Khamis, 9 Januari 2014

Van Kilang Bertembung Toyota Camry

Dua lelaki dan seorang wanita terbunuh apabila van yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan. Foto: Berita Harian

Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Kuala Kangsar-Lenggong. Foto: Kosmo!


KUALA KANGSAR - “Kemalangan itu sungguh mengerikan dan saya sedih melihat keadaan mangsa yang terbabit dalam kejadian itu. Ada penumpang yang merintih kesakitan akibat tercampak dan tersepit,” kata seorang saksi kemalangan maut di Kilometer 70, Jalan Kuala Kangsar-Lenggong, berhampiran Sauk, dekat sini, awal pagi semalam. 
Kemalangan jam 6.20 pagi itu mengorbankan tiga nyawa, tiga parah dan dua lagi cedera ringan dalam nahas membabitkan tiga kenderaan iaitu van kilang, kereta Toyota Camry dan motosikal. 
Mangsa yang terbunuh pemandu van, Rosmainiezal Mat Ani, 37, dan rakannya yang duduk di sebelahnya, Syed Idris Syed Nordin, 42, kedua-duanya dari Kampung Kepala Bendang, Sayong, manakala seorang lagi pekerja kilang, Aminah Kamarudin, 53, dari Lenggong, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang. 
Mangsa yang parah membabitkan tiga pekerja kilang iaitu Sarina Ibrahim, 35, dari Kampung Tengah Sauk, Masthura Ali, 47, dari Kampung Biung Sauk dan Norzakiah Awang, 48, dari Kampung Batu Dinding, Lenggong dan mereka duduk di bangku penumpang belakang. 
Menurut saksi yang enggan dikenali, ketika sampai di lokasi kejadian, dia melihat pemandu van tersepit dan tidak bergerak lagi. 
“Saya cuba membantu mangsa sementara menunggu ambulans sampai kerana bimbang perkara lebih buruk mungkin terjadi sekiranya dibiarkan mereka dalam van yang sudah remuk pada bahagian depan. 
“Tidak lama kemudian, ambulans dan bomba tiba di tempat kejadian bagi memberi bantuan selanjutnya kepada mangsa kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam. 
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, pemandu kereta Toyota Camry yang terbabit dalam kemalangan itu tidak kelihatan. 
Seorang mangsa yang ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Sarina Ibrahim pula berkata, ketika kejadian, dia dan beberapa rakan sekerja dalam perjalanan ke tempat kerja di Imperial Garment, dan tidak sedar mengenai kemalangan itu kerana terlelap dalam perjalanan itu. 
“Saya tidak tahu apa yang berlaku, sebaik tersedar saya sudah berada di Hospital Kuala Kangsar, sebelum dipindahkan ke HRPB untuk rawatan lanjut. “Apa yang dimaklumkan selepas sedar, van kami terbabit dalam kemalangan dan saya juga difahamkan mengenai rakan (Masthura) terpelanting keluar dari van. Saya patah tangan kanan dan kaki kiri serta cedera di kepala. “ katanya. 
Menurut suami Masthura, Ismail Husin, 65, dia menerima berita sedih itu selepas dihubungi seorang rakan pada jam 10 pagi. 
Katanya, Masthura yang parah di bahagian kepala termasuk retak di bahagian tengkorak dan patah kakinya, dikatakan belum sedarkan diri selepas terpelanting keluar dari van dan kini dirawat di HRPB bersama Sarina. 
“Saya memang terkejut melihat keadaannya yang cedera teruk di kepala dan muka serta beberapa anggota badan lain. 
“Isteri saya sudah 22 tahun bekerja di kilang itu dan ketika keluar rumah pagi tadi (semalam), dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya sambil mengakui isterinya itu berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Ipoh. 
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad berkata, tiga yang terbunuh meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk bedah siasat sebelum dituntut. 
Katanya, mereka yang parah dikejarkan ke hospital sama, tetapi Masthura dan Sarina kemudian dipindahkan ke HRPB. 
“Kejadian berlaku apabila van dari Gerik menghala ke Kuala Kangsar bertembung dengan kereta dari arah bertentangan. Motosikal yang dikatakan mengekori van tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta itu,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.