Rabu, 19 Februari 2014

PATI Indonesia Ada 'Kad Kebal'

Kad kebal yang ditunjukkan oleh seorang PATI. Foto: myMetro

Di antara PATI yang ditahan dalam operasi di Jalan Sentul Pasar, malam kelmarin. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menganggap mereka ‘kebal’ daripada sebarang tindakan pihak berkuasa kerana memiliki kad pekerja asing yang disediakan ejen pekerja asing akhirnya dicekup dalam operasi di Jalan Sentul Pasar, malam kelmarin. 
Difahamkan, hasil siasatan mendapati seorang daripada lelaki warga Indonesia itu memberitahu kad berkenaan dibeli dengan harga RM4,800 daripada individu warga tempatan iaitu ejen yang menawarkan mereka untuk memproses permohonan permit pekerja asing (PLKS) dalam sektor pembinaan. 
Ejen itu dikatakan memberitahu mereka hanya perlu mengemukakan kad berkenaan bagi mengelak diri daripada ditahan. 
Namun, keyakinan dua lelaki terbabit mengenai kekebalan kad milik mereka itu akhirnya lebur apabila ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan 13 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di kawasan rumah kongsi dan tapak pembinaan di Taman Pelangi, Jalan Sentul Pasar di sini, bermula jam 10.15 malam kelmarin. 
Dalam operasi khas dinamakan Ops Bina itu, dua lelaki berusia 30 hingga 40-an berkenaan antara 36 warga asing yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. 
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur James Musa Singa berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya selama beberapa minggu mengenai kewujudan PATI di kawasan itu. 
“Sepanjang operasi lebih sejam itu, seramai 36 warga asing termasuk warga Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan ditahan. Kami turut menemui dua kad pekerja asing palsu. 
“Ketika serbuan, ada daripada mereka yang berusia 18 hingga 45 tahun itu cuba melarikan diri dengan pelbagai cara antaranya berlari menuju ke dalam belukar dan menyorok di bawah zink dan beberapa jentera pembinaan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam. 
Beliau berkata, pihaknya memberi amaran kepada warga asing dan majikan supaya tidak terpedaya dengan mana-mana individu atau sebarang dokumen tidak sah yang tidak memperoleh kebenaran daripada Jabatan Imigresen. 
“Kami menasihatkan PATI yang berada di dalam negara ini supaya pulang ke negara asal dengan menyerah diri di mana-mana pejabat imigresen. Keengganan berbuat demikian akan menyebabkan mereka ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.