Ahad, 24 November 2013

Susu Segar Melalui 4 Ujian Nilai Kualiti

Setiap awal pagi, Suliman Puasa akan menunggu kedatangan penternak membawa tong susu segar untuk diuji. Foto: myMetro

Seorang pembekal susu, Abrizal Mohd Munir, 41, membawa susu menggunakan motosikal. Foto: myMetro

Terdapat juga susu segar diangkut dengan lori ke pusat PPIT. Foto: myMetro

Suliman sedang melakukan tugasnya dan media sedang membuat liputan. Foto: myMetro

Susu segar disimpan dalam dua tangki ini. Foto: myMetro

Suliman menggunakan alat ‘refractometer’ untuk menguji standard pepejal tanpa lemak. Foto: myMetro

Susu segar sedang diuji. Foto: myMetro

Susu segar melalui empat ujian nilai kualiti. Foto: myMetro


Rutin kehidupan Suliman Puasa bermula pada awal pagi dengan menunggu penuh sabar kedatangan penternak membawa tong susu segar untuk diuji. 
Kepakarannya mengendalikan susu segar menyebabkan beliau menjadi rujukan penternak lembu tenusu di sekitar Ayer Molek, Melaka. 
Dengan menggunakan penutup kepala dan apron, Suliman akan memastikan semua prosedur termasuk amalan kebersihan di persekitaran Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) Ayer Molek. 
Nampak mudah, namun susu yang dihantar ke pusat itu perlu memenuhi standard ditetapkan mengikut Akta Makanan 1985. 
Selaku operator susu, beliau menilai tahap kualiti susu segar menggunakan empat ujian ringkas. 
Ujian Paltform, Suliman akan melaksanakan dua ujian membabitkan pancaindera dan ujian kualiti ringkas iaitu ujian alkohol, pepejal tanpa lemak (SNF) dan ketumpatan bandingan (SG). 
Bagi operator sepertinya, tong-tong susu perlu dibawa turun dengan pantas untuk menjalani ujian ringkas dan cepat. 
Selepas menerima tong, Suliman akan segera menimbang susu untuk direkodkan. 
Berpengalaman kira-kira tujuh tahun di bahagian itu, Suliman akan melakukan ujian pancaindera termasuk memeriksa susu secara fizikal pada rasa, bau dan warna susu berkenaan. 
Seterusnya, sampel susu diambil mengikut sukatan ditetapkan untuk membolehkan beberapa ujian dilakukan iaitu ujian alkohol, suhu, SG dan SNF. 
Selepas itu susu dikacau menggunakan alat pengacau, susu dan cecair alkohol akan dicampurkan bersama dalam nisbah satu bahagian susu dan satu bahagian alkohol. 
Kandungan cecair alkohol yang digunakan 80 peratus. Ujian alkohol untuk mengesan kandungan asid dan rasa masam susu. 
Alat ‘refractometer’ juga digunakan untuk menguji standard pepejal tanpa lemak dan susu hanya boleh diterima sekiranya menunjukkan bacaan melebihi 8.5 peratus. 
Lulus tiga ujian platform berkenaan menggambarkan kualiti susu yang diterima menepati standard ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). 
Pengarah Makmal Kawalan Kualiti Susu Alor Gajah, Rosnaini Ali berkata, ujian platform menjadi prosedur biasa bagi menjamin kualiti susu segar. 
Jika susu segar dihantar tidak memenuhi piawaian, sumber protein berkenaan akan ditolak. 
Sejarah industri tenusu di negara ini bermula sejak 100 tahun lalu menggunakan kaedah tradisional. 
Sebelum ini penerimaan susu hanya bergantung kepada volum susu iaitu penternak datang untuk timbang susu dan pembayaran dilakukan. 
Pada 1987, makmal kualiti susu pertama ditubuhkan di Melaka bagi mendapatkan volum susu, tetapi pemeriksaan kualiti. 
Dari situlah susu segar mendapat harga yang semakin baik dan ditawarkan industri bermula 50 sen sehingga kini ada mencecah RM2.60 seliter. 
“Susu dikumpul dan dipam dan dialirkan bagi penyejukan. Jadi dengan segeranya susu bersuhu bilik akan diturunkan kepada empat celsius. 
“Di sinilah, susu akan disimpan selama tiga hari sebelum dihantar menggunakan lori khas ke kilang pemprosesan tenusu seperti Dutch Lady,” katanya. 
PPIT Ayer Molek saja menyediakan tangki berkapasiti 9,000 liter susu segar. 
“Kami di PPIT perlu mengumpul susu itu hingga memenuhi tangki, kalau susu itu terlalu sedikit akan berlaku kocakan kuat ketika lori mengangkut susu hingga boleh merosakkan susu, selain tidak ekonomik,” katanya. 
Ujian brucella untuk mengetahui haiwan itu mengalami penyakit ‘zoonotic’ kerana ia boleh dipindahkan daripada haiwan ternakan kepada manusia. 
“Kesannya kalau kena pada lelaki akan menyebabkan mandul dan pada perempuan pula menyebabkan kandungan gugur,” katanya. 
Menurutnya, susu umpama insurans bagi kesihatan, minum susu di awal usia amat penting dan ia juga satu hidangan nutrian yang lengkap. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.