imej dan perniagaan restoran berkenaan. 
Wanita itu mendakwa isu tersebut tercetus selepas dia menyalin status seorang pemilik akaun Facebook lain mengenai keburukan Restoran Nasi Vanggey ke akaun Facebook miliknya. 
Status Facebook tersebut berbunyi: "Polis baru saja menyerbu restoran vanggey (nasi ganja) % mendapati terdapat 'najis manusia' di dlm peti simpan mknn yang dipercayai untuk salut periuk dgn tujuan ilmu penunduk (ilmu hitam)...patutlah restoren tu x penah kekeringan manusia..apa yg sdp sgt pon x tau lah..euww lah patutlah aku x berkenan!." 
Selepas memuat naik status itu pada Khamis lalu, Ze Aida dari Bandar Lahat Baru, Lahat di sini berkata, ada pihak lain telah mencetak paparan statusnya lalu menyebarkan maklumat itu secara meluas menerusi telefon pintar dan internet. 
Penyebaran maklumat palsu itu menyebabkan pihak pengurusan Restoran Nasi Vanggey menuntut Ze Aida, seorang graduan ijazah (?), membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak restoran sambil disaksikan wakil media. 
Majlis permohonan maaf tersebut diadakan pada sidang akhbar di restoran itu pukul 10.30 malam kelmarin. - Kosmo! Online 17.11.2013

(?) Macam mana seorang graduan ijazah dengan mudah boleh menyalin perkhabaran yang tak tentu sahih ke dalam akaun FBnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.