Selasa, 18 Februari 2014

5 Wanita Penyelam Skuba Yang Hilang Selamat

Lima daripada tujuh penyelam skuba Jepun yang hilang di Bali ditemui selamat

Salah seorang penyelam skuba yang berjaya diselamatkan

Mangsa yang selamat sedang diusung dari bot menuju ke ambulan

Nelayan menemui penyelam berkenaan, kira-kira 20 kilometer dari titik penyelaman asal

Seramai 100 penyelamat meneruskan usaha sejak lima pelancong dan dua jurulatih (kesemuanya wanita)

Sanak saudara mangsa yang hilang tiba di Bali sejak Ahad lalu dan semalam


DENPASAR - Lima daripada tujuh penyelam skuba Jepun yang hilang ditemui selamat selepas berpaut pada batu karang di luar perairan pulau peranginan itu tiga hari selepas dilaporkan hilang. 
Nelayan menemui penyelam berkenaan, kira-kira 20 kilometer dari titik penyelaman asal namun tidak dapat mendekati kerana ombak terlalu tinggi. Namun seorang daripada mereka berjaya diselamatkan menggunakan helikopter, yang turut menjatuhkan makanan kepada penyelam yang masih terperangkap. 
Bot penyelamat kemudian menyelamatkan empat lagi penyelam dan terus membawa mereka ke Pantai Semawang di selatan Bali. 
Pegawai dari Agensi Bencana Bali, Rudi Tjandi, memberitahu AFP, mangsa yang terselamat ditemui di Manta Point dekat pantai barat Pulau Nusa Penida, di timur Bali. 
Seramai 100 penyelamat meneruskan usaha sejak lima pelancong dan dua jurulatih (kesemuanya wanita) hilang Jumaat lalu sewaktu menyelam untuk kali ketiga hari itu dari pulau Nusa Lembongan, di timur Bali. 
Sebahagian sanak saudara mangsa yang hilang tiba di Bali sejak Ahad lalu dan semalam, kata pegawai konsular Jepun, malah suami seorang mangsa juga ada dilihat di Pantai Sanur, namun enggan bercakap dengan wartawan. 
Semua mangsa dikatakan penyelam skuba berpengalaman dan pernah melakukan lebih 50 penyelaman. Keadaan cuaca yang buruk Isnin lalu menghalang pasukan helikopter daripada menyertai operasi itu, kata Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat Bali, Didi Hamzar. 
Namun Hamzar memberitahu wartawan Ahad lalu, dia menerima maklumat bahawa juragan bot kehabisan minyak dan terpaksa mengisi semula sebelum menuju ke tempat yang dipersetujui. Tambah Hamzar syarikat pengendali selam skuba itu, Yellow Scuba gagal dihubungi begitu juga panggilan daripada AFP. 
Bagaimanapun Timbalan konsul umum Jepun di Bali, Yasue Katsunobu, berkata pegawai Jepun sudah berhubung dengan Yellow Scuba dan pengendali itu ada menghantar bot dan kakitangannya untuk membantu pencarian. - AFP/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.