Isnin, 10 Februari 2014

Kisah Lelaki Jambi Ica Kaswadi Jadi Zaki Zainal

Lelaki Jambi menyamar jadi orang Muar tertangkap di Chow Kit. Foto: Wikimedia

Sekumpulan wanita yang disyaki PATI turut di tahan. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Biarpun menggunakan tangkal kononnya untuk kebal dan menggerunkan orang lain, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang memiliki MyKad palsu ‘terkantoi’ juga dalam operasi bersepadu dijalankan pelbagai agensi kerajaan, di sebuah pusat beli-belah terkenal di Chow Kit, di sini, semalam. 
Pada mulanya, lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menggunakan MyKad tertera nama Zaki Zainal beralamat Jalan Daud, Muar, Johor itu cuba melawan Koordinator Unit Risikan dan Operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mokhzan Ariff Mohd Yusof. 
Lelaki itu dengan kasar mempertahankan kononnya dia berasal dari Johor, namun selepas MyKad diperiksa menggunakan alat khas data JPN iaitu Axia Phone dan pengesanan biometrik IRIS, akhirnya tak sampai seminit terbongkar MyKad lelaki itu adalah palsu. 
Ketika ditemu bual, lelaki terbabit kemudian mengakui dia berasal dari Jambi, Sumatera, Indonesia manakala nama sebenarnya pula ialah Ica Kaswadi dan mendakwa membeli MyKad itu dengan harga RM200 tahun lalu ketika masih bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru. 
Mokhzan Ariff berkata, pengawal keselamatan itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, mengikut Peraturan 25(1)(e), Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. 
Itu adalah antara drama berlaku dalam Operasi Bersepadu 6P Fasa 2 (Ops 6P) bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang semalam yang dijalankan pelbagai agensi membabitkan 220 anggota dari Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan dan RELA. 
Operasi itu diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat. 
Pada sidang medianya, Aloyah berkata, seramai 200 orang diperiksa dalam operasi itu membabitkan 170 wanita dan 30 lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun. 
“Daripada jumlah itu, seramai 120 orang adalah PATI iaitu 50 dari Pakistan, 30 dari Thailand dan 40 PATI lagi negara lain. Mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dokumen palsu dan pemegang kad UNHCR yang tidak diiktiraf,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.