Rabu, 11 Disember 2013

Suami Cemburu Tetak Isteri

Suspek tetak isteri ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sekitar lokasi kejadian. Foto: myMetro

Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat di Hospital Lahad Datu, untuk bedah siasat. Foto: NST


LAHAD DATU - Perasaan cemburu yang menguasai diri mendorong seorang lelaki bertindak gila apabila menetak kepala dan badan isterinya dengan parang di ladang FELDA Sahabat 52, dekat sini, kelmarin. 
Mangsa, Kasmawati Salang, 30, ditemui penyelia ladang berkenaan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam parit berhampiran rumahnya kira-kira jam 4.20 petang. 
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Shamsudin Mat berkata, ketika ditemui wanita warga Indonesia itu masih bernyawa, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu, di sini. 
Menurutnya, selepas menerima aduan daripada penyelia ladang yang menemui mangsa di dalam parit, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian. 
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat di Hospital Lahad Datu, untuk bedah siasat. 
“Anggota dari Balai Polis Tambisan melakukan siasatan awal dimaklumkan sebelum itu berlaku pergaduhan di antara mangsa dengan suaminya,” katanya. 
Shamsudin berkata, siasatan awal mendapati, suspek menetak mangsa dengan parang kerana cemburu dan mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan seorang pekerja di ladang terbabit. 
“Suspek yang berusia 35 tahun dipercayai menetak isterinya menggunakan sebilah parang dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, yang menggerakkan operasi memburu, berjaya memberkas lelaki itu di kawasan berhampiran tempat kejadian,” katanya. 
Menurutnya, suspek berusia 35 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.