Rabu, 15 Januari 2014

Pencipta Bimbang Senjata AK47 Bunuh Ramai Orang

Mikhail Kalashnikov bimbang senjata ciptaannya Senapang AK47 telah membunuh ramai manusia. Foto: NYTimes

Kebimbangan Kalashnikov disampaikan kepada ketua gereja Rusia, Patriarch Kirill

Kalashnikov meninggal dunia pada 23 Disember lalu ketika berusia 94 tahun


MOSCOW - Pencipta senapang AK-47, Mikhail Kalashnikov pernah menulis surat kepada ketua gereja di Rusia sebelum dia meninggal dunia dengan melahirkan kebimbangan bahawa senjata berkenaan telah membunuh ramai manusia, lapor akhbar Izvestia. 
"Penderitaan jiwa yang saya alami tidak dapat ditanggung lagi," katanya dalam sepucuk surat kepada ketua gereja Rusia, Patriarch Kirill. 
"Satu persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya adakah senapang saya yang telah membunuh ramai manusia akan menjadikan saya seorang penganut agama Kristian yang bertanggungjawab terhadap kematian mereka walaupun mereka merupakan musuh?'' ujarnya. 
Seorang jurucakap gereja itu mengesahkan menerima surat berkenaan yang ditulis kira-kira enam bulan sebelum kematian Kalashnikov. 
Dia meninggal dunia pada 23 Disember lalu ketika berusia 94 tahun. 
Kalashnikov semasa hayatnya sering berkata, beliau bangga dengan ciptaannya itu tetapi kesal senjata tersebut sering digunakan oleh penjenayah dan tentera kanak-kanak. 
Senapang AK-47 murah untuk dihasilkan dan mudah pula diselenggara merupakan senjata paling banyak membunuh manusia berbanding senjata api yang lain. 
Pada tahun 2009, Kalashnikov berkata, senapang yang direka pada tahun 1947 itu dihasilkan bagi tujuan mempertahankan sempadan negara ini. - Reuters/Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.