Selasa, 26 November 2013

Ugut Letup Tong Gas Lepas Gaduh Dengan Adik

Lelaki ini mengugut meletupkan tong gas selepas berselisih faham dengan adiknya. Foto: myMetro

Ibu suspek, Che Ngoh, 61, berjaya menghalang perbuatan suspek. Foto: myMetro


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang ‘naik angin’ cuba meletupkan tong gas di rumahnya di Kampung Padang Nenas, di sini, selepas berselisih faham dengan adiknya, petang kelmarin. 
Dalam kejadian jam 6 petang itu, lelaki berusia 33 tahun terbabit dikatakan mengambil tong gas di dapur serta mengugut untuk meletupkannya menggunakan pemetik api. 
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berjaya dihalang ibunya yang segera menarik tong gas berkenaan. 
Lelaki yang dipercayai penagih dadah itu melepaskan tong gas berkenaan lalu melarikan diri. 
Dia ditahan polis kirakira 100 meter dari rumahnya. 
Sebelum kejadian itu, lelaki terbabit berselisih faham dengan adik bongsunya yang berusia 22 tahun sehingga berlaku ‘perang mulut.’ 
Ibunya yang mahu dikenali sebagai Che Ngoh, 61, berkata anak bongsu yang melihat abangnya naik angin bertindak pantas menghantar SMS kepada anggota polis yang dikenali bertugas di Balai Polis Gong Badak. 
Katanya, detik cemas itu bermula apabila anaknya bergegas ke dapur dan mengambil tong gas selepas melihat kelibat anggota polis di pekarangan rumahnya. 
“Ketika itu saya dan suami berada di bahagian depan rumah terkejut melihat anak tiba-tiba mengheret tong gas sambil mengacukan hos getah ke arah kami. 
“Kami terketar-ketar melihat dia memegang pemetik api dan melepaskan gas dari tong berkenaan sambil memberi amaran kepada anggota polis yang cuba menahannya,” kata ibu kepada lapan anak itu. 
Katanya, melihatkan keadaan itu dia nekad memegang tong gas terbabit dan mengheret anaknya ke dalam rumah. 
“Ketika itu saya tidak peduli apa yang akan terjadi dan tidak kisah hidup atau mati asalkan suami dan ahli keluarga lain selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.