Ahad, 15 Disember 2013

Penternak Lembu Dalang Sindiket Curi Lembu

Polis menumpaskan sindiket curi lembu yang aktif di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Foto: Berita Harian

Seorang pemilik ladang lembu ditahan dan 35 haiwan ternakan itu bernilai hampir RM100,000 di rampas polis. Foto: Kosmo!


MUAR - Polis menumpaskan sindiket curi lembu yang aktif di negeri ini, Melaka dan Negeri Sembilan susulan penahanan seorang pemilik ladang lembu dan merampas 35 haiwan ternakan itu bernilai hampir RM100,000. 
Serbuan dijalankan jam 12 tengah hari kelmarin, di Kampung Muhibah, dekat Rantau, Negeri Sembilan, yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan lembu curi. 
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata serbuan dilakukan susulan kes samun di Ladang Ternak Lembu Tenusu Fidlot, Lubuk Bakul, Pagoh, dekat sini, kira-kira jam 2 pagi pada hari yang sama. 
Dalam kejadian itu, lima lelaki menceroboh ladang berkenaan dan mengikat dua pekerja ladang sebelum melarikan 21 ekor lembu tenusu menggunakan dua lori lima tan. 
“Ketika kejadian dua pekerja warga Pakistan sedang tidur di rumah pekerja kira-kira 50 meter dari kandang berkenaan sebelum kumpulan itu mengikat mangsa dengan tali plastik dan memunggah lembu ke dalam lori,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar, semalam. 
Azman berkata, susulan laporan pemilik ladang berusia 52 tahun itu, pihaknya yang menerima maklumat orang awam kemudian ke Jalan Linggi, dekat Rantau, Negeri Sembilan dan menahan seorang lelaki berusia 66 tahun di sebuah rumah. 
“Suspek berkenaan yang dipercayai pemilik ladang itu kemudian membawa pasukan polis ke ladang di Kampung Muhibah dan kita merampas 24 lembu dewasa dan lapan anak lembu, selain tiga lagi lembu di kawasan rumah suspek,” katanya. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.