Rabu, 4 Disember 2013

Pertama Kali Polis Tembak Penjenayah

Polis dipanggil ke sebuah apartmen di pinggir bandar Reykjavik selepas seorang lelaki melepaskan tembakan senapang patah

Seorang pegawai polis memasuki sebuah rumah tempak seorang lelaki ditembak mati oleh polis.

Insiden itu adalah 'kejadian pertama' dalam sejarah Iceland kata ketua polis Iceland, Haraldur Johannessen

Pihak polis kesal dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada lelaki terbabit


REYKJAVIK - Seorang lelaki bersenjata menjadi individu pertama ditembak mati polis Iceland dalam kejadian dianggap ‘bersejarah’ di negara itu. 
Dalam kejadian itu, lelaki terbabit ditembak selepas dia sebelumnya melepaskan tembakan ke arah dua anggota polis yang cuba menahannya di sebuah apartmen. 
Pesuruhjaya Polis Iceland, Haraldur Johannessen berkata pihaknya kesal dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada lelaki terbabit. 
Menurut laporan, polis menerima panggilan kecemasan dan pergi ke sebuah apartmen di Arbaer untuk menyiasat. 
Di situ seorang lelaki berusia lewat 50-an berkubu dalam kediamannya dan melepaskan tembakan ketika dua anggota polis tidak bersenjata memasuki premis berkenaan.  
Polis kemudian melepaskan bom asap ke rumah berkenaan dalam usaha menenangkan suspek tetapi gagal apabila dia melepaskan tembakan ketika cuba ditahan. 
Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan dan suspek cedera sebelum disahkan mati ketika dia dalam perjalanan ke hospital. 
Ketua Polis Reykjavik, Stefan Eriksson berkata tembakan suspek melalui tingkap apartmen itu memaksa pihak berkuasa bertindak balas. 
Sehingga malam tadi belum diketahui motif suspek bertindak begitu tetapi sumber berkata, dia pernah mengugut jirannya. 
Iceland mempunyai populasi seramai 320,000 dan sangat jarang berlaku keganasan membabitkan senjata api di negara itu. 
Kadar jenayah di Iceland juga rendah, malah polis di negara itu lazimnya tidak membawa senjata api ketika bertugas. 
Senjata api hanya dibenarkan untuk memburu dan rakyatnya percaya pengharaman senjata punca kadar keganasan amat rendah di negara berkenaan. - AP/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.